Monday, August 31, 2009

Hari Kebangsaan dan Iklan TV

Selamat menyambut Hari Kebangsaan. Oleh sebab kebanyakan masyarakat kita agak kelabu mata dan keliru naluri tentang bahasa, ada yang tetap menyebutnya sebagai Hari Kemerdekaan pada setiap tahun. Kepada yang menyebut Hari Kemerdekaan ini betulkanlah lidah dan minda dengan memahami bahawa Hari Kemerdekaan hanya sekali iaitu pada 31 Ogos 1957 sedangkan yang kita sambut pada tarikh 31 Ogos setiap tahun itu adalah ULANG TAHUN sahaja. Namun begitu jika menyebut Hari Merdeka boleh dimaafkan kerana merdeka itu dari segi istilah bererti:
bebas (drpd penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (drpd tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pd yg lain: Malaysia ialah sebuah negara yg ~ dan berdaulat; (dipetik daripada Kamus Dewan edisi e-Kamus)
manakala pengertian kemerdekaan pula:
perihal merdeka (bebas), kebebasan: kita telah berjaya mencapai ~ pd 31 Ogos 1957; (Kamus Dewan edisi e-Kamus)
Seperti biasa, sempena sambutan 31 Ogos ini, di kaca tv akan disuakan kepada kita iklan-iklan, drama-drama dan filem-filem patriotik serta lagu-lagu yang mengajak rakyat berbuat baik, sayangi negara dan yang berpadu. Inilah yang disarankan oleh kerajaan tidak henti-henti. Namun ada kala membuatkan penonton meluat kerana ada unsur yang dibuat-buat, kelihatan tidak jujur dan terlalu disengajakan. Sebagai contoh, sebuah iklan tentang sebuah keluarga yang makan duduk bersila bersama-sama dengan kaum Cina dan India di rumah. Wah, satu Malaysia begitu rupanya. Namun, jujurlah bertanya dan menjawab, siapakah yang pernah melakukan sedemikian?
Begitu juga dengan iklan yang memaparkan temu bual dengan seorang kanak-kanak Cina yang ditanya tentang siapa murid perempuan yang disukainya (murid Melayu). Apabila ditanya murid perempuan itu siapa teman lelakinya, maka dijawabnya Tan Hong Meng (murid lelaki Cina di sisinya). Iklan ini pernah ditayangkan satu ketika dahulu dan ditayangkan kembali pada tahun ini. Gambaran yang terlalu asing apabila murid sekolah rendah yang masih kecil digalakkan bercinta, dan untuk menggambarkan perpaduan itu, dikisahkan hubungan baik antara dua jantina itu dan antara bangsa yang berlainan. Inikah yang diimpikan dalam perpaduan?
Bagi orang Melayu, sebagai penduduk asal negara ini, sebagai yang banyak berhempas pulas dalam segala bidang mempertahan bahasa, bangsa, dan negara sejak penjajahan kuasa Eropah, komunis, Siam dan Jepun, hak-hak istimewa sebagai Melayu seharusnya dihormati. Bukan tidak menyetujui sebarang gagasan untuk kebaikan seperti perpaduan antara kaum, namun hormatilah jati diri, perasaan dan masa hadapan bangsa Melayu ini. Sambil tidak menafikan perpaduan amat perlu, tapi berpada-padalah tentang keterbukaan kerana bukan semua perkara boleh diterima secara terbuka dan berlapang dada.
Konteks perpaduan yang dilihat hanya dalam bentuk perhubungan jiran dan kawan tetapi jarang sekali dipaparkan tentang makna perpaduan yang diresapi dan dibuktikan dalam bidang ekonomi. Pernahkah iklan atau drama yang memaparkan bagaimana individu korporat Cina membantu Melayu atau India dalam bidang perniagaan? Siapakah yang membantu golongan miskin seperti dalam rancangan Bersamamu di TV melainkan syarikat beras. Siapakah yang menguasai urus niaga gula, telekomunikasi dan lain-lain.
Perpaduan dan integrasi yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita tidak perlu digambarkan begitu kerana setiap masyarakat ada pegangan, ada prinsip, ada budaya dan kepercayaan agama. Perpaduan dan 1 Malaysia yang digembar-gemburkan bertepatan pula dengan Hari Kebangsaan, hari raya dan sambutan perayaan kaum lain tetapi gagal dijelmakan dalam situasi sebenar dalam masyarakat. Orang Melayu tetap begini dan begitu dalam suasana dan situasi yang tersendiri. Begitu juga dengan kaum Cina, India dan lain-lain. Merujuk situasi terkini seperti krisis dalaman MCA, pergelutan jawatan MIC yang tidak demokrasi, pembinaan kuil di Shah Alam, cerita Beng Hock, dan segala macam lagi, adakah jujur menggambarkan Satu Malaysia. Dan satu lagi soalan yang berkaitan tentang pemupukan perpaduan dalam negara, mengapa masih wujud sekolah jenis kebangsaan yang berbeza sukatan pelajarannya? Sedangkan sekolah kebangsaan sedang diperkasakan.
Kita fikir-fikirkan sempena cuti ulang tahun merdeka yang ke-52 ini.

8 comments:

Luqman Hakim QA said...

Hanya ada rancu Malaysia

Nur Fatiha Fadila said...

Assalamualaikum,
Terima kasih atas peringatan yang menyedarkan.

Salam Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-52

saleeh rahamad said...

wah bagus sekali komentar bapakkali ini.

sahrunizam abdul talib said...

Ya, satu. satu, satu yang kita punya terlepas ke mulut orang.

benuasuluk said...

setiap kali tengok muka tan hong meng setiap kali itulah saya rasa nak tampar muka budak ni. Tak tau kenapa.

PenDiDik SuLuH BuDimAN said...

erm..satu komen yang bernas. tahniah en Ariff..hehehe

saleeh rahamad said...

satu untuk engkau, satu untuk aku, dua untuk engkau empat untuk aku...baru betul 1 malaysia

ekspresi said...

terima kasih kepada pengunjung2 yang memberi komen. maaf lewat beri respons sebab tidak buka internet sejak selasa. di rumah broadband terlalu perlahan manakala di ofis pula sedang buat ubahsuai pintu fakulti.
luqman,
wardah,
tuan saleeh,
sahrunizam,
ridzuan
raflesia,
saya suarakan secara jujur tentang itu. tapi pada sisi peribadi. dan saya tahu ramai yang beranggapan demikian juga.
kerana sayangkan negara dan bangsa.