
Friday, February 23, 2007
Gie yang Berbara

Wednesday, February 21, 2007
Cuti?
p/s: Ada ketika, aku kehilangan bahasa untuk memperkata sesuatu.
Thursday, February 08, 2007
Al-Kisah Dua Peladang
Tanah ladang yang gilang-gemilang di hujung sana telah diketahui pemiliknya. Namun tiada siapa yang pernah berjumpa atau menyapa pemiliknya itu. Tanah subur dengan pohon epal yang berbuah ranum seperti dalam keasingan, tersendiri namun kewujudannya sangat penting dan diketahui semua orang, dapat dilihat semua malah seperti mercu tanda perkampungan itu.Pemilik tanah yang berhijau merah itu milik orang ternama, orang terkenal dan orang hebat. Itulah kata-kata orang lain, kata-kata pihak yang menggembar-gembur atau mungkin kata-kata pemilik ladang epal itu sendiri. Maka, orang lain yang bodoh alang dan buat-buat bodoh pun percaya. Ya, itu tanah milik orang ternama dan tanah itu subur. Lihatlah.
Seorang pemilik tanah oren di sebelah berasa sedikit kecil hati. Satu, kerana tanahnya tidak sesubur tanah ladang epal di sebelah. Kedua, dia bukan orang ternama. Ketiga, orang di sebelah tidak pernah mahu menjawab sapaannya dan berbual-bual dengannya. Pernah dia cuba menyalami dan mengucapkan tahniah atas kesuburan dan hasil ladang epal kepada pemilik tanah sebelah namun sapaan dan ucap tahniah itu tidak pernah dibalas dengan terima kasih dan apatah lagi sedikit senyum pun.
Begitulah, rungut pemilik ladang oren, sama berjiran, sama bertani, namun terasing dalam dunia yang diciptakan sendiri. Ya, dunia keegoan dan dunia perasan yang diri itu macam bagus dan tidak bersyukur.
Ke Ruang Meditasi Baru
Tuesday, February 06, 2007
Popular?
ada yang disinarkan
ada yang benar-benar bintang
ada yang tolong undi dan smskan
maka popularlah.
naik pentas, rasa hebat sangat
terlupa ambil hadiah
ada yang tidak sangka menang konon
bukan menang sebenarnya tapi orang undikan
ada yang hampir terlanggar tiang
ada yang bangga baju pinjam
aduhai, konon bintang
tapi sayang
itu HANYA popular
bukan terbaik!
Friday, January 26, 2007
Catatan Apologi Manusiawi
masih menterjemah hikmah dan kiasannya
datang lagi derita menghiris benak di bumi Tuhan
tertumpah ingatan pada saudara seagama senegara
di selatan semenanjung kejutan melanda
air melimpah hilang sarana, menenggelam kudrat
(Aku semakin tidak bisa bicara mudah tentang ini
malah air mataku mengajar erti tabah)
Naluri terusik, simpati berkias dalam diam
berat mata memandang,
berat lagi tangan memegang
lantas menanyai diri tentang ketulusan
kasih sesama manusia,
kasih untuk Pencipta
antara ingatan dan waspada
seiring menyusun langkah mentarbiah
Ya, Rabbi, ampunilah kami
(Aku hampir hilang bicara
malah akal cuba menafsir
surat dan firasat sejauh qada dan qadar)
Hadiahkan simpati semampunya kepada mereka
dengan doa keprihatinan dan bukti keikhlasan
berikan nur kesyahduan pada diri
dengan serap iman dan rasa percaya
pelihara dan sejahtera bumi ini
ya, bumi yang cantik, yang satu ini.
ARIFF MOHAMAD
Untuk Kita Renung... dan Fikirkan

Wednesday, January 24, 2007
Malam Ini, Malam Puisi
Monday, January 22, 2007
Jemput ke Ekspo

Maklumat lanjut www.upsi.edu.my
Dijemput, mana-mana individu berbagai-bagai bidang dan aliran, warga pendidik, karyawan juga pelajar ke Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berlangsung 22 hingga 26 Januari 2007. Berbagai acara seperti forum, dialog, syarahan dan pertandingan diadakan selain pameran dan jualan. Antara sesi yang dijangka menarik ialah Dialog dengan Perekacipta Zulkifli Harun (Zul Design) pada 23 Januari. juga Forum Educational in Malaysia pada 24 Januari dan Syarahan Prof. Dr. Yusof Othman (UKM) bertajuk Sains dari Perspektif Islam dan Syarahan Dr. Jamnul Azhar Mulkan bertajuk Mukzijat Sains dalam Al-Quran.
Jika ada kelapangan, datanglah ke Tanjong Malim.
Juwita, Laila Terlalu Istimewa

Gambar dari web TV3
WARKAH BUAT LAILA
LAGU : AYOB IBRAHIM
LIRIK : HABSAH HASSAN
PENYANYI : ZAHID
Warkah buatmu Laila
Kendati pun teranyam rasa di penjuru hati
Runtunan hidup tak mengizinkan kita bermimpi
Keutamaan kita teramat jauh berbeza
Sesungguhnya duniaku di sini bukan syurga
Hayatilah hakikatnya
Pabila telah tertutup mata dan pintu hati
Kemanusiaan mati ditelinga yang tuli
Teganya yang tidak berdosa
Dijadikan korban
Benci dan dendam bagai api di dalam sekam
Kata kata mu Laila
Azimat yang tersemat di hati
Sesungguhnya tiada terdaya
Menggapai harapan andainya bersendiri
Do’akanlah Laila
Do’a untukku dan yang senasib denganku
Agar kebenaran kembali dijulang
Sabar redha bertawakkal pada hikmah kalimah
LailahaillallahMuhammadarasulullah
LailahaillallahMuhammadarasulullah
LailahaillallahLailahaillallahLailahaillallah Allah Allah
Komputer Lembab
Sudah siap menaip untuk publish dalam blog kemudian internet meragam, lalu hilang. Aku sudah menaip lima perenggan. Selalu aku draf dulu dalam Word kemudian baru Copy. Kadang-kadang aku taip terus. Tapi malangnya hari ini... Argh!
Friday, January 19, 2007
Hijrah
Friday, January 05, 2007
Kabut, Sinar Penghujung dan Awal
langsir tujuh digantung dengan doa dan harapan
hati tercalar pada hari aidiladha
kisah seorang saddam ditamatkan begitu mudah
tanah selatan ditenggelami air
namun pesta-pesta diteruskan juga
selamat tahun baru!
Tuesday, December 26, 2006
Berbengkel di Langkawi


21 Disember, pagi dingin hingga ke temulang. Dari Alor Setar ke Kuala Perlis, feri bergerak jam 7.00 ke pulau lagenda, Langkawi. Aku dan Nassury peserta paling lewat sedangkan yang lain telah tiba sebelum jam 6.00 petang 20 Disember. Bengkel Penulisan Kreatif Guru untuk menghasilkan buku kanak-kanak dan remaja anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia diadakan pada 20-23 Disember 2006 di Hotel Seaview. Untuk tujuan kursus anjuran Kementerian Pelajaran, inilah kali kedua aku ke Langkawi (pertama anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan 2002 dahulu) walaupun selalu ke Kuala Kedah dan Alor Setar.
Sepanjang tiga hari kepala asyik memikirkan teks Sulalatus Salatin kerana kami diminta menulis cerita berdasarkan teks tersebut. Bab dan bahagian telah diagih-agihkan. Aku dapat bahagian yang agak belakang, di penghujung episod empayar Melaka yang ketika itu telah berpindah ke hulu Muar.
Dan sempat juga (malah setiap petang selepas tamat bengkel) kami (bersama-sama Shamsuddin, Lutfi, Hameer dan Nassury) ke pekan Kuah bersiar-siar membeli apa yang patut. Memang harga beberapa barang agak murah seperti coklat, kain batik dan juga perfume.
Kunjungan sebelum ini sempat bersiar-siar seluruh pulau, dari kilang minyak gamatnya hinggalah ke dunia air (Underwater World) atau ke pusara Mahsuri, yang berlagenda itu. Tetapi kali ini masa agak terhad. Cadangan untuk bersiar-siar dibatalkan. Namun begitu, sesekali terfikir juga tentang pulau ini yang dikatakan penuh cerita dan lagenda itu. Terlintas idea untuk menulis sebuah novel tentang Mahsuri, tetapi dari sudut apa agaknya. Cinta? Politik? Sejarah? Dan aku biarkan saja berlegar dalam kepala hingga sekarang. Dan entah sampai bila.
Kami pulang dengan janji untuk menyiapkan buku cerita berdasar Sejarah Melayu yang diamanahkan. Apapun, terima kasih penganjur, Mazlin dan Roslan dari MBKM, Dr. Roselan, Hj. Naffi dan semua teman yang mengikuti bengkel.
p/s: Suatu ketika, Langkawi pernah mencipta kenangan. Mungkin 'Kenangan Terindah' kata Samsons.
Monday, December 18, 2006
Seminar Pendidikan Bahasa Melayu di DBP
Seminar itu bertema Peningkatan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berdasarkan Penyelidikan dan Kajian.
Antara pemakalah ialah Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dengan kertas kerja Mengajar Kemahiran Bernilai Tambah (KBT), Prof Datin Dr. Juriah Long (Pedagogi), Zahirah Abd. Aziz (Kurikulum), Dr. Abdul Rasid Jamian (Bahan), Prof. Madya Dr. Kamsiah Abdullah (Perbandingan Pengalaman Antara Negara), Prof. Madya Dr. Hashim Othman (Pentaksiran dan Penilaian), Dr. Ali Mahmood (Sumber Tenaga Pengajar) dan Dr. Roziah Abdullah.
Maklumat lanjut sila hubungi Urus Setia Seminar, Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa, DBP, Kuala Lumpur melalui talian 03-2148 2880.
p/s: Saya turut menyumbang kertas kerja bertajuk "Pelaksanaan Teknik Webbing Bahan Sastera dalam Bahasa Melayu" bersama-sama 7 lagi pensyarah UPSI di bawah Konvener Bahagian Mengajar Kemahiran Bernilai Tambah, Prof Emeritius Dr. Abdullah Hassan.
Seorang Aziz Satar dalam Sinema Kita
Friday, December 15, 2006
Kajian Novel Popular?

Buka mata, buka hati, kenali diri.
1. Bab 54
"Lu okey eh... takde hal eh?"
"O...kay! Wa no problem!"
"Sure lu confident eh?"
"Lu ni... macam tak caya dengan gua plak! Lu tak kan tak tau cara wa bawak!"
"Gua tau... tapi ni lain. Wa takut lu gabra nanti!"
"Lu tengok aje. Kali ini yakin aje. Lu try tengok dengan wa! Gua sure lu tak nyesal"
"Okey! wa gamble! Jom... nyak!"
(Katerina-Ahadiat Akashah ,2001, Syarikat Fajar)
2. Carilah novel serius. Ada jumpa bahasa dan nilai sebegini?
p/s: Saya sudah malas memberi komen. Cuma, 'tahniah' kepada yang bergembira dengan perkembangan terbaru ini.
Tuesday, December 12, 2006
Kerana Buku
jalanku pening dalam asap dan sesak jakarta
dalam kepalaku buku, buku, buku
kantung hingga nipis namun kartu kredit penyelamat
kalut di pesta buku, asyik di gramedia, tenang di walisongo
senandung opick tenggelami peter pan
tertangguk teater anak muda dan filem belanda
gejolak cair melihat percikan warna kanvas
sempat menjengah pasar kulit dan telekung
ingin menjeleng cewek
namun ada ingatan, ingatan dari mana ya?
uh, penat berjalan namun kenyang dengan nasi padang
kerongkong basah jus alpukat
dingin segar wuduk di istiqlal
selintas nama diponegoro, kuterfikir nasionalisme
hujan pula kemudiannya
pesawat air asia terlewat sejam
dan sms kertas kerja perlu disiapkan segera
membuat mataku merah hingga ke pagi.
Paling Baru di Mejaku
Buku Nilai-nilai Melayu-Satu Sudut Pandangan Orang Luar oleh Laurent Metzger baru sahaja dilancarkan pagi tadi (12 Disember 2006) di Auditorium Utama, UPSI, Tanjong Malim.Dr. Laurent Metzger, kelahiran Perancis pernah berkhidmat dengan ITM, UKM dan UM sebelum di UN, Singapura. Pengkaji sastera dan budaya Melayu juga menulis tentang Islam di Singapura dan Kesultanan Melayu di Malaysia dan menterjemah beberapa karya sastera ke dalam bahasa Perancis.
Buku ini merupakan salah satu daripada siri penerbitan Projek Penyelidikan Institut Peradaban Melayu (IPM), UPSI dengan kerjasama Penerbit UPSI. Kandungannya tentang konsep nilai, nilai dalam konteks pendidikan, bahasa dan juga ekonomi. Juga secara umum tentang perubahan nilai masyarakat Melayu.
Jika berminat sila hubungi Penerbit UPSI atau ke sini. Harganya RM 28.00
p/s: Jika ingin saya belikan bayar dulu ya.
Thursday, November 09, 2006
Puisi: Darah Coklat Manusiawiku
ketika manusia ketawa melihat badut pesta ria berlakonsusah untuk aku percaya bahawa air mataku makin banyak
ya, aku demikian kerana memikirkan darah coklatku
yang sudah lupa tona dirinya dan mana mula lampin basahnya
manusia ini juga pernah menangis ketika orang lain berdekah
mereka berdarah, berkulit dan bernafas sepertiku
tetapi tangisan mereka adalah kerana perut sendiri yang kosong
setelah penuh mereka mentertawakan orang lain pula
ada juga dalam kelompok manusiawiku
yang berambut hitam dan makan sambal belacan
tetapi hati teringin sangat bersembahyang hari ahad
meneguk wiski berbintang lima
dan mentertawakan perjuangan datuk moyangnya
malamku tanpa bintang, dihilangkan malang
awan siangku suram, tetap begitu
hingga kini kunanti berubah
entah, entahlah
doaku, doa kami yang berharap
teguhkanlah iman kami
selamatkan manusia bernama Melayu ini.
ARIFF MOHAMAD
p/s: Puisi ini tidak diedit sepatah katapun. Saya tidak akan menghantar ke mana-mana penerbitan. Untuk blog ini sahaja.
Sesak di Kuala Lumpur
Jam 6.45 petang. Beginilah di Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi pada waktu sebegini. Hari ini, 7 November. Hujan. Lebat. Sangat lebat. Viper digerakkan pada kelajuan tertinggi. Lampu dipasangkan. Hawa dingin terasa mencengkam. Suara di radio hampir tenggelam. Hujan oh hujan.Hari ini aku terperangkap. Sesak di jalan. Banjir! Kemungkinan yang membimbangkan. Sudah hampir satu jam dalam kereta dari Selayang melalui Jalan Kuching menuju ke Kajang.
Hari semakin gelap. Dan tambah digelapkan dengan curahan hujan. Aku sabarkan diri. Mungkin biasa bagi sesetengah orang, namun tidak bagiku. Kesesakan, kelambatan, berlamanya dalam kereta bukan lagi satu pengalaman yang perlu aku tempuhi. Aku tidak suka pengalaman ini.Nampaknya, semakin besar jalan raya, semakin tinggi harga petrol, semakin banyak lebuh raya bertol, semakin sesak jalan raya. Semakin dan semakin.
p/s: Lagu Kembara, “Sesat di Kuala Lumpur” tapi ramai yang “sesak”
Tuesday, November 07, 2006
Kejujuran dalam Berkarya
Buka kembali folder, jumpa cerpen ini, saya cetak dan ubah sikit-sikit kemudian terus hantar ke Utusan Karya. Agak lama juga, 3-4 bulan, tersiar akhirnya.
Begitulah, dalam proses pengkaryaan, ada ketikanya kita tidak perlu memikir-mikir sangat tentang apa yang kita tulis itu. Kalau kita mencerewetkan diri, bimbang dengan gaya bahasa, tema cerita, nama watak, plot cerita dan sebagainya, nanti karya itu terperap sajalah.
Ya, setiap karya mesti jujur. Jujur dari kita sebagai pengkarya. Tetapi jangan diabaikan tentang estetika, nilai dan pemikiran yang bernas kerana di situlah letaknya keistimewaan kesusasteraan.
Begitu juga dengan puisi yang dihasilkan. Ada ketikanya puisi di negara kita ini mengikut musim (lihatlah di akhbar mingguan sebagai contoh). Kalau Hari Guru, adalah puisi-puisi tentang guru seolah-olah guru tidak wujud pada waktu yang lain. Puisi tentang pengorbanan guru atau penghargaan terhadap guru boleh ditulis, dihantar tidak mengira masa. Begitu juga dengan tema nasionalisme, puisi-puisi mengingati perjuangan dan kemerdekaan akan dilihat tersiar sekitar Ogos dan September. Macamlah bulan lain, kita tidak patriotik. Begitulah juga dengan tema peperangan, krisis di Timur Tengah dan lain-lain. Seolah-olah bermusim. Padahal isu-isu umum dan sejagat ini melatari kehidupan kita sehari-hari.Saya agak susah untuk menulis puisi-puisi bermusim ini. Jika terlintas untuk tulis, tulislah. Mungkin sebab itulah agaknya apabila saya menghantar puisi nasionalisme pada bulan April tidak tersiar. Sepatutnya hantar pada bulan Ogos, itupun kalau terpilih untuk disiarkan.
Maaflah saya tegur sikit, pada bulan Ogos dan September lalu, dunia digoncang dengan krisis di Lubnan dan Palestin. Maka ada sebuah majalah sastera mahu puisi-puisi khas untuk mengenang dan membela golongan yang malang ini. Saudara seislam kita juga. Usaha ini amat baik sebenarnya. Tapi puisi-puisi yang dihantar dan tersiar? Entahlah saya bukan panel hadiah sastera, tapi hanya beberapa sahaja yang dikatakan baik, selebihnya, ….? Sebab itulah saya katakan jujurlah dalam berkarya!
Cerpen Nostalgia
Raya Sudah Habis
Dalam suasana beraya, menonton tv kalau sempat atau ketika berziarah atau bersama-sama tetamu, sempat juga menoleh ke kaca tv. Kebanyakan filem yang ditayangkan, telah saya tonton. Drama pula banyak yang diulang dari tahun-tahun lepas. Lagu-lagu raya pun lebih sedap dengar di radio.
Tapi yang agak menarik bagi saya adalah iklan komersil. Durasi hanya 2-3 minit tetapi berkesan. Antara iklan yang menarik sempena hari raya ini ialah iklan syarikat Petronas, PNB dan KFC.
Antara dialog yang diingati ialah
“Panas sangat ke kopi tu?” – menunjukkan sikap sombong dan sudah bosan dengan karenah si tua. Disambung pula “Karpet baru raya ni.”
“Abah ni kenapa ni, dah tahu…” – luahan dan rungutan hingga ke peringkat sudah hilang sabar tetapi masih bersopan.
Dan yang paling mengusik apabila anak kecil berkata, “Nanti bila kakak besar, abah dengan emak duduk sini, kakak dengan adik duduk dalam rumah”
Visual bercerita dengan penuh pengertian seperti kucing sedang makan, gambar yang difremkan, pinggan mangkuk yang dijatuhkan dan wajah murung si tua.Penerbit atau pengarah iklan ini berjaya menimbulkan kesan melalui lagu ‘Aku Ingin Pulang’ nyanyian Ebiet G Ade yang menjadi latar.
Harapnya lebih banyak iklan bermesej kemanusiaan, kemasyarakatan dan keislaman dihasilkan.
Untuk menonton iklan tersebut, klik sini
p/s: Ada berpuluh-puluh lagu Ebiet dalam mp3. Aku teringat si ayah di kampung. Juga memikirkan bagaimana aku tua nanti?
Thursday, November 02, 2006
Heart?
Banyak kali juga saya menonton filem Indonesia. Antara yang saya ingat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini ialah filem Cinta dalam Sepotong Roti, Ada Apa dengan Cinta, Daun di Atas Bantal, Ca Bau Kan, Pasir Berbisik, Biola Tidak Berdawai, Bintang Menari dan beberapa lagi.Yang agak baharu ialah filem Mirror dan Dealova (belum lagi saya tonton) sebelum itu Heart, dan agak lama sebelum ini filem Janji Joni, Eiffel I’m In Love, Ungu Violet, Kiamat Sudah Dekat, kemudian Tentang Dia dan 9 Naga. Apabila saya memuji garapan filem Indonesia bukanlah bermaksud meremehkan filem kita sendiri (filem Malaysia). Saya adalah penyokong dan peminat filem Melayu sejak tahun 80-an lagi (sejak menonton tv). Tidak dinafikan ada filem kita yang dikerjakan secara serius dan baik (seperti filem Suhaimi Baba, Uwei, Bada Azmi, dan filem tv Osman Ali dan Rashid Sibir) tetapi ada banyak filem kita yang mengambil pendekatan mudah, ringan dan murah.
Lihatlah Remp-It yang bercelaru cerita dan mempunyai nilai moral yang rendah. Sebelum itu ada Jutawan Fakir, Lady Boss, dan apa-apa lagi. Terbaru, Erma Fatima pula buat Diva Popular, selepas ini Razak Mohaideen teruskan tradisinya dengan Nana Tanjung dan ada pula Cicakman keluaran KRU. Filem-filem yang bertema ringan, kehidupan masyarakat ini boleh digarap dengan lebih menarik, berkesan dan serius. Filem kita lebih banyak mahu memberi ketawa semata-mata kepada penonton.
Baru-baru ini saya sempat menonton filem Heart arahan Hanny R. Saputra dalam bentuk DVD. Fokus pada tiga pelakon utama filem ini, kesemuanya bintang baru Irwansyah, Nirina Zubir dan Acha Septriasa.Temanya ringan tetapi penggarapannya serius. Sebenarnya tarikan utama saya ingin menonton filem ini adalah kerana lagu-lagunya. Lagu-lagu ciptaan Melly dan Anto Hoed bagi saya memang brilliant. Beberapa lagu dalam filem ini dinyanyikan sendiri oleh pelakon utamanya. Sedap didengar dan cepat digemari.
Filem bertema cinta tidak banyak membawa kesan dan pengajaran melainkan untuk remaja yang bercinta. Namun unsur kemanusiaan, kasih sayang yang dipaparkan adalah bersifat universal yang perlu difikirkan kewajarannya.
p/s: Sambil memandu saya mendengar lagu-lagu dari album soundtrack filem ini.
Wednesday, November 01, 2006
Ke Suluh Budiman

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah atas kurniaanNya. Saya telah berhijrah ke Tanjong Malim, Perak, berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 16 Oktober lalu.
p/s: Pulang ke negeriku!
Bengkel Penulisan Kreatif Kelab PBMP UPM



sejuknya air sungai
redupnya rumpun buluh
memupuk sedikit ilmu
menimba pengalaman
bercerita dengan alam
lewat kreativiti prosa puisi
sesederhana mungkin.
Menarik juga. Secara santai di tempat terbuka (tepi sungai) berbengkel tentang penulisan kreatif kepada bakal-bakal guru, mahasiswa-mahasiswi Sem. 3 Fakulti Pengajian Pendidikan UPM.
Penceramah dan pembimbing bengkel ialah SN Prof. Dr. S. Othman Kelantan, Napie Mat, S.M Zakir dan saya sendiri.
Tahniah juga inisiatif PENA dan Kelab PBMP UPM atas pelaksanaan program sebegini. Semoga bakal-bakal guru ini dapat memanfaatkan apa yang telah disampaikan dan dibincangkan sepanjang ceramah dan bengkel sekaligus mendalami minat dalam bidang bahasa dan sastera ini. Dan serahkan minat itu kepada bakal pelajar apabila menjawat gelaran guru nanti. Tanggungjawab ini besar dan penting sebenarnya!
p/s: Saya telah tunaikan janji saya kepada peserta bengkel bahawa gambar akan dimasukkan dalam blog ini. Cuma agak lewat. Juga terima kasih kepada Haji Naffi Mat, penyelia sarjana saya di UPM dahulu yang telah banyak membantu saya. Budi tuan tidak cukup dengan terima kasih, semoga Allah yang membalasnya.
Thursday, October 19, 2006
Selamat Hari Raya
Saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pengunjung blog ini juga teman-teman.
Tuesday, August 22, 2006
Kuartet Merdeka
Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan, banyaklah program, filem dan telefilem bertema nasionalisme yang ditayangkan. Namun banyak yang bernada tempelan, jeritan dan slogan yang dirasakan bermusim.
Kuartet Merdeka membawa kisah empat sahabat Azmi, Kim Pang, Aru dan Suchat yang mewakili sekolahnya menyertai satu pertandingan lari berganti-ganti (kuartet) sempena Hari Kemerdekaan (ulang tahun kemerdekaan). Dalam keadaan serba kekurangan material, mereka tetap gigih berlatih di bawah bimbingan Cikgu Jalil dan Cikgu Hashim. Mereka berlatih di sekitar sawah padi, ladang getah kerana sekolah mereka tidak mempunyai kemudahan yang secukupnya. Keadaan ini menggambarkan dalam serba kekurangan kejayaan tetap boleh dimiliki atas syarat gigih dan yakin. Persahabatan mereka kekal hingga dewasa sambil tidak terelakkan permasalahan hidup masing-masing.
Telefilem ini melihat kemerdekaan bukan sahaja perlu dihadiahkan dengan bunga api dan mercun serta jeritan dan lagu-lagu, tetapi mengingatkan perjuangan sepadu yang perlu digembeling lalu dikekalkan.
Pada saat agak heboh untuk mencari filem terbaik, apatah lagi pelakon terbaik, telefilem sebegini wajar ditonton agar pihak-pihak tertentu janganlah terlalu sombong kononnya mereka sahaja boleh menghasilkan filem yang hebat. Dalam telefilem ini contohnya, mudah dari segi penceritaan, namun berkesan dari segi teknik imbas kembali dan sinematografi dan menggunakan bahasa yang lancar (walaupun banyak dialek utara digunakan). Tidak perlu berbahasa Inggeris untuk menjadi filem Malaysia yang sebenarnya, konon.
Filem ini dilakonkan oleh Eman Manan, Idris Diah, Mustafa Mahidin, Dr. Samat Salleh dan beberapa lagi. Kesemuanya lelaki. Tiada adegan belasah, tiada menangis meraung, tiada peluk-peluk, tiada lawak bodoh, tiada adegan kelab malam dan tiada apa yang sering dilihat dalam telefilem dan filem kita yang popular. Penulis skrip dan pengarah telefilem ini ialah Syed Azidi Syed Aziz. Pengarah Harapan FFM 19 baru-baru ini.
Sunday, August 20, 2006
Tongkat Warrant, Seorang Pejuang
Inilah seorang tokoh kemerdekaan yang seakan hampir dilupakan. Seorang pejuang multibidang (pertahanan negara – polis, sosiopolitik - wartawan, kemanusiaan – penulis/penyair, pentadbir – editor, ekonomi – penasihat dewan perniagaan). Beliau ialah Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang.
Beliau pernah menggunakan nama pena Tongkat Warrant. Genre yang banyak dihasilkan oleh beliau ialah puisi dan drama. Beliau hanya menghasilkan sebuah novel iaitu Tulang-Tulang Berserakan. Novel ini cukup besar dan penting dalam kesusasteraan Melayu.
Perjuangannya bermula awal 1950-an lagi ketika menjadi Setiausaha Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). ASAS 50 ketika itu bukan semata-mata berjuang dalam soal bahasa dan sastera malahan telah menjangkau perihal politik hingga membawa kepada penggubalan dasar-dasar negara. Sempena ulang tahun ke-49 kemerdekaan negara dan sempena ulang tahun ke-50 DBP (tempat beliau pernah berjasa), sesuatu perlu dilaksanakan untuk mengangkat dan mengenang kembali jasa besar tokoh ini. Sambil itu, fikirkanlah sejenak tentang apa yang telah kita buat untuk negara pada masa ini dan kesannya pada masa hadapan. Al-fatihah untuk Pak Usman.
Laman web SN Usman Awang ialah http://www.tongkatwarrant.com/
Melayu di Pulau Pinang

Nasib Melayu di Pulau Pinang masih belum terbela dan terbela (bela-pelihara, bela-dilindungi). Masalah Melayu di Pulau Pinang (terutama bahagian pulau, sekitar George Town) sejak sekian lama masih tidak berubah. Isu ini telah dibangkitkan sejak tahun 70-an, berterusan dalam 90-an hinggalah ke hari ini. Lebih menyedihkan pemimpin utama negara kita satu ketika dahulu dan sekarang adalah dari utara (Tun Dr. Mahathir, Dato’ Seri Anwar, Dato’ Seri Abdullah).
Dalam Mingguan Malaysia hari ini (20 Ogos 2006), wawancara dengan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Salim Abd Bari dinyatakan beberapa persoalan tentang nasib Melayu di negeri itu dan juga berkaitan dengan cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri. Belum pun usul penggiliran jawatan ini dibawa ke peringkat lebih atas, mereka sudah diberi ‘amaran’ agar tidak memanjangkannya. Parti Gerakan nampaknya cukup bimbang kehilangan kuasa. Tapi UMNO peringkat pusat perlu mengambil perhatian akan hal ini.
Antara isu orang Melayu di Pulau Pinang yang dinyatakan dalam MM hari ini ialah pemilikan tanah di bandar, pengabaian kawasan Melayu di bandar, pembangunan tanah wakaf, pembangunan luar bandar yang meminggirkan orang Melayu dan masalah sosial antaranya penagihan dadah.
Di tengah-tengah bandar raya Geoge Town atau sekitarnya, payah sekali menemui nama Melayu yang gah. Kedai-kedai besar tidak banyak milik Melayu. Jika adapun hanya kedai-kedai kain dan restoran yang boleh dibilang dengan patahan jari. Melayu lebih banyak ditemui menjual laksa dan air sirap di Jalan Kulit atau gerai pasar malam. Yang lain dikuasai orang Cina dan India Muslim. Penguasaan ekonomi di sini telah lama dikuasai oleh bukan Melayu.
Orang Melayu di Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai) perlu bangun bersuara. Secara umum, seluruh Melayu di negara ini perlu mengambil perhatian akan perkara ini. Menjelang ulang tahun kemerdekaan, tidak salah malah digalakkan menunjukkan patrotisme dengan mengibar bendera. Namun apa maknanya jika kita hanya berdiam diri tentang hal-hal sebegini.
p/s: Saya pernah tinggal di Pulau Pinang selama tiga tahun sebagai pelajar. Saya tinggal menyewa di No. 63, Lengkok P.Ramlee tidak jauh dari jalan Air Itam dan Jalan Free School. Pernah mengajar di SRK Francis Light dan di Tanjung Tokong. Ketika itu saya sudah nampak permasalahan Melayu di sini.
Banyak kenangan di Pulau Pinang. Persekitaran lautnya cantik. Angin bukitnya segar. Nasi kandarnya memang ‘power’, dan tidak lupa anak mami yang manja.
Peperiksaan Semakin Hampir!
Setelah Aku Ditinggalkan…
Al-kisah Mawi dan Diana telah senyap di media. Kini heboh tentang Datuk K dan Siti Nurhaliza pula. Biarlah mereka hendak kahwin mengalahkan putera raja pun. Mereka sama-sama kaya. Saya tidaklah berminat untuk mengetahui lebih banyak tentang perkahwinan mereka atau pernyataan akhbar kedua-duanya.

Bagaimana agaknya dengan bekas isteri Datuk K? Beliau masih muda juga, awal 40-an jika tidak silap. Jika Diana telah muncul dalam teater, telah menjadi model untuk iklan busana muslimah, dan mungkin iklan apa lagi selepas ini, dan khabarnya ingin jadi penyanyi nasyid pula. Tengku Zawyah pun rasanya boleh jadi terkenal juga. Atau mungkin beliau hanya berdiam diri sesuai dengan sikap low profilenya.
Kepada Mawi dan Datuk K, seharusnya beri peluang kepada bekas pasangan mereka itu jadi terkenal seperti anda. Diana dan Tengku mungkin akan berkata. “Setelah aku ditinggalkan… aku perlu mengubati kepiluan hati ini.”
Cuma caranya terpulanglah kepada mereka.
p/s: Apa gunanya terkenal kalau tidak memberi apa-apa makna kepada perjuangan bangsa, agama dan negara!
Monday, August 14, 2006
Gubra?
Gubra menang filem terbaik. Tahun lepas Sepet kalahkan Puteri Gunung Ledang. Ada orang boleh terima sebab kelainan yang dibawa oleh Sepet. Nilai keluarga, persahabatan dan integrasi kaum. Tapi Gubra lain sedikit. Ada hal yang sensitif tentang agama dipaparkan. Kisah ustaz berjiran dengan pelacur dan beberapa lagi isu. Seolah-olah Islam itu boleh buat semua. Keterbukaan yang tidak bertempat. Cacamerba. Menang juga. FFM19 pun cacamerba. Cerita terbaik dimenangi filem lain. Pengarah terbaik Suhaimi Baba. Filem terbaik Gubra (Yasmin). Entahlah. Siapalah juri tidak tahu pula.
Ada apa pada Gubra? Saya tidak mahu mengulas banyak. Boleh baca dalam blog tehranifaisal dan artikelnya dalam Dewan Budaya, Julai 2006.
Thursday, August 10, 2006
Puisi Sempena Hari Kebangsaan

Cerita Lain tentang Kemerdekaan
burung-burung bersarangan, damai menyemati diri
dalam-dalam diusik bayu sentosa bumi terindah
perjuangan belum tamat dikisahkan
namun kita cepat bertepuk tangan
sama-sama, bergembira
awan putih, langit biru, kasih satu
sungguh-sungguh, nikmat dikecap
perjuangan, seberat manapun jarang difikirkan
mahal keringat jerih payahnya
kita hanya (masih) bertepuk tangan
menjerit melaung tanpa makna sebati
sama-sama, bergembira
daun-daun berguguran melewati hari
aliran di sungai menghimpun kedukaan
langkah ke puncak sering tersangkut
harapan terhalang dek kewalahan memanjang
impian seumpama slogan ditertawakan
cita-cita murni disindir tanpa perdebatan
maka beginilah
mengusung cerita komedi ke sana ke mari
sedang diri tanpa genggaman berisi
suara ini bukan pancaran pesimisme
jatidiri telah dikukuhkan sejak berzaman-zaman
namun percayalah, kealpaan dan khayalan
akan menghanyutkan melainkan segera ingat
perlu berubah, perlu kembali digubah
sesekali langit mendung memberi isyarat
hujan, turunlah semahu-mahunya
biar bumi ini berbanjir nasionalisme
lupakan pedih atau cerita sedih
letakkan fantasia sepanjang hari ke tepi
jalinan kemerdekaan yang berselirat
telusuri alurnya namun perlu gagah
tiada kata lain untuk kemerdekaan ini
hanya bersedia dan berjuanglah lagi!
ARIFF MOHAMAD
Kajang.
Saya dan Datuk Baha

Saya ingin memberi penghormatan kepada tokoh ini. Bagi saya, beliau adalah tokoh yang jujur dalam perjuangannya tentang bahasa, sastera dan budaya. Beliau ‘maintain’ apabila bercakap tentang isu-isu bahasa dan sastera ini dengan terbuka dan berani. Tidak seperti sesetengah rakan seperjuangannya yang sekejap begini sekejap begitu. Mendengar ucapannya sepuluh tahun dahulu, tahun lalu ataupun semalam sekalipun, nadanya tetap sama. Pendiriannya tetap jelas.
Tahniah Datuk Baha. Anda juga adalah hero. Walaupun tanpa riuh didendang dan dijulang.
Dua buku yang dilancarkan
Satu lagi buku yang dilancarkan ialah antologi puisi Manuskrip Luka Bangsa. Penyelenggara Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman. Puisi yang termuat sumbangan 59 orang penulis tanah air termasuk beberapa penulis baru. Berharga RM10.00. Boleh dapatkan di PENA atau sila ke ujanailmu.
Aku yang memetik kamera
Apabila dilihat kembali di komputer, memang banyak tetapi gambar sendiri yang paling kurang. Memang itulah nasib jurugambar.
Gambar juga punyai bahasa yang tersendiri. Daripada gambar, seolah-olah dapat dikesani apa yang dirasakan oleh seseorang. Ada yang senyum meleret, ada juga yang seakan-akan terpaksa. Ada yang malu-malu, dan ada yang pura-pura malu. Gambar juga dapat bercerita dengan tafsiran yang tersendiri. Hampir sama seperti kita menilai lukisan. Ada yang punya rasa, ada yang dapat menyelami fikiran dan estetik, dan ada yang beranggapan kosong, entah apa-apa.
Siti Jasmina dan Nisah Haron dari PEN.
Ya, aku memang seronok memetik kamera. Seronok melihat kejujuran manusia. Dapat menerka hati budi beberapa manusia. Seronok melihat gambar bercerita dengan tafsiran hati dan akal.
Pelancaran www.penamalaysia.com

Persatuan Penulis Nasional (PENA) kini mempunyai laman web sendiri. Tahniah untuk PENA. Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang mewakili Menteri Besar pada malam perasmian Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 4 Ogos 2006. Sila masuk.
p/s: Harap sentiasa update.
Setelah Berseminar
Antara teman-teman dan jawatankuasa kerja
Antara peserta seminarSeminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 (SPPN) di Port Dickson telah pun berakhirAhad lalu. Bagi pihak penganjur dan jawatankuasa kerja, kami mengucapkan terima kasih atas penglibatan dan kerjasama semua pihak.
Seminar ini telah menghimpunkan cendekiawan, sasterawan, budayawan, pendidik, mahasiswa, peminat sastera, penulis dan wakil dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan individu yang berminat.
Selain itu seminar ini mempertemu sahabat-sahabat lama dan menjalin perkenalan baru. Keseluruhannya seminar ini berjaya. Berjaya dilaksanakan walaupun ada juga kekurangan dari segi sarana dan kemudahan tempat tinggal yang agak sempit, juga jadual yang agak padat.
Resolusi yang dibentangkan termasuk gagasan untuk Dasar Kesusasteraan Kebangsaan akan dimurnikan lagi dan dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi. Dengar khabar, ada cadangan untuk diadakan kongres tentang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan ini pada masa akan datang. Apapun, yang penting untuk kebaikan bersama.
Seminar ini telah mengumpulkan kertas kerja yang baik sekaligus dapat menambah bahan dokumentasi tentang kesusasteraan Melayu juga dapat mengecas pemikiran segar.
p/s – Antara lain, secara ‘sense’ indera keenam mungkin, saya dapat mengenali dan membaca hati budi beberapa manusia. Juga betapa politik dalam sastera tetap ada cuma kembang dan kempisnya sahaja bergantung kepada keadaan. Saya berharap saya masih kuat untuk berperindian secara wajar, ya, seperti saya sekarang.
Wednesday, August 02, 2006
Jumpa di Seminar!
Sebagai salah seorang di pihak urus setia, saya berharap seminar ini berjalan dengan lancar. Semoga juga kita dapat mencari kejernihan dan apa juga yang positif terhadap bahasa, sastera dan budaya. Jumpa di sana!
Ini bukan masa untuk gembira
Banyak gambar, berita dan pandangan yang baik boleh dilihat dalam beberapa laman web dan blog.
Wangi?

Teater yang mengambil perbelanjaan lumayan (khabarnya 600 ribu Ringgit Malaysia) menemui khalayak dari 27 Julai hingga 6 Ogos ini.
Drama ini membawa tafsiran lain tentang teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dari sisi Dang Wangi (isteri Hang Jebat) yang dikatakan menjadi saksi pembunuhan Hang Jebat yang dilakukan oleh Pateh Kerma Wijaya, bukannya Hang Tuah.
Sememangnya teks sejarah boleh ditafsir dalam berbagai-bagai bentuk dan pandangan, namun beberapa perkara yang mengusik sensitiviti perlu diambil kira.Beberapa perkara boleh dibincangkan dari segi ‘fact in story’ teater ini.
Tidak ada sedikitpun pertarungan, tiada amukan melainkan hanya ketenangan dan perbualan klise antara dua saudara lagenda itu. Muzik yang tulen berunsur kejawaan dapat dirasakan. Di mana muzik Melayu, di mana orang Melaka?
Dari segi props dan pembinaan pentas, terlalu ringkas dirasakan. Menggunakan tayangan gambar slaid dengan tatacahaya dan kain langsir yang sekejap ada sekejap tiada, juga papan lapis tiga tingkat menunjukkan ini bukanlah teater yang layak dengan belanja yang sedemikian besar dan menggunakan khidmat pakar props luar negara pula. Tidak ada watak sultan, tiada latar istana yang indah, hanya kosong seperti teater di Stor DBP.
Dialog yang mulanya indah berseni, terutama perbualan antara Kerma Wijaya (Khalid Salleh) dan Bendahara (Datuk Rahim Razali) namun tidak dikekalkan hingga ke akhir. Watak Wangi yang sepatutnya kuat hanya merintih dan menyerah. Begitulah pada pandangan karya ini terhadap wanita Melayu.
Lakonan Jebat (dimainkan oleh Soffi Jikan pada malam saya saksikan) tidak menunjukkan keperwiraan yang sepatutnya. Dia hanya lebih banyak menggeletar, mungkin menunjukkan gelisah dan ketidaktentuan, dan begitulah keadaannya hingga akhir. Tiada bukti kasih sayang dan mesra terhadap Wangi hinggakan pada saat kematiannya, isterinya itu ditolak jauh-jauh.
Pelakon hanya hanya enam orang. Ini tidak termasuk ‘ninja’ berpakaian hitam (sebagai peletak dan pengangkat props kecil seperti dulang dan cawan) yang kadangkala terasa melucukan. Mungkin tiada cara lain, atau tiada pakaian lain untuk mereka. Sungguh berjimat teater ini nampaknya. Saya teringat pada bulan lalu, saya menonton Bangsawan Naga Chini di Istana Budaya. Pelakonnya ramai, propsnya cantik, aksinya menarik. Walaupun ada kelemahan, namun secara keseluruhan rasa berbaloi dengan bayaran tiket yang minima RM20 berbanding yang ini, paling minima RM35.Apapaun, persembahan ini telah berjaya dipentaskan. Namun, diharapkan DBP mencari skrip yang baik dari karyawan yang teruji untuk mempersembahkan teater di auditorium yang cantik itu pada masa mendatang. Sememangnya tiada kesempurnaan dalam apapun, namun biarlah ada kepuasan di kalangan penonton sama ada estetika mahupun keinteletualannya.
Saturday, July 22, 2006
Kerja, Aktiviti, Sensitiviti
Apabila pelajar-pelajar semakin hampir dengan peperiksaan, cikgu-cikgu yang lebih berdebar-debar. Nampaknya yang rajin mengulangkaji (selain pelajar-pelajar yang punya motivasi tinggi) cikgu-cikgu pun turut mengulangkaji.
Minggu ini, dua tragedi yang menyedihkan melanda umat Islam. Di Lubnan, semakin menjadi-jadi celakanya Israel. Di Pulau Jawa pula, hempasan ombak besar terjadi lagi. Membaca berita dan melihat gambar-gambar di akhbar juga di internet, terasa sungguh menyedihkan. Tragedi yang cukup mengusik sensitiviti kita.
Itu tidak termasuk lagi tragedi dalam soal budaya dan bahasa di negara ini. Selain isu penyanyi yang hendak kahwin diperbesar media, cadangan jawatankuasa Laporan Pengajian Tinggi supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di Institusi Pengajian Tinggi Awam merupakan 'pukulan maut' dan 'malapetaka besar' kepada bahasa Melayu. Jika cadangan tersebut diterima dan dilaksanakan di universiti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan mati. Malahan jika penggunaan bahasa Inggeris dilaksanakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti, bahasa Melayu hanya akan menjadi bahasa pasar.
Aduhai, aduhai.
Sementara itu, pada 18 dan 19 Julai lalu, Unit Dokumentasi Warisan Melayu dan Peribumi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM menganjurkan Seminar Bahasa Melayu Mahawangsa. Saya sempat hadir pada hari pertama, sebelah petang. Hanya mendapatkan dua kertas kerja dan ke gerai-gerai buku. Tiga buah buku terbitan Indonesia saya beli. Terserempak dengan Dr. Arbaie dan Dr, Ahmad Mahmood Musanif. Kemudian ke bilik Haji Naffi Mat, serahkan surat dan brosur Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional yang akan berlangsung di Port Dickson pada 4-6 Ogos ini.
Malam 19 Julai lalu, berlangsung Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Dari Rumah Pena, letak kereta berhampiran stesen monorel. Bersama-sama Zakir, Rahimidin dan Lutfi kami menaiki monorel kerana bimbang kesesakan jalan, apatah lagi sudah agak terlewat.
Tahniah, syarikat Utusan Melayu kerana telah 21 tahun menganjurkan hadiah ini secara konsisten. Cuma agak tersentak apabila kategori baru, novel Inggeris dimulakan tahun ini. Saya pun tidak pasti apa tujuan yang sebenar-benarnya? Mungkin kerana kehendak penaja.
Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 semakin hampir. Buku himpunan kertas kerja kini di peringkat final sebelum dicetak. Begitu juga kad jemputan dan maklumat peserta. Kami akan berkampung lagi di Rumah Pena seminggu dua ini untuk melangsaikan apa yang patut.
Saya berhenti di sini. Ingin membuat sedikit persediaan. Ada ceramah teknik menjawab Kertas 2 Bahasa Melayu esok.
Sunday, July 16, 2006
Detik jaringan Zidane (11:09)?
Imej yang dipaparkan berikut berfokus kepada Zidane, yang dikatakan makin tua makin menjadi itu. Ini bukan perbincangan tentang taktikal dalam permainan, bukan juga siapa hebat, siapa bintang. Ini adalah pandangan dari sisi yang lain. Analisis yang ironi, lalu menuntut kita berfikir dan menafsir. Mungkin benar satu kebetulan, dan metafora yang berkias.


Friday, July 14, 2006
Interlog, Enter Blog
Gambar hiasanSaya tidak banyak tahu tentang aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi. Menggunakan komputer hanya untuk menaip menggunakan Microsoft Word sahaja. Saya belajar sendiri melayari internet, blog, download atau menggunakan apa-apa program Microsoft Office kerana minat ingin mencuba dan desakan-desakan tertentu. Contohnya untuk berceramah kenalah tahu Powerpoint dan sebagainya.
Maka, atas dasar cuba-cuba itulah blog ini terbina sambil ingin berkongsi pengalaman dan kebolehan yang serba sedikit dengan pembaca.
Blog ini bukanlah untuk kepentingan diri. Saya hadir dalam dunia sastera dengan niat baik dan merasakan saya ada kebolehan dalam bidang ini. Seperti yang saya tulis sebelum ini, dunia sastera memberikan keindahan namun ada juga yang melukakan. Dunia sastera kadangkala riuh kadangkala sepi. Dan bertambah sepi apabila ada pihak yang menjadikannya projeksi politik, siasah manusia. Ada perkara yang membuatkan kita marah, geram dan tidak puas hati. Namun begitu, semuanya dipujuk sendiri. Menganggap sebagai satu perjuangan, ya, perjuangan yang mesti diteruskan. Ibarat seorang peladang, asalkan pokok yang ditanam dapat dilihat tumbuh subur, berbunga dan berbuah segar sudah memadai. Berkat usaha, ada rezeki. Alhamdulillah. Jika ada yang menghargai terima kasih dan saya serahkan ke hadrat Allah.
Salam hormat.
Tuesday, July 11, 2006
"Selamat Tinggal Kekasihku…"
Program hiburan yang paling diminati sekarang ini ialah rancangan realiti berbentuk pertandingan nyanyian. Berbagai-bagai nama diberi seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Mentor dan macam-macam. Dan isu yang saya sentuh ini adalah sebenar-benar ‘realiti’.
Minggu ini hangat memperkata tentang kisah Asmawi, penyanyi hasil undian ramai dari salah satu program yang saya nyatakan di atas.. Kisahnya boleh dikatakan sama hangat dengan kekalahan Brazil di tangan Perancis dalam kejohanan bolasepak Piala Dunia di Jerman. Dalam tempoh yang amat dekat, Mawi putus tunang dan kehilangan ayah tercinta.
Takdir Yang Maha Kuasa. Tiada kuasa tangan manusia menghalang. Namun kisah putus tunang ini mencetus kontroversi. Mawi dituduh tidak bersikap adil, telah berubah sejak popular dan kaya-raya. Ada yang simpati pada Noor Diana, tunang Mawi. Pendapat pro dan kontra tercetus. Ada yang memberi komen dan pandangan secara matang, ada juga yang seperti budak-budak darjah enam. Siapa benar, siapa salah, entahlah.
Gambar dari Berita Harian, 11 Julai 2006Walaupun kehidupan ini adalah realiti, tetapi memang berat untuk kita menerima hakikatnya. Inilah yang dialami oleh Mawi dan juga Diana. Kisah cinta mereka bermula di Felda telah berakhir. Berakhir setelah si putera berada di puncak kejayaan manakala si puteri sedang membina impian untuk bersama. Maka jika dijudulkan sebuah karya, judulnya “Selamat Tinggal Kekasihku.” Cuma agaknya siapakah yang mengujarkannya? A atau N?
Kita sepatutnya menghormati keputusan mereka. Sesiapapun bebas memperkata tentang Mawi seperti juga sesiapapun boleh mengundinya melalui sms.
p/s – Saya tidak banyak tahu tentang kisah Mawi ini. Dan tidak mahu ambil tahu sangat pun. Cuma, ingin dinyatakan di sini, Asmawi mahupun Noor Diana juga manusia biasa seperti kita. Sesekali mungkin tersilap, terlupa, walaupun sentiasa mengharapkan kewajaran dan kebenaran. Teruskan perjalanan yang masih jauh, Insya Allah.
Monday, July 10, 2006
Cerpen "Pelangi, Kami Ingin ke Sana"

Syukur, Alhamdulillah. Rezeki. Cerpen ini menang hadiah utama (kategori cerpen remaja) Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil 2005. http://karyaekspresi.blogspot.com/
Kumpulan Puisi Bebaskan Ekspresi
Memuatkan 64 buah puisi yang dihasilkan antara tahun 1995 hingga 2003. Kebanyakan puisi dalam kumpulan ini pernah tersiar di beberapa akhbar dan majalah tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Watan, Akar, Dewan Sastera, Pelita Bahasa. Juga pernah tersiar dalam majalah kekeluargaan seperti Ibu dan Jelita serta majalah hiburan seperti URTV.Kumpulan puisi ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu i) Ekpresi Kehidupan Berlagu yang memuatkan puisi-puisi tentang sensitiviti penulis terhadap persekitaran masyarakat. Bahagian ii) Ekspresi Juang Patriot, berfokus kepada tema nasionalisme yang digemari penulis. Tentang perjuangan. Bahagian iii) Ekspresi Perjalanan Berkias, tentang perjalanan hidup yang menempuhi suka duka, berbagai-bagai pengalaman yang kembali kepada diri. iv) Ekspresi Cinta Kasih, di mana kasih sayanglah yang menjadikan seseorang itu kuat.
Kumpulan puisi ini sudah lama diterbitkan (sejak Jun 2003) tetapi tidak banyak terdapat di kedai-kedai buku. Untuk mendapatkannya hubungi e-mel ketukpintu@yahoo.com seseorang yang menguruskan jualan buku-buku saya melalui pos atau kunjungi http://www.ujanailmu.com.my/
Membuka Diari Lama (Siri 1)
Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 (PPMN05). Bertempat di Kukup Golf Resort & Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor pada 3-6 Jun 2005. Perhimpunan ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama erat Persatuan Penulis Johor (PPJ). Ini merupakan perhimpunan penulis muda yang terbesar alaf baru ini. Berbagai-bagai isu disentuh dalam berpuluh-puluh kertas kerja dalam beberapa sesi pembentangan, menghasilkan resolusi, juga dapat mendokumentasikan tiga buah buku penting iaitu prosiding (himpunan kertas kerja) yang bertajuk Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya, antologi esei bertajuk Idealisme Penulis Muda, himpunan puisi, cerpen dan fragmen novel dalam Antologi Karya Angkatan Sasterawan 2005 dan buku ucaptama bertajuk Memartabatkan Sastera Melayu oleh Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain).

Pasti masih segar dalam ingatan para peserta perhimpunan ini yang dapat menyaksikan kesungguhan penulis muda untuk menjadikan sastera sebagai wahana penting ke arah kemajuan negara dari sudut keinsanan dan pelestarian bahasa Melayu. Ada air mata yang menitis, ada pihak yang tersindir, ada kontroversi yang tercetus dan dapat mengakrabkan hubungan sesama penulis.

p/s- Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa, selain sibuk menjual buku, sempat juga mengambil gambar. Sesiapa yang masih belum mendapatkan gambar-gambar sepanjang perhimpunan ini, hubungi saya.
Demikianlah … yang indah dan yang melukakan.
Proses kreatif, dalam penghasilan sesebuah karya serius adalah perjalanan dalaman yang lenguh dan jenuh. Sepintas lalu, memang dilihat agak mudah dan cepat (menulis puisi dan cerpen contohnya) namun hanya orang-orang yang tertentu (maksudnya penulis) yang memahami dan merasainya. Dalam proses inilah berlaku interaksi akal dan rasa yang adakalanya menyeronokkan, seperti bermain-main di padang kenangan. Sesekali terkesan dengan watak yang direka sendiri untuk bercakap dan bergerak seperti yang dikehendaki. Ya, aneh. Kepuasan atau keseronokan seseorang penulis itu bertambah-tambah apabila karya itu diterbitkan atau disiarkan atau paling tidak setelah dicetak melalui printer sendiri.
Menggarap kreativiti (menulis) ini bukanlah kerja yang boleh dikongsi. Ia bersifat peribadi yang nilainya cukup mahal dan sangat bererti. Sebab itu, jangan hairanlah jika seseorang penulis itu sangat menyayangi karyanya. Tidak sanggup rasanya dicuri, ditipu, diciplak ataupun diperlekeh. Namun untuk tujuan kebaikan seperti pengeditan dan adaptasi, boleh diterima.
Bagi seseorang penulis, berkarya juga satu perjuangan. Perjuangan mengangkat nilai kesusasteraan itu sudah pastinya. Jika penulis Melayu, sastera Melayulah yang disayang dan ingin dimartabatkannya. Dari sisi yang lain, sastera juga wadah untuk motivasi diri. Semakin berazam untuk menghasilkan karya yang baik, diterima pembaca lantas mengambil manfaat daripadanya. Jadi, karya yang dihasilkan sepatutnya berniat baik, dapat memberi kepuasan dan keseronokan walaupun agak berat berperanan untuk menyedarkan, menghantar pesanan dan mendidik.
Sastera juga adalah salah satu cabang pendidikan malahan bidang teorinya adalah sains sosial. Pendidikan adalah suatu proses yang mempunyai tujuan yang biasanya diusahakan untuk mencipta pola-pola tingkah laku tertentu pada orang yang dididik. Setiap suasana pendidikan mengandungi tujuan-tujuan, maklumat-maklumat yang dapat dinyatakan sebagai kandungan, metod yang sesuai untuk mempersembahkan kandungan itu secara berkesan.
Berbalik kepada dunia sastera yang digulati. Proses kreativiti seseorang penulis tulen itu tidak pernah selesai hinggalah ke tahap keuzuran fizikalnya. Lihatlah Shahnon Ahmad (Datuk Profesor Emiritius, Sasterawan Negara) yang tidak pernah berhenti berkarya (dalam esei, cerpen dan novel) hingga sekarang. Begitu juga dengan Abdullah Hussain, A. Samad Said (kedua-duanya Datuk, Sasterawan Negara). Karya-karya mereka malar-hijau dan tidak jemu-jemu dihayati malah masih diperkatakan hingga sekarang.
Mereka (juga sasterawan terdahulu yang lain) telah menghasilkan karya yang memberi kesan kepada pembaca selain untuk berhibur, ada keindahan yang terungkap di dalamnya, ada falsafah yang tersembunyi, ada kata-kata yang perlu direnung-tafsir dan ada sindiran yang terkena pada sesiapa sahaja (walaupun ada juga yang bersifat ringan). Inilah perjuangan mereka. Dan mereka telah membuktikan.
Namun dalam situasi hari ini, apalah sangat pada sastera. Berapa banyak rakyat negara kecil ini yang membaca karya sastera pada saat hebohnya bolasepak Piala Dunia, Akademi Fantasia, juga kisah kahwin-cerai pelakon dan penyanyi. Begitu juga dengan kemudahan hiburan seperi kaset dan cakera padat, siaran televisyen 24 jam, akses internet, sms, mp3 dan macam-macam lagi. Ini tidak termasuk akan sibuknya manusia mengejar kemewahan atau paling tidak untuk bekerja siang malam mencari wang sebagai sara hidup agar dapat melunaskan perbelanjaan harian, bayaran bulanan kereta, bil telefon dan harga petrol yang semakin tinggi.
Maka sastera semakin kecil pada persepsi masyarakat negara ini yang tidak banyak tahu tentang manfaat dan keindahan pemikiran, falsafah atau apa sahaja yang baik dalam sastera. Karya-karya ringan, picisan begitu popular di kalangan pembaca negara ini terutama di peringkat remaja. Dari segi industri perbukuan memang ada baiknya tetapi dari segi pembangunan sahsiah dan intelektualiti, apa yang buku-buku sebegini boleh berikan? Secara peribadi, buku-buku ini hanya boleh memberikan kehancuran! Hancur budi bahasa, hancur bahasa, hancur akhlak.
Keadaan lebih runcing dan sakit apabila ada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab kerana ada kuasa dan upaya untuk melebarkan dan mengangkat martabat sastera tetapi tidak dapat berbuat demikian sepenuhnya. Tidak perlulah dinamakan badan apa, individu mana, namun koreksi pada diri, tanyai dan jawablah sendiri. Apa yang dilakukan untuk masa hadapan sastera Melayu di negara ini?
Catatan : Esei pendek ini dihasilkan biasan daripada beberapa blog teman penulis yang ‘bercerita’ secara kiasan tentang pemilihan seorang penulis novel ringan mewakili Malaysia ke seminar @ bengkel Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia. Pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa tertinggi sebuah badan berkanun bahasa, pendidikan, budaya, dan sastera yang cukup terkenal.
Apa yang dapat dinyatakan di sini, kami (penulis sastera serius) sungguh-sungguh tidak menyetujuinya kerana itu akan memalukan negara dan bertentangan dengan perjuangan pecinta bahasa dan sastera juga demi martabat kesusasteraan tulen.
Situasi sedemikian sangat mengecewakan!
puisi yang belum disiarkan, kenapalah agaknya?
dicantumkan tulang-tulang berjatuhan
ditindihi kuntuman harum taman indera
dilekatkan di atas kertas putih berbentuk wajah
bergantungan menjadi kolaj kenyataan
betapa sendiri ketawa menebat luka ini
cuba meyakini azam pada langkah baru
berpijak pada tanah merah
memegang panji perjuangan
janji terngiang-ngiang melatari
kilat guruh mengisyarat di langit
semarak pencak terpaku di bumi
peperangan pun bermula
gegaknya sementara ironinya terpenjara
catatan di meja agenda
berbincang tentang keharmonian
cuma getarnya seiringan alir inspirasi
kemenangan diisytihar gah
demi orang lain terimalah kekalahan ini
hingga upaya terhenti juga
kegagalan ini dicanangkan lebih awal
ketika mahu mengacukan senjata perang
ketewasan ditertawakan di bilik persidangan.
ARIFF MOHAMAD
Menjejak Blog
- chulan chin
- cikgu aminhad
- dato baha
- datuk anwar ridhwan
- ghazali lateh
- hasrina
- helmy samad
- jimadie shah
- jiwa rasa
- luqman
- lutfi ishak
- m kholid
- marsli n.o
- mawar shafie
- nazmi yaakub
- nisah haron
- prof abdullah
- rahimidin
- raihani
- ridzuan harun
- s.m zakir
- sahrunizam
- saifullizan
- saleeh rahamad
- salina ibrahim
- salman sulaiman
- sham aljohori
- ummi hani
- ustaz azman
- w.b rendra
- zaid akhtar
- zarif








