Tuesday, December 01, 2009

Menggeledah Puisi


Menggeledah puisi, satu kerja sendiri. Asing dan sunyi. Banyak puisi yang tidak disiapkan, tertangguh. Banyak yang belum sempurna dan memuaskan hati, dan banyak yang hanya ada sebaris kata sahaja.
Saya mula menulis puisi ketika Tingkatan 3. Dalam tahun yang sama juga, pertama kali ke pentas untuk mendeklamasikan puisi. Puisi pertama saya bertajuk “…”, maaf terlupa. Dan tidak tahu di mana puisi itu sekarang. Puisi yang pertama saya deklamasikan bertajuk “Intelektual” karya Muhammad Hj Salleh. Saya menyertai pertandingan selepas tamat SRP (PMR sekarang). Dan saya menjadi johan, mendapat hadiah kotak pensel.
Sejak itu saya menulis puisi dan kadang-kadang meninggalkannya berhari-hari, kadang-kadang berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Sedar tidak sedar, sudah jauh juga perjalanan saya dalam genre ini. Saya pernah menceritakan serba sedikit tentang proses kreatif dan pengalaman puisi ini dalam slot Pengakuan Penyair anjuran PENA dan Dewan Sastera di Rumah PENA pada Januari 2006.
Kumpulan puisi saya Bebaskan Ekspresi sampai sekarang masih belum habis terjual. Dan sesungguhnya saya tidak mahu menghabiskannya kerana mungkin satu masa nanti, saya akan menghadiahkannya kepada pihak tertentu sebagai khazanah ataupun sebagai kenang-kenangan sahaja.
Alhamdulillah, saya berupaya menggulati genre lain. Novel, cerpen juga drama. Namun puisi tetap muncul dalam fikiran dan sanubari, dan sesekali mengganggu untuk ditulis.
Kadangkala rasa malas untuk berpuisi dan yang sering berlaku adalah malasnya saya untuk menghantar ke penerbitan. Ini sebenarnya seperti penyakit.
Baru-baru ini, saya mengumpul kembali puisi-puisi yang saya hasilkan selepas Bebaskan Ekspresi (tahun 2003). Selain itu ada dua buah buku (yang tidak diterbitkan) puisi-puisi awal saya yang jumlahnya hampir 100 buah yang dijilid kemas. Puisi-puisi itu berlegar tentang diri, persahabatan, keluarga, kasih sayang, alam, dan masyarakat sekeleliling daripada perspektif yang sangat remaja. Semuanya dalam folder di komputer, helaian-helaian kertas nota (note pad), kertas peperiksaan, kertas buku sekolah dan ada juga pada kertas tisu yang ditulis kembali. Saya juga mempunyai sebuah buku yang hanya digunakan untuk menulis puisi satu ketika dahulu. Ada juga yang bertaip menggunakan mesin taip manual yang cukup bernostalgia.
Dan tentunya, apabila membaca puisi sendiri, ada rasa lucu, ada rasa malu, ada rasa yakin dengan tidak, dan ada sedikit rasa bangga.

5 comments:

Anonymous said...

salam..bila engko sebut tang puisi tetiba jer aku teringat ttg puisi2 lama yg pernah aku buat. dan karya2 aku tu ada gak impaknya bila aku baca masa majlis motivasi ramai yg nangis...sajak hari guru yg aku deklamasipun berupaya buat ckg2 nagis. ish..dasyat jugak aku ya! tp..sekarang dah lama tak berkarya. tak de masa! memangpun. Tuhan hanya bg kita 24j pun bukannya 40jam sehari. tp biasalah..kita manusia biasa (aku maksudkan akulah) yang tak pandai nak uruskan masa. Sebenarnya dah lama aku tak ikuti blog ni hinggakan email aku dulu dah luput! sekarang ni guna email 'housemate'. canner aaa..nak asah balik fikiran ni supaya boleh berkarya semula?

mek said...

sori..lupa taruk nama td.."sahabat baikmu dulu"

ekspresi said...

terima kasih mek je atas kunjungan. elok juga kau kumpulkan dan edit semula. taip elok2 dan bukukan.

edolah said...

ada kekuatan untuk menulis...tapi kurang daya tahan untuk mengumpul. sayangnya sampai sekarang... masih bergelar 'penyair tanpa buku'

NASSURY IBRAHIM said...

Penyair sebenar bukan sahaja ada sajak, malahan mesti ada buku sajaknya sendiri. Kumpul dan terbitkan.