Friday, November 14, 2008

Sastera adalah Rahsia

“Sejarah telah memperlihat kepada kita bahawa sastera sebenarnya ialah rahsia dan sulit; dirahsiakan dan disulitkan oleh sasterawan melalui pelbagai jenis wadah yang membentuk gabungan kerana pada dasarnya makna kehidupan dan pengalaman sendiri itu sulit dan rahsia. Kerahsiaan sastera kadang-kadang begitu jauh tersembunyi sehingga para khalayak perlu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dari segi kreativiti, sensitiviti, dan daya gabungan untuk benar-benar memahami karya itu, dan seterusnya ‘terhibur’ olehnya.”

Kata-kata itu dipetik daripada buku Shahnon Ahmad (SN Datuk) bertajuk Weltanschauung Suatu Perjalanan Kreatif (DBP,2008). Shahnon melanjutkan penyataan ini dengan huraian bahawa sastera itu memerlukan khalayak yang bijak berfikir. Kerahsiaan dan kesulitan bergelumang dalam diri pengkarya (penulis/ sasterawan) yang berkait amat rapat dengan hakikat kehidupan yang banyak rahsia, aneh, dan payah. Sastera merahsiakan dan menyuratkan makna-makna kemanusiaan melalui pelbagai citra dan lambang sehingga menuntut daya yang amat tinggi bagi membolehkannya menggabung lambang dan citra itu dengan makna yang sebenar, yang jauh tersurat. Sastera adalah ilmu tinggi, atau bukan sebarangan. Dalam sastera ada persoalan metafizik, falsafah di samping kias dan figura, yang rapat dengan kemanusiaan, ketuhanan dan alam.

Membaca buku Shahnon yang terbaharu ini terasa amat mesra dan rasa cinta pada sastera itu semakin mendalam. Shahnon menghantar pengalaman menggulati bidang sastera dan dunia akademik lebih 50 tahun dalam buku ini. Buku ini bukan semata-mata autobiografi atau memoir, malahan sebagai rujukan dan panduan yang bermakna kepada sasterawan, bukan sasterawan , pengkaji dan peminat sastera atau sesiapa sahaja. Walaupun ada pengulangan peristiwa dan pengalaman yang telah dikongsi dalam dua buku autobiografi terawal (Perjalananku Sejauh Ini, 2006 dan Setitis Embun Semarak Api, 2007) namun tetap menarik dan mengesankan apabila membacanya. Buku Weltanschauung ini ditulis sekitar 1998-1999 atau lebih sedikit daripada itu. Buku ini sepatutnya terbit lebih awal daripada dua buku yang terdahulu di pasaran itu.

Difikir-fikirkan, banyak sangat benarnya bahawa sastera itu adalah rahsia. Teks-teks yang terpapar pada kertas memberi makna denotasi dan konotasi. Kisah, cerita dan peristiwa bukan sekadar mengusik emosi namun jauh meneroka ketajaman akal dan bersihnya hati. Agak berat mengungkapkan hal-hal yang sebjektif begini, namun itulah sastera. Berkaitan teks, ingat lagi pada Sejarah Melayu melalui kisah Hang Tuah dan Hang Jebat (Hang Kasturi) yang bertarung kemudian dicetuskan pertanyaan, siapakah yang benar dan siapakah yang salah? Soalan ini tidak terjawab dengan muktamad sehingga sekarang. Itulah antara bukti istimewanya karya sastera yang berahsia ini.

Bidang penulisan adalah bidang yang sunyi sepi, tersendiri. ‘Kerja’ sebagai penulis memang banyak cabarannya, banyak yang menggelisahkan, banyak yang perlu dirahsiakan. Dalam proses menulis juga, ada perkara yang terpaksa ditangguhkan, dilupakan begitu sahaja, dilepaskan. Akan timbul rasa kecewa, geram, marah dan beberapa lagi, yang dapat dikesani ataupun tersimpan sebagai rahsia diri. Namun ada ketikanya agak bising dan hangat juga bergantung kepada hasil tulisan (karya) itu. Menulis adalah kerja sendiri-sendiri dan “rahsia’ kerana untuk menceritakan hal itu kepada orang lain, bukanlah sesuatu yang menarik untuk diperkata, kecuali yang benar-benar mahu tahu, berminat, bertanya, mencontohi atau mewawancara sahaja.

Penulis jarang bercerita proses kreatifnya ketika sepi dan gelisah itu. Apabila terhasil, barulah dapat diceritakan untuk dikongsi. Wadah penerbitan tentang proses kreatif pula tidak banyak. Jika seseorang penulis itu belum teruji kesasterawanannya, belum layak lagi digelar sasterawan, maka ruang untuk bercerita proses kreatifnya dalam majalah atau buku amat payah sekali ditemui. Sehingga sekarang beberapa penulis yang diakui baik dan pernah memenangi banyak hadiah peringkat kebangsaan dan serantau pun tidak ada ruang untuknya bercerita proses kreatif. Ada sebuah dua majalah yang memuatkan ruangan proses kreatif namun amat meloyakan apabila penulis yang baru menulis dua tiga cerpen atau satu dua puisi diberi ruang.

Orang lain (pembaca, khalayak yang bukan dalam kalangan penghasil karya) tidak mahu atau tidak berminat untuk tahu apa yang sebenarnya ada dalam fikiran, perasaan, dan hati seseorang penulis. Ini bergantung kepada niat. Bercakap tentang niat, benar-benar menguji diri takut-takut tersalah cakap dianggap riak dan tidak ikhlas pula. Dan kadang-kadang yang baik pun disalah tafsir juga. Apabila karya itu diterbitkan, pembaca yang bijak yang tahu menilai dan berpengetahuan (sedikit atau luas) dapat menangkap maksud dan niat penulis itu. Dan banyak juga yang tidak dapat ditangkap juga hinggakan karya itu terus kabur dan sepi begitu sahaja.

Daripada pengalaman sasterawan terdahulu, dapat dikesani mereka ini memang banyak berahsia. Ada sesetengah karya yang bertahun-tahun tidak dapat dikupas atau lebih dari itu, dikunyah dengan baik sekali oleh pembaca. Hal ini agak malang dan merugikan khalayak kerana tidak dapat sepenuhnya ‘bermandi-manda’ dalam takungan pemikiran yang ada pada sasterawan ini.

Karya-karya Shahnon memang banyak rahsia dalam bersahajanya. Karya Arenawati juga. Karya Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi juga. Azizi Hj.Abdullah, banyak berahsia dalam sinisnya. Dalam puisi, Latiff Mohidin dan Baha Zain, antaranya. Dan ada beberapa lagi.

Dalam situasi sekarang, ada yang perlu dirahsiakan dalam diri penulis. Dan tentulah ada yang perlu diberitahu. Kalau orang tidak mahu tahu, bahasa kasarnya, lantaklah! Namun kasihan mereka terus hanyut dalam keseronokan dan kepicisan karya-karya yang mereka digemari. Dalam situasi sekarang juga, banyak perkara yang perlu diluahkan dalam karya, dalam rahsia namun bijaksana. Dan harap-harap juga, semakin banyak pembaca yang bijaksana.

3 comments:

Anonymous said...

ya kupercaya bahwa sastera itu rahsia
rahsia yang padanya tersurat segala bicara
ilmu2 yang tak bisa dicita
melainkan perlu ada
gabungan ketajaman minda
dan keindahan bahasa
serta lembut hati perasaan
yang setulus ingin memahaminya
kerna terlalu banyak rahsia
maka yang membaca perlu
lanjutkan makna
pada titpan pinggir bicara
agar tersemat padanya
buah akal yang membawa
kepada kenali apa itu RAHSIA sebenarnya

ekspresi said...

terima kasih sdr 'simpulan senyum sasteraku'

hafizah said...

aku pencinta sastera. ku mengerti apa yang tercipta di sebalik karya itu sememangnya rahsia dari bakat anugerah Illahi... Hanya mereka yang menghayati akan memahami lalu mengambil iktibar untuk tatapan masa kini dan masa depan. Jangan dimusnahkan rahsia itu. Andai musnah punahlah mahkota Melayu kita bangsa berdaulat kerana sasteralah satu-satunya khazanah kita... Bertaut di seri tiang semangat anak Melayu...