Monday, July 20, 2009

Lautan Naratif dan Keanehan yang Memerangkap

Berenang dalam lautan naratif pasti menjanjikan keanehan, yang kemudiannya menjadikan diri terperangkap. Namun perangkap itu hanyalah bersifat sementara. Jika dapat melepaskan diri daripada perangkap, akan bebaslah daripada hal itu dan pergilah ke mana-mana yang diingini. Keluarlah dari perangkap naratif itu.
Namun yang anehnya juga, ada yang rela diperangkap dan tidak mahu keluar atau membebaskan diri daripada perangkap itu. Dek demikian kerana ada keindahan dan keasyikan yang dirasai berada dalam perangkap lautan naratif itu. Keanehan-keanehan itu tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata kerana rasa keindahan itu bukan ada pada rasa indera yang lima. Mana duduknya rasa yang aneh itu, tidak pasti yang tepat namun dapat dikenalpasti berada antara akal, hati dan naluri.
Keanehan yang memerangkap dalam lautan naratif ini tidak dapat dikongsi kerana ia adalah milik peribadi. Orang lain dapat mengagak dan memahami luarannya sahaja sedangkan yang lebih dalam adalah hak pengetahuan si pemilik rasa dan pastilah yang lebih tahu Allah yang maha Esa. Orang lain hanya bertepuk tangan apabila dilihat baik dan menyenangkan. Orang lain akan mengutuk atau mengeji jika dilihat atau dirasa buruk, jelik dan mendedahkan keaiban dirinya sendiri ataupun kaum-kaum kerabatnya. Orang lain lebih suka dipuji-puji dan dibelai-belai. Orang lain tidak suka disentak, disentap apatah lagi dihentak. Itulah bedanya antara orang lain dengan si pemilik naratif yang terperangkap dalam lautan itu.
Maka yang terperangkap dalam lautan naratif itu terus berenang secara bersendiri ataupun ditemani teman-teman yang mengerti. Itupun ada teman-teman yang mulanya ingin berenang bersama-sama tetapi menuju ke haluan yang lain kemudiannya. Ada juga yang terserempak di mana-mana karang hanya menegur dan sudi berenang bersama-sama. Ada yang hanya berenang tetapi tidak merasa terperangkap. Ada yang berenang tetapi suka mengetawakan orang yang terperangkap sedangkan dirinya sendiri sentiasa singgah di pulau-pulau di daratan.
Berenang dan terus berenang. Keanehan terus memerangkap. Dan indahnya perangkap itu. Berenanglah dalam lautan naratif hingga puas, ataupun lemas, ataupun hingga satu ketika duduk berehatlah di jeti, sambil menikmati indahnya dermaga dipukul ombak.

6 comments:

edolah said...

tuan arif,
apapun kembali kepada sirah... bukankah dalam Surah as-Syu'ara (surah penyair) telah ditunjukkan landas dan jalannya...

ekspresi said...

e,
ya betul

Luqman Hakim QA said...

dan menikmati hasilnya, pulus!

S.M. Zakir said...

mata duitan ko luqman ceh kapitalis brengsek.

UPSI ko kena selsema babi ke, katanya tutup seminggu. Ada kawan aku marah dan kecewa tak dapat pergi australia kerana selsema babi, katanya, 'babi punya selsema babi'.

ekspresi said...

tuan luqman,
betul dapat fulus... tapi... yang lebih seronok menyatakan sesuatu dalam karya, walaupun orang lain tak suka baca.

ekspresi said...

tuan syed z,
betul upsi tutup. tak boleh masuk. ini semua angkara babi. hehe