Tuesday, May 27, 2008

Tentang Kumpulan Karya

Apabila Lutfi Ishak bercakap tentang hasratnya untuk menghasilkan kumpulan cerpen, saya rasa tertarik juga untuk mengulas. Lutfi cuma belum mempunyai kumpulan karya yang dibukukan tapi banyak juga antologi karyanya yang dibukukan seperti antologi Hadiah Sastera Utusan, Angkatan Sasterawan 2005, dll. Lutfi agak merendah diri tidak mahu menyenaraikan antologi karya yang memuatkan karya beliau. Dalam blognya, pengenalan diri, hanya mengatakan : ”lelaki ini orang kedah. kini menetap di klang. bercita-cita menjadi penulis sepenuh masa. suka baca buku, tengok filem, dengar muzik, berangan-angan, dan jalan-jalan cari mamam. pernah terbitkan antologi puisi bersama-sama jim dan anjan. “ Selain kawan-kawan rapat Lutfi, tiada orang tahupun wujudnya buku bersama-sama Jimadie Shah dan Anjan Ahzana bertajuk M…S…Amerika ini.

Saya pernah berbual-bual dengan Lutfi tentang ini. Saya katakan perlu usahakan juga untuk hasilkan buku sendiri. Kumpulan puisi saya, Bebaskan Ekspresi tidak mendapat tajaan dari sesiapa. Wang yang saya keluarkan untuk menerbitkannya adalah dari titik peluh sendiri. Mahu tahu berapa kos penerbitan, pergi lah tanya syarikat percetakan. Selepas itu jangan fikirkan untung. Siapa mahu beli buku puisi, orang lebih suka makan ayam di restoran KFC.


Keterangan gambar: Lutfi juga boleh menyanyi lagu Suriram...

Boleh dikatakan semua penulis muda mempunyai kumpulan karya yang dibukukan (cerpen atau puisi) dan ada yang mempunyai novel sendiri. Saya setuju dengan beberapa pendapat mengatakan setiap penulis harus ada ‘buku’nya sendiri (tidak kira genre apa atau terbitan mana). Namun begitu, tidak perlu tergesa-gesa. Hasilkan yang terbaik dahulu dan hantarlah ke syarikat penerbitan, bukan semata-mata DBP. Tapi bagus juga dapat diterbitkan di DBP, badan kerajaan dan bukunya dipelihara walaupun susah untuk didapati di pasaran selain kedai dan koperasi DBP dan DAWAMA. Terbitan DBP dianggap bermutu dan diterbitkan setelah melalui proses penyuntingan yang cerewet dan penilaian oleh pakar bidang tersebut (agaknya).

Tahniah kepada beberapa penulis yang telah mempunyai kumpulan karya dalam setahun dua ini (puisi atau cerpen) yang diterbitkan di DBP seperti Saifullizan Yahya, Shahrunizam, Rendra, Siti Hajar, serta beberapa lagi dan yang agak senior seperti Rahimidin, Shamsudin dan Nasurry.

Oh, saya teringat ada seorang lagi penulis yang tiada kumpulan karyanya sendiri, Zainal Rashid Ahmad. Kita sedang menunggu.

Saya?: Sudah letih menangguhkan penulisan…

4 comments:

Anonymous said...

Sdr Ariff,
Kadang-kadang elok juga penulis menerbitkan buku dengan penerbit-penerbit kecil, hanya kurangh glamournya buku yang diterbitkan itu. Sekurang-kurangnya ada juga buku yang terbi (tanpa biaya sendiri). Bagi saya, biarlah karya saya tidak diterbitkan oleh penerbit besar, tapi ada juga karya yang dapat diwariskan untuk tatapan generasi akan datang.

Ghazali Lateh.

lutfi said...

bapak dorsen. Terima kasih kerana menulis tentang gue dalam blog mu. Itu kita iklan tak berbayar le, ye dok?

Korakora said...

alamak, aku juga belum ada kumpulan cerpen.

1 said...

Salam,

M…S…Amerika? Aik, buku apa tu? Kenapa ada banyak titik-titik?

C-: