Sunday, February 27, 2011

Buku Teks dan Teks Komsas: Sekadar Pandangan

Apabila memperkata tentang kesilapan dalam buku teks sekolah rendah, khusus merujuk teks Bahasa Inggeris Tahun Satu, bukan untuk menuding jari menyalahkan kepada pihak tertentu semata-mata, namun ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian agar tidak berulang pada masa akan datang. Hal yang sangat berkait rapat dengan integriti, kepatuhan dan kesungguhan, keterabaian yang sepatutnya dapat dielakkan dan kebijaksanaan membuat keputusan bagi pihak-pihak tertentu.

Teks tahun satu yang telah disahkan berlaku kesilapan yang ketara yang memalukan. Tanggungjawab yang seharusnya dipikul ialah penulis buku teks tersebut, editor dan penerbitnya. Malah pihak yang mengawal selia penghasilan dan percetakan buku teks sekolah-sekolah juga seharusnya bertanggungjawab. Dalam proses penerbitan buku teks, ada satu lagi pihak yang dilantik iaitu yang dinamakan jawatankuasa penilai ataupun nama yang lebih sedap jawatankuasa kawalan mutu. Jawatankuasa ini dianggotai oleh guru-guru yang berkaitan dengan bidang dan kepakaran serta diketuai oleh pensyarah daripada institusi pendidikan guru manakala pegawai Bahagian Buku Teks sebagai urus setia ataupun koordinator.

Lapis-lapis dalam sistem penerbitan ini bermula dengan draf sekumpulan penulis hinggalah draf cetakan untuk disemak penilai atau jawatankuasa kawalan mutu, dalam waktu yang sama atau kemudiannya berada di tangan editor. Bagaimana kesilapan ini boleh berlaku? Ini bukan masalah terlepas pandang satu atau dua individu tetapi melibatkan beberapa individu mungkin berbelas-belas jumlahnya.

Menulis buku teks bukanlah tugas yang mudah. Menjadi penulis buku teks yang terpilih juga bukanlah satu yang mudah. Terlalu banyak dugaan dan cabaran untuk dipilih menjadi penulis buku teks. Pernah dalam beberapa tahun sebelum ini, proses bermula dengan membeli tender dengan bayaran RM5o.oo, menulis sebuah bab contoh, kemudian menghantar bab contoh pada tarikh yang ditetapkan. Bab contoh itu pula akan dinilai oleh jawatankuasa yang tentulah penilai itu faham tentang idea dan sukatan pelajaran. Namun begitu saya pernah mendengar khabar angin bahawa penulis yang dipilih biasanya adalah penulis yang disenangi kerana pernah menulis buku teks sebelum itu ataupun saudara mara orang tertentu yang tidak pastilah saudara mara sebelah emak atau sebelah bapanya. Ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa bab contoh yang cantik dengan ilustrasi berwarna-warni akan menjadi teks yang menang iaitu penulisnya dipilih sebagai penulis. Adakah penilai ini tahu bahawa seseorang penulis tugasnya menulis bukannya ilustrator, bukannya pereka letak, bukannya pelukis? Itu hanyalah khabar-khabar angin semata-mata kerana angin itu apabila bertiup tidak nampak anginnya tetapi dapat dilihat pohon-pohon yang bergoyang.

Jadi, memanglah bertuah apabila telah dipilih menjadi penulis buku teks. Apabila seseorang itu dipilih sebagai penulis, beberapa kelebihan diperoleh dengan kerjasama beberapa lagi orang yang dilantik juga sebagai penulis bersama, ditambah dengan jawatankuasa penilai, ditambah dengan editor serta dihidangkan dengan makanan yang enak dan tempat mesyuarat yang selesa di hotel. Kebertuahan dan keselesaan itu semakin ketara apabila bayaran honorarium diterima.

Berbalik kepada kesalahan dalam buku teks, cara pemilihan penulis, dan penilaian panel, kita tidak akan terkejut jika penulis yang sama akan menulis buku teks pada masa akan datang. Mungkin kita tidak juga terkejut panel penilai yang sama akan menilai buku-buku lain pada masa akan datang. Dan tidak akan terkejut kesalahan-kesalahan sebegini, atau kesalahan lain akan berulang juga. Jadi hiduplah kita dalam pusingan dan putaran alam bawah tempurung, silap, betulkan, silap lagi dan betulkan lagi, silap lagi lagi dan betulkan lagi lagi…

Menyentuh buku teks, tidak dapat mengelakkan daripada terfikirkan juga tentang komponen sastera dalam bahasa Melayu atau Komsas yang mula dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSM mulai tahun 2001. Selepas 10 tahun, teks baharu digunakan mulai 2010 termasuklah novel Interlok yang mula digunakan bagi pelajar tingkatan lima mulai 2011 bagi zon tengah Semenanjung Malaysia. Sesungguhnya, istilah ‘komponen’ itu pun tidak tepat kerana beranggapan bahawa sastera adalah komponen, bahagian-bahagian atau ‘parts’ atau dengan penglihatan zahirnya hanyalah alat-alat seperti barang-barang tertentu yang boleh diletak-letak atau di susun-susun. Kesusasteraan bukanlah satu ‘barang’ atau ‘parts’ yang boleh dibahagi-bahagikankan, ipecah-pecahkan. Sebaliknya ilmu, nilai dan keindahan itu masuk sebagai penyerapan dalam bahasa Melayu melalui teks-teks sastera yang dipilih.

Teks-teks sastera yang dipilih mulai 2010 ini pun dilihat agak aneh dan menimbulkan beberapa pertanyaan. Antaranya wajarkah sebuah teks yang berimej negatif seperti mencabar seorang ayah yang dipanggil ‘papa’ agar berkahwin lagi? Adakah ini cukup bermoral untuk dibaca di sekolah-sekolah? Bagaimana pula gambaran tentang kemiskinan Melayu yang ditertawakan, kepayahan membayar yuran, kepercayaan kepada bomoh dan lain-lain yang masih ketinggalan berbanding zaman facebook dan blackberry pada hari ini. Jika ingin membina masyarakat, adakah karya yang sedemikian memperlihatkan tamadun atau menjana pemikiran yang matang atau peribadi Muslim yang bersepadu? Bagaimana dengan terdapatnya nama penulis yang sama berulang-ulang dalam genre yang berbeda dalam beberapa buah teks?

Lihat, teliti dan fikirkanlah beberapa teks yang dipilih daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sambil tidak menafikan, ada yang baik dan positifnya tetapi sepatutnya pemilihan dibuat lebih teliti agar pemilihan teks dilihat bertepatan dengan kehendak sukatan pelajaran, kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kehendak kesesuaian dengan pedagogi dan penjanaan kemahiran berfikir sepanjang pengajaran dan pembelajaran, penggunaan bahasa Melayu yang baik untuk mendaulat bahasa Melayu itu sendiri, kehendak kreativiti kesusasteraan, kehendak kesesuaian pelajar secara kontekstual, kehendak etika dan estetika dan tentunya kehendak agama Islam yang menjadi agama rasmi bagi negara ini.

3 comments:

Norma Jean said...

Salam Tuan, artikel menarik... :D

ekspresi said...

terima kasih suzy. kek sarawak satu!

Norma Jean said...

huk huk.. la ni x jual dah kek sarawak. :P kek coklet ngan brownies jek