Monday, October 13, 2008

Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk

Orang Melayu selalunya sopan berbahasa. Namun begitu sesekali marahnya meledak juga. Ketika berjalan-jalan menyusur sebatang sungai aku terpandang sehelai kertas bertulis. Aku dapati kata-kata dalam kertas ini penuh rasa amarah dan entah kenapa aku pun tersentak juga. Ku bersandar di sebatang pohon yang tidak silap aku namanya pohon Melaka. Aku membaca kata-kata dalam kertas ini yang bertajuk "Puisi Naratifnya Mudahnya Bergelar Datuk".
Inilah puisi tersebut:

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Bukan orang Malaysia (Tanah Melayu) sahaja, orang India di tanah India pun boleh. Orang Cina di Tanah Hong Kong juga boleh. Apa yang tidak boleh. Semua boleh. Suka hatilah. Apa-apa sahaja. Tidak perlu pandangan sesiapa. Tidak perlu bijak pandai, tidak perlu penelitian ilmiah, tidak perlu pandangan orang agama, suka hatilah. Buatlah.

Hari ini, pada tanggal ini, orang Malaysia mudah bergelar ‘Datuk’. Berlakon filem watak pembantu dari mula sampai tua pun dapat Datuk, pelawak tebar roti canai pun dapat Datuk, nyanyi dua tiga lagu gelek-gelek pun dapat Datuk, kontraktor bancuh simen pun dapat Datuk, berenang beberapa kilometer pun dapat Datuk, jadi mat rempit pun dapat Datuk. Bukan susah dapat Datuk.

Aku teringat datukku di kampung. Dia tidak perlu bersusah-susah untuk dapat Datuk. Dia ada 11 anak dan kini 64 cucu. Dia memang Datuk. Dia Datuk berkat. Datuk yang sebenar. Dunia akhirat.

-

Menyusur Pandang Susur Masa di BSLN

Gambar: Cenderamata untuk Saudara Erry. Terima kasih daun keladi.

Ke Balai Seni Lukis Negara (BSLN) setelah bertahun-tahun tidak ke sana. Atas sebab projek ilmiah kursus UBM 1032, atas nama program Kembara Ilmu, atas kesudian pihak BSLN menerima dengan tangan yang cukup terbuka, atas urusan surat-menyurat yang ada kesilapan namun dimaafkan, atas kebenaran pentadbir, atas pengorbanan usaha para pelajar, kami ke sana.
Pameran Susur Masa sempena 50 tahun BSLN sedang diadakan. (tamat hujung tahun ini). Bertuah juga dapat melihat hampir keseluruhan karya terbaik pelukis tempatan termasuk beberapa dari luar negara, juga arca. ada lukisan yang kerap ditengok, ada yang belum pernah, dan ada yang tidak jemu-jemu ditatap.
Terima kasih BSLN dan tahniah. 50 tahun yang sunyi namun berisi.
Gambar: Seniman S.Amin Shahab bersama-sama lukisan terpanjang beliau.

Kearifan Orang Melayu Berbahasa

"Mulia cakap kerana beradab, bermakna bual kerana berakal, berisi bicara kerana berkira, elok berbisik kerana selidik, terpuji isyarat kerana cermat."

"Apabila hendak menyampaikan perasaan, lakukan dengan perasaan, apabila hendak menyampaikan fikiran, lakukan dengan fikiran, apabila hendak menyampaikan kehendak lakukan dengan bijak, apabila hendak melakukan niat, lakukan dengan cermat, apabila hendak menyampaikan maksud, lakukan secara patut."

"Celaka cakap aib tersingkap, celaka bual badan terjual, celaka bicara membawa cedera, celaka perangai cakap merempai, celaka laku tidak bermalu."

"Apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum bertindak. Apa tanda Melayu beradab, berfikir dahulu sebelum bercakap. Apa tanda Melayu bertuah, berfikir dahulu sebelum bermadah. Apa tanda Melayu berakal, berfikir dahulu sebelum berbual."

-Ungkapan Dr. Tenas Effendi.

Gambar: Sekumpulan pelajar kursus UBM 1032 bersama-sama Prof Dr. Tenas Effendi, Prof. Emeritius Abdullah Hassan dan saya pada akhir majlis Syarahan Raja Ali Haji anjuran Persatuan Linguistik Malaysia dan DBP pada 10 Oktober 2008.

Wednesday, September 24, 2008

Salam Aidil Fitri



selamat menyambut hari raya aidil fitri
maaf zahir batin
kepada saudara-mara,
guru-guru,
kawan-kawan yang jauh atau dekat di mata,
yang dekat dan jauh di hati,
teman-teman sekerja,
para editor dan penerbit buku saya,
pelajar-pelajar dan bekas pelajar,
tidak lupa
pengunjung blog ini
juga
kepada bos-bos
juga tidak lupa kepada
orang-orang kampung saya yang masih rajin membuat lemang
orang-orang politik yang tidak berhenti-henti berbalah
'orang-orang' di sawah ladang yang sentiasa berhujan panas
juga kepada
rosyam nor
dan
'fasha sandha'

Friday, September 05, 2008

Hilang Lagi Bintang Di Langit

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pejuang kemerdekaan dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 5.58 petang ini akibat jangkitan paru-paru.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

- Sebutir lagi bintang berkilau hilang di mata. Moga perjuangan diambil iktibar, dikenang selama-lama. Al-fatihah.

catatan:
ketika pesta buku antarabangsa kl april lalu, saya telah membeli 8 novel pak samad terbitan creative enterprise dengan harga yang amat murah. saya membelinya untuk melengkapkan koleksi saya, dan yang telah ada pun saya beli juga. mungkin novel-novel ini tidak diterbitkan lagi oleh creative atau entah. saya merasa beruntung memiliki novel-novel itu dan merupakan koleksi yang cukup bermakna.
antara novel2 itu ialah: sutinah, menimba yang jernih, detik-detik cemas, tembok tidak tinggi, kail panjang sejengkal dan lain-lain.

Wednesday, September 03, 2008

Salam Ramadhan

Selamat berpuasa kepada pengunjung blog yang tidak popular ini.
Masuk hari ketiga Ramadhan, dalam meneruskan tugas rutin, enak sekali saya membaca Weltanschauung (Shahnon Ahmad) dan buku Sirah Nabawiyah.
- malam, bertarawih di Masjid Tanjong Malim.
Insya Allah.

Wednesday, August 27, 2008

Siapa Sultan Alaudin?

Sebelum-sebelum ini kita dihadapkan dengan kisah secara realisme seperti Lantai T.Pinkie, Ronggeng Rokiah menggulati persoalan manusia dan kemanusiaan zaman dan wawasan yang sederhana. Kita juga dibawa nada agama dan menyentuh fikrah insani dalam Tiang Seri Tegak Berlima atau Anak Tanjong. Kita juga punya teater yang mahal seperti Wangi Jadi Saksi dan Puteri Gunung Ledang. Ada teater yang jelas bertema sindir seperti Raja Lawak dan Kena Main.
Kita telah dilunakkan dengan bangsawan Si Bongkok Tanjong Puteri, juga melankoliknya Uda dan Dara, kita dikias dengan kreativiti Yang Menjelma dan Menghilang. Semua ini drama, yang berjaya dipentaskan dan dalam beberapa sudut, drama-drama ini berkesan malah diiktiraf baik.
2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Diracun (2JSSASD) hasil karya Faisal Tehrani arahan Dr. Abu Hasan Hasbullah sedang berlangsung sekarang (25-29 Ogos di UM). Drama ini drama yang berani. Berani kerana menyangkut isu yang semasa dan kritikan dalam persoalan politik. Banyak dialog yang sering dikatakan sensitif tapi dilepaskan begitu sahaja. Perkataan seperti 'mamak', 'liwat', 'buah tak bertangkai', dan banyak lagi diungkapkan. Teater ini bukan hanya meminta kita berfikir apa ada dalam teks tapi "lihat, inilah yang sepatutnya kita katakan, dan katakanlah." Nama-nama watak yang digunakan sinikal, berani dan lucu dalam hakikat. Nama-nama seperti Maya Longoria, Azam, Saiful dan Ros, jika dalam soalan peperiksaan sekolah sudah tentu diharamkan kerana menyentuh individu yang masih hidup atau telah mati.
Namun teks tetaplah teks. Karya ini dapat berdiri dengan kelantangan dan kebebasannya. Dengan props yang sangat sederhana, dipentaskan di dewan yang 'biasa-biasa', pementasan ini dikira berjaya. Namun membuatkan kita tersentak beberapa kali dengan luncuran kata-kata dan adanya adegan menonggeng dan munculnya pengarah sebenar.
Cuma, agak tidak selesa apabila melihat watak perempuan dilakonkan oleh lelaki. Watak Tun Senaja itu seharusnya diberi kepada perempuan begitu juga dengan tukang busana pementasan.
Sambil menonton, saya terfikir siapa Sultan Alaudin dalam situasi hari ini. Jawapan saya bersimpang-siur namun terjawab sendiri.

Friday, August 15, 2008

Puisi Baha Zain yang Masih Berbara


Postponing Truth and Other Poems (Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain) terjemahan Muhammad Haji Salleh (SN) memuatkan puisi-puisi Datuk Baha secara kolektif daripada Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa ke Kota (1994), Esei dan Puisi Baha Zain (2000), Sajak-sajak Merdeka (tidak diterbitkan) dan Renungan di Taman (tidak diterbitkan).
Baha Zain adalah antara penyair Malaysia yang 'briliant'. Tidak banyak penyair yang sebegini. Pemilihan kata-kata dalam puisinya tepat, tajam dan bijaksana. Gayanya bersahaja namun terkesan. Estetika tetap ada secara terselindung di sebalik makna dan ungkapan kata-kata itu sendiri.
Secara peribadi, puisi Baha Zain tetap membara dari segi pesanan, penyataan, sindiran dan keindahannya juga kelembutan dan romantisnya. Beliau sepatutnya sudah lama diberi anugerah sastera negara (Sasterawan Negara) tetapi tidak pasti pula kriteria yang bagaimana untuk melayakkan penerimaan anugerah itu yang sepatut-patutnya.
Kehadiran buku ini dinanti-nantikan dan dibanggakan!
Saya petik puisi "Dua Wajah Kenyataan"
Bulan sebahagian tergantung di langit kelam
Bintang-bintang tersusun seakan berserakan
Api-api berkelipan di perahu nelayan
permukaan yang siang tadi menyilaukan
kini pekat, berat dan hitam
hanya cahaya pembeza ukuran
antara kenyataan siang
dan kenyataan malam
di mana batasmu langit dan lautan
(1993)

Jangan Biarkan Begitu

Alkisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya perlu kita ingat sesekali. Cerita tetap cerita. Cerita rakyat dahulu kala. Tapi jangan biarkan saja. Ada perkara boleh kita biarkan, tapi ada BANYAK perkara yang perlu kita halang atau pertahankan. Apa lagi yang tinggal pada kita (Melayu) jika banyak sangat yang ingin dibuka, diberi, dan digadaikan?
Berita akhbar ini dipetik untuk kita fikirkan.

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kemarahan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ekoran isu membuka institusi itu kepada pelajar bukan bumiputera terus memuncak apabila lebih 20,000 lagi pelajar mengadakan bantahan di seluruh negara.


Tuesday, August 12, 2008

Filem Bagaimana yang Kita Harapkan?


Gambar dari Utusan Malaysia

Sabtu lalu berlangsungnya Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke 21 (FFM21) di Putrajaya. Festival kali ini sengit daripada segi persaingan pengkarya (terutama pengarah) berbanding pelakon. Beberapa pengarah yang tersendiri, pernah diiktiraf terbaik termasuk dalam kalangan pengkritik dan ahli akademik perfileman turut mengarah filem (penyertaan FFM21 ini). Mereka ialah:

  1. Dr.Anuar Nor Arai – pengkritik filem yang disegani, ahli akademik dan karyawan drama dan filem yang disegani. Beliau mempertaruh Johny Bikin Filem yang telah dihasilkan 15 tahun lalu.
  2. Dr. Hatta Azad Khan – bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, kini pensyarah UiTM, pernah menghasilkan filem Mat Som, berdasarkan komik Lat satu ketika dahulu. Hatta juga penulis drama, antara yang terkenal Syyy (Pi Mai Pi Mai Tang Tu). Dr. Hatta mempertaruh filem Wayang.
  3. Suhaimi Baba – pernah beberapa kali menang anugerah bermula Selubung hingga Layar Lara kemudian siri Pontianak dan Waris Jari Hantu dan kali ini mempertaruh 1957: Hati Malaya (yang pernah saya ulas sebagai filem yang menghiris hati)
  4. Osman Ali – pengarah muda yang berpotensi selepas hasilkan Bukak Api dan Surat untuk Bulan, namun makin dikritik selepas Puaka Tebing Biru tambah pula kali ini menghasilkan Anak Halal.
  5. Khabir Bhatia – bukan orang Malaysia tapi cukup cemerlang dalam garapan telenovela melayu (Idaman) dan filem terbaiknya, Cinta. Kali ini mempertaruh Sepi.
  6. Amir Muhammad – banyak menghasilkan filem pendek, juga seorang pengkritik dan pengulas filem selain penulis sastera Inggeris. Filem Susuk merupakan filem cereka pertamanya.

Kali ini tiada penyertaan filem arahan Adman Salleh, U-Wei dan Yasmin. Begitu juga tiada filem Aziz M.Osman, Bada Hj. Azmi dan Yusof Haslam.

Semenjak Suhaimi Baba melepaskan Pontianak Harum Sundal Malam, banyaklah hantu-hantu dan Pontianak di pawagam kita. Ditambah pula dengan hantu Jepun, Korea dan Siam. Pengkarya kita pun berani buat filem hantu dan seram sebab dapat sambutan. Penerbit yang tidak tahu apa-apa tentang karya pun mahu cari untung dengan filem-filem begini. Tapi hanya satu dua sahaja boleh dianggap terbaik.

Satu lagi trend pembikin filem adalah kisah muda-mudi yang samseng gila dan lumba-lumba. Ibarat filem Bollywood yang menampilkan hero yang berlagak miskin namun kuat beradu (bergaduh), filem kita pun mahu buat seperti itu. Filem sebegini tiada jati diri, malah lebih kosong daripada pemikiran tauke-tauke panggung. Tiada apa- yang boleh dibanggakan daripada filem-filem ini melainkan meraikan kegagalan dan kehancuran akhlak.

Filem terbaik FFM21 adalah Kala Malam Bulan Mengambang, arahan Mamat Khalid. Filem hitam putih ini menarik daripada beberapa sudut namun dari segi pemikiran dan budaya, filem Wayang lebih mengusik. Kemengan filem ini tidak dijangkakan apatah lagi bagi anugerah lakonlayar terbaik dimenangi oleh filem Cuci ( Hans Issac). Selalunya filem yang memenangi lakonlayar terbaik mempunyai peluang yang cerah untuk filem terbaik. Entah kenapa pula yang dikatakan lakonlayar filem ini terbaik sedangkan dialog filem ini berbahasa pasar dan perkembangan cerita dapat diduga. Sedikit pelik filem yang bernaratif ringan dan biasa-biasa dapat hadiah lakonlayar terbaik namun filem yang berat pemikiran seperti Johny atau Wayang atau 1957, tidak menang. Cerita asal terbaik pula dimenangi oleh Anak Halal (Osman Ali). Anak Halal pernah dikritik kerana menampilkan kehidupan muda-mudi yang bebas, jauh dari pegangan agama dan rendah moralnya.

Kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang bukanlah kemenangan mutlak yang membolot banyak anugerah utama melainkan Pengarah Terbaik (Mamat Khalid), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik dan Kostum Terbaik. Rumusan mudah dapat dilihat filem ini cemerlang daripada segi pembikinan, pengarahan dan penataan serta pelakon utama yang terlalu kerap muncul bukan kerana inti pemikiran dan ceritanya.

Mamat Khalid adalah pengarah yang serius dan tekun, namun beberapa filemnya dilihat agak main-main (seperti Man Laksa dan Zombie Kampung Pisang dan beberapa telemovie kelakarnya di NTV7 suatu ketika dahulu). Apabila Mamat menghasilkan Kala Malam Bulan Mengambang,persepsi filem itu seperti filem-filem sebelumnya tetap ada.

Walau apapun, tidak dipertikai kemenangan Kala Malam Bulan Mengambang. Cuma sedikit terkilan filem seperti Wayang (daripada skrip asal di Finas, Kelir Kaku), Johny Bikin Filem (filem noir yang mirip Godfather) dan Sepi (kisah manusia yang bergerak dalam naratif yang menyentuh rasa dan fikiran) tidak diiktiraf sewajarnya. Lagipun agak jarang kita dapat menyaksikan karya Anuar Nor Arai dan Hatta dalam sinema kita.

Agak menarik FFM21 kali ini mengiktiraf Ruminah Sidek (Mak Mah) sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (juga anugerah khas veteran wanita). Inilah keterbukaan penilaian juri pelakon yang dialu-alukan. Pelakon pembantu terbaik tidak semestinya muda yang berperanan kedua atau ketiga penting dalam filem. Watak ibu, orang tua, nenek, orang gaji juga berkesan. Terfikir juga betapa banyak pelakon-pelakon bukan hero dalam sinema kita yang jarang atau tidak pernah diberi anugerah seperti Baharuddin Haj Omar, Haji Arshad, Hisham Ahmad Tajudin, Tamam Idris, Ahmad Marbawi, Roomai Noor, Noraini Hashim, Rokiah Shafie, Rohaya Rahman, M.Suki, Kuswadinata, Mustafa Maarof dan banyak lagi nama (antaranya sudah meninggal dunia)

Daripada senarai penyertaan FFM kali ini, dapat dikesani pola pemikiran karyawan kita berada dalam kitaran yang sederhana. Jangan harapkan unsur falsafah, jangan fikirkan tentang cita-cita mengangkat budaya dan warisan, jangan mimpi tentang moral dan wawasan kemanusiaan, keagamaan, peradaban, teknologi sebaliknya marilah kita tonton kisah anak muda yang samseng di jalan raya dengan kereta mewah, remaja kolej yang suka menyanyi, wanita pendendam, kisah hantu dalam masyarakat yang mengaibkan, korporat melayu yang kehilangan arah, dan gejala masyarakat yang bebas dan mengkhayalkan.

Mungkin kita perlu menoleh ke belakang, dengan mengambil contoh filem-filem yang tersenarai di bawah. Ini adalah filem-filem kita yang telah kita tinggalkan sebagai nostalgia namun filem-filem ini kaya pemikirannya, walaupun tidak begitu tinggi dan hebat namun amat sesuai dan memadai untuk diwajarkan dengan situasi kita, budaya kita dan keupayaan ilmu, persekitaran, modal dan teknologi kita. Kita mahukan filem-filem yang sebegini lagi, terutama pada masa kini. Filem-filem itu antaranya:

  1. Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali – kisah keluarga korporat yang patriotik dan sinikal dengan perjuangan Melayu serta perkaitannya dengan tradisi dan agama, juga undang-undang.
  2. Bukit Kepong (1980) arahan Jins Shamsuddin – kisah perjuangan pasukan polis Bukit Kepong yang mempertahan tanah air. Cukup tebal nilai kemanusiaan dan nasionalisme.
  3. Bintang Malam (1991) arahan Adman Salleh – kisah anak muda pulang dari rantauan yang mencari keluarganya dan menyelamatkan kecurangan dan menebus kesilapan.
  4. Sayang Salmah (1994) arahan Mahadi J. Murat – kisah perjuangan yang gagal dan sikap anak muda yang mengikut nafsu hingga lupakan keluarga dan perjuangan.
  5. Ranjau Sepanjang Jalan arahan Jamil Sulong diangkat dari novel Shahnon Ahmad. Kisah kemiskinan dan kepayahan keluarga petani dan ikhtiar mengubah nasib.
  6. Hang Jebat arahan Husain Haniff – kisah dari klasik Melayu Tuah-Jebat tentang kesetiaan, persahabatan, percintaan dan kebenaran.
  7. Semerah Padi arahan P.Ramlee – kisah keadilan dalam agama, juga percintaan dan persahabatan.
  8. Kami (1981) arahan Patrick Yeoh – kisah persabahatan anak gelandangan yang menempuh nasib di kota raya, juga cita-cita dan perpaduan.
  9. Kembara Seniman Jalanan (1985) – filem muzikal tentang situasi industri hiburan yang melibatkan cetak rompak, dadah yang akhirnya dimusnahkan dan dikalahkan dengan kebenaran.
  10. Jogho arahan U-wei Haji Shaari daripada novel S.Othman Kelantan berkisar tentang keputusasaan dalam dua gelanggang, politik dan laga lembu.

dan beberapa lagi filem Melayu yang baik, bermutu, berkesan dalam berbagai-bagai aspek terutama inti cerita, nilai dan pemikitran juga kualiti pengarahan, sinematografi dan aspek-aspek lain sesebuah filem.

Dunia filem Melayu yang dicintai, harapnya filem-filem kita tidak membawa kemunduran pemikiran, kreativiti dan akhlak. Bersama-sama fikirkan dan lakukanlah yang sepatutnya.

Friday, August 08, 2008

Puisi Malam Merdeka

Ini puisi saya. Belum pernah tersiar di mana-mana sebab saya tidak menghantarnya. Saya deklamasikan dengan iringan muzik dan slaid di auditorium pada Malam Jalinan Mesra pelajar Jabatan Bahasa Melayu UPSI semalam, 7 Ogos 2008.
Puisi ini juga untuk mengenang kemerdekaan negara ke 51.
Puisi naratif ini seperti kisah 10 budak hitam. Ada kelucuan namun bukan sekadar itu, lebih jauh dari itu sebenarnya. Fikirkan!

Kenangan Ketawa Malam Merdeka

potret dan cerita disuakan untuk dibaca
lihat dan kesani urat derita dan merah mata mereka
percayalah,
kemanusiaan tidak pernah mentertawakan sengsara
ketulusan tidak pernah mensia-sia kemenangan
seorang tua tampil tiba-tiba
mengajakku mendengar ceritanya
aku tidak kenal dia, malah ragu-ragu kebenarannya
katanya,
potret merdeka bukan dengan darah dan air mata sahaja
malah ketawa dan sindiran pun ada

dia bercerita:
pada malam 31 Ogos 1957 itu
aku bersama enam pejuang yang kecil namanya
berbasikal ke stadium untuk menjerit merdeka
perjalanan kami terkandas, satu basikal tayar pancit
tertangguh seketika, dia mahu ke rumah kawannya
esok saja ke stadium, katanya
tiba-tiba seorang sakit perut lalu membuang hajat
di pinggir hutan, hilang ditelan gelap malam
puas dilaung tidak menyahut
kami tinggalkan kerana masa tidak banyak

seorang lagi mengayuh lambat
tertinggal dalam gelap malam kemudian sesat
entah kenapa tinggal kami berempat terasa kelaparan
singgah di warung makan mi goreng dan air sirap
seorang terlalu kenyang hingga pengsan
lalu dia menumpang tidur di meja warung
kami teruskan perjalanan walaupun bertiga
telah hampir ke stadium, salah seorang daripada kami
terserempak teman wanita lamanya
apalagi, mengada-ngadalah dia
mahu berdating sekejap katanya
tinggallah kami berdua
belum sempat masuk ke stadium
temanku yang seorang itu terseliuh kakinya
menjerit-jerit sakit mahu ke klinik
aku suruh dia pergi sendiri
dan aku pun melangkah ke stadium
saat orang sudah melaungkan merdeka kali ke tujuh
dan aku katakan,
yang ketujuh itulah nasibku
berbanding temanku yang enam tadi
aku yang sempat sampai ke sini.


seusai cerita ketawa bergema
namun aku pula tertanya-tanya
apakah itu sekadar cerita
atau menyindir sesiapa?


ARIFF MOHAMAD

Friday, August 01, 2008

Pesta Buku Malaysia?

PWTC sekarang berlangsung Pesta Buku Malaysia? Rasanya ini pertama kali saya dengar dan diadakan. Saya singgah sebelum balik ke Tanjong Malim. Bersama-sama Lutfi dan di PWTC terserempak Faisal.
Pesta buku ini sunyi. Banyak syarikat buku yang menjual bahan-bahan penguasaan bahasa Inggeris untuk kanak-kanak. Tidak banyak buku dijual, tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa. Mungkin jarak masa yang terlalu hampir antara dua pesta lokal dan internasional itu, maka yang lokal ini kurang pengunjungnya. Atau mungkin kerana kurang promosi, atau orang sudah tidak berminat dengan buku.
Saya melihat ini dari perpektif kesungguhan kita, kalau hendak menganjurkan pesta buku, buatlah betul-betul. Ini diadakan ketika sekolah/kolej/universiti tidak bercuti, musim orang ingin beli baju raya, musim orang berpuasa sunat dan berpuasa ganti. Kesimpulannya, masa yang tidak kena selain faktor-faktor sambutan penjual dan promosi.
Pesta Buku Indonesia diadakan bulan November atau Disember setiap tahun di Jakarta. Dalam dewan yang terlalu besar, malah lebih besar daripada pesta buku antarabangsa kita.
Entri ini hanya luahan, juga pertanyaan untuk sesiapa yang dapat menjawabnya. Mengapa begini?
Pesta ini berlangsung 31 Julai hingga 3 Ogos.

Sesiapapun Tak Mampu Menahan Kehendak-Nya

Segala-galanya telah tertulis dan dijanjikan. Cuma kita tidak tahu. Sesiapapun tidak mampu menahan kehendak-Nya. Saya menjangka boleh bertemu lagi dengan Prof Syed Othman, berbual-bual, minta pendapat, dan sama-sama ketawa. Tapi rupa-rupanya pertemuan saya di biliknya itulah yang terakhir. Dan kelmarin, 31 Julai saya dan yang lain menziarah jenazahnya. Subhanallah.
Kita doakan marhum ditempatkan dalam kalangan yang dipelihara selama-lamanya. Al-fatihah.

Wednesday, July 30, 2008

Semoga Cepat Sembuh, Ayahanda

Sebenarnya, beliau bukan ayahanda saya. Tapi ayahanda Zakir dan adik-beradiknya yang lain. Saya menyebut 'ayahanda' dalam pengertian yang lain.
Prof Dr Syed Othman Syed Omar (S.Othman Kelantan) masuk wad dua minggu lalu. Saya masih tidak sempat melawatnya. Beliau masuk wad hari Jumaat/ Sabtu tidak silap saya. Hari Rabu itu saya berbual-bual dengannya di bilik barunya di Fakulti Bahasa UPSI.
Dia 'marah' saya sebab tidak tahu dia sudah mendaftar sebagai Pensyarah Tamu di UPSI. Saya minta maaf sebab ada kursus terjemahan dengan ITNMB. Beliau seperti biasa, banyak menasihat, banyak mengkritik dalam berlucu. Dia memang mahu cari rumah di Tanjong Malim sebab tidak larat berulang-alik. Dapat saya bayangkan keletihannya berulang alik Bangi-Tanjong Malim sebab saya pernah merasai pengalaman itu. Bukan letih badan saja, letih poket juga.
Prof merungut-rungut juga tentang karenah pentadbiran berkaitan pendaftarannya sebagai staf di sini. Katanya "adoko patut umur mace ni keno ujie air kecing untuk test dadoh (dadah) . Tengok oghe la...". Saya ketawa.
Dalam perbualan saya dan beliau baru-baru ini, beliau mengatakan puisi melayu pertama bukan ditulis oleh Pungguk seperti yang dipelajari di sekolah. Kata beliau, puisi melayu pertama di tulis oleh Tok Kenali.
Doa saya, doa kita, semoga cepat sembuh ayahanda.

Friday, July 25, 2008

Metafora Sebuah Kotak

Mungkin, kotak-kotak dicipta untuk kita masuk dan saling mengenali siapa di sekeliling kita. Mungkin juga kotak dicipta untuk dibesarkan dan menjadi kotak yang paling besar antara kotak-kotak yang lain. Kotak juga untuk yang didalamnya merebut kuasa dan menjadi yang paling hebat dalam kalangan yang berada dalam kotak itu. Mungkin juga kotak itu terbuka dan boleh kita keluar dan masuk sesuka hati. Ada juga kotak itu dicipta untuk seseorang maka tiada siapa boleh mengatasi kotak itu. Mungkin ada juga kotak yang dalamnya hanya satu orang dan beranggapan kotak itulah yang paling hebat. Mungkin, mungkin, mungkin.

Ya, mungkin, kotak adalah untuk membanding dan membeda. Kotak untuk menunjukkan mana paling besar, mana paling berat, mana paling hebat. Ada juga kotak yang kosong tidak diisi apa-apa atau siapa-siapa. Ada juga kotak yang terlalu besar tetapi buruk bentuk dan buatannya maka kotak itu tidak dipedulikan. Ada juga kotak yang kecil tapi dengung dan lambungnya tinggi dan meninggikan diri.

Apa salahnya, sesekali kita melihat dari mata burung bukan dari dalam kotak. Lihatlah dengan rasa yang terbuka, jujur dan penuh tawaduk. Dari situ, sedarlah, kita selayaknya dalam kotak mana, atau kotak mana yang baik dan buruk atau lebih baik jika kita berada dalam satu kotak yang besar atau buang semua kotak kita duduk di luar. Tapi di mana ya?

Monday, July 14, 2008

Perlumbaan Arnab dan Kura-kura III


(Judul asal cerita ini adalah “Perlumbaan Arnab dan Kura-kura, Monyet Jadi Hakimnya” namun diubah atas permintaan penyampai cerita ini. Menurut pencerita, ini adalah sebuah cerita klasik yang dimodenkan namun banyak juga kelainannya dengan versi asal, kemudian ditokok tambah dengan peringatan tidak ada kena mengena dengan sesiapapun yang masih hidup atau yang masih belum mahu meninggalkan ‘dunia’nya. Sketsa ini hanya ditujukan kepada arnab, kura-kura dan monyet, sambil teringat cerita rakyat yang banyak terdapat di perpustakaan selain karya Djenar Maesa Ayu, Mereka Bilang Monyet sambil teringat juga karya George Orwell, Animal Farm)

Di pinggir hutan yang aman damai, sekumpulan haiwan hidup aman damai namun bijak berpolitik seperti biasa. Dalam kumpulan haiwan itu, ada kebijaksanaannya maka dilantiklah ketua, penolong ketua dan jawatan-jawatan penting yang miripnya seperti organisasi sebuah Negara. Jika dalam kumpulan itu ada yang tidak tahu perihal dan hal ehwal Negara, maka disuruhlah baca buku Pengajian Am tingkatan enam sebagai asas pengetahuan yang tidak banyak tahu itu. Jika ada yang pandai sedikit disuruh baca buku yang ditulis oleh penulis dalam kalangan mereka yang bernama Misahveli.

Haiwan yang popular dan hebat dalam kumpulan itu adalah arnab. Arnab bukan sahaja pantas berlari namun bijak berstrategi. Arnab mulanya adalah haiwan ‘biasa-biasa’ namun jadi hebat kerana dia pernah berlari merentasi Sungai Themes melalui jambatan yang boleh terbelah dua itu. Kerana pengalaman hebat arnab itu maka arnab amat dikagumi. Arnab pulang sebagai hero terus diberi gelaran dan jawatan tinggi. Hinggalah jawatan terkininya sebagai penolong ketua. (Macam penolong ketua kelas lebih kurang, kata pencerita)

Satu lagi haiwan yang hebat ialah kura-kura. Kura-kura ini pendiam dan perahsia namun ada kelemahan yang ketara iaitu bergerak terlalu lambat dan kadang-kadang tertidur dalam perjalanannya. Walaupun begitu, kura-kura pernah diiktiraf sebagai haiwan yang bijak mengatur stategi. Dalam peperangan mulut antara kumpulan haiwan pinggir hutan yang didudukinya dengan haiwan seberang laut baru-baru ini, kura-kura inilah perancang strategi agar mereka menang. Caranya mudah, buat tidak tahu saja apabila pihak lawan menyerang. Lama-lama pihak lawan bosan dan membatalkan hasrat untuk menyerang. Maka kura-kura mengisytiharkan menang dengan cara itu. Kumpulannya bergembira dan dengan itu kura-kura juga dilantik jawatan penolong ketua dalam kumpulan itu.

Tiba satu musim peralihan. (Iyalah padi pun ada musim, minyak naik pun ada musim, kata pencerita). Musim yang ditunggu-tunggu sebenarnya adalah pengumuman ketua akan melepaskan jawatan. Namun begitu, ketua tidak pasti mahu siapa yang jadi penggantinya kerana mempunyai dua penolong yang sama hebat iaitu arnab dan kura-kura. Mantan ketua menyerahkan keputusan kepada rakyat (dalam cerita ini bermaksud haiwan-haiwan dalam kumpulan itu) untuk memilih siapa ketua yang mereka mahu antara kedua-dua haiwan popular itu. Ada juga suara dalam kumpulan itu mahu haiwan yang lain jadi ketua. Ada yang tidak setuju arnab atau kura-kura jadi ketua maka ada cadangan mahukan burung belatuk jadi ketua sebab dia pandai cari makan dan pandai mematuk. Ada juga yang mahukan katak kerana boleh ke sana ke mari dengan melompat suka hati dialah hendak ke mana. Ada juga yang mahukan gajah tua, walaupun dah nyanyuk dan sering sakit tapi boleh juga jadi ketua kerana tidak lama selepas itu mesti akan ada pemilihan baru lagi. Ada juga yang mahu monyet jadi ketua kerana monyet juga bijak tapi monyet sendiri awal-awal menyatakan tidak mahu bertanding. Begitu jugalah dengan kambing yang tidak mahu dicalonkan tapi berjanji akan buat kacau dengan mengembek tidak berhenti-henti dalam persidangan bulanan kumpulan haiwan nanti jika ada usul yang tidak disetujui.

Kumpulan haiwan akhirnya mengikut prosedur dan rukun hidup yang mereka tetapkan berlandaskan buku yang dikarang oleh ketua haiwan yang terdahulu. Dalam buku itu menyatakan ikutlah peraturan iaitu ikut tradisi penolonglah yang akan jadi ketua. Oleh kerana ada dua penolong maka undian akan dibuat. Tanpa hari penamaan calon, memang sah dua calon ini bertanding. Namun atas permintaan penyokong-penyokong kuat arnab (yang kuat bodek tapi tak tak apa benda, kata pencerita), mereka mahu satu perlumbaan diadakan antara arnab dengan kura-kura. Undian tidak perlu kerana ada dalam kalangan haiwan ada yang malas pergi mengundi terutama cacing dan ular yang tidak boleh memegang pensel dengan betul dan tidak boleh pula mengangkat tangan (Memanglah cacing tiada tangan, kata pencerita).

Cadangan itu dibantah keras oleh penyokong kura-kura kerana apabila diajak lumba lari tidak masuk akal kura-kura boleh kalahkan arnab. Kura-kura terpaksa mencari ketenangan mengambil cuti tahunannya selama beberapa hari berehat ke luar negara (sempat juga membeli-belah menggunakan elaunnya, kata pencerita). Sebaik sahaja pulang, kura-kura membuat sidang akhbar mengatakan dia bersedia untuk berlumba dengan arnab. Antara penyokongnya yang paling kecewa dengan keputusan itu ialah si langau. Langau merasakan peluang untuk kura-kura menjadi ketua amat tipis dan secara peribadi peluangnya menjadi ketua haiwan muda akan lebur. Maka dia mengambil keputusan keluar dari kumpulan penyokong kura-kura dan berbaik-baik dengan arnab. Arnab gembira menerimanya dengan beberapa syarat (Kata pencerita, syarat itu mirip Perjanjian Pangkor ketiga).

Hari perlumbaan pun tiba. Jeng jeng jeng! (ditambah oleh pencerita agar ada unsur saspen dan untuk menyedapkan cerita)

Alamak pihak penganjur perlumbaan terlupa siapa hakim yang akan mengadili pertandingan ini. Penyokong arnab mahukan bangau jadi hakim kerana kebolehannya berkata-kata dan mencipta lirik lagunya sendiri, Bangau oh Bangau. Penyokong kura-kura mahukan sang kelembai kerana jika ada yang melanggar peraturan akan disumpah menjadi batu. Namun mantan ketua masuk campur menyelesaikan pertikaian dengan mengatakan bangau tidak boleh menjadi ketua kerana trek lumba di padang dan keliling hutan, bangau tidak boleh lama-lama di darat nanti kakinya luka dan retak. (Keh keh keh, ketika ini pencerita sendiri ketawa). Sang kelembai pula tidak layak jadi hakim kerana bukan dalam kalangan haiwan sebaliknya dari kumpulan mambang ke hantu ke entah apa entah. Maka haiwan-haiwan pun mahu tahu siapa jadi ketua. Siapa? Siapa? Mereka mahu mantan ketua buat keputusan.

Monyet. Mantan ketua mahu monyet jadi hakim. Rasionalnya monyet boleh memantau pergerakan arnab dan kura-kura ketika sedang berlumba dari atas pokok, di padang dan di pinggir kampung kerana muka monyet hampir sama dengan muka penduduk kampung berhampiran. (Sebenarnya kenyataan mantan ketua ini tidak disetujui, ada ke patut kata muka penduduk kampung macam monyet, kata pencerita). Oleh kerana hari semakin tinggi, untuk menyegerakan perlumbaan maka semua haiwan setuju dengan cadangan mantan ketua untuk melantik monyet jadi hakim. Maka monyet pun berbanggalah lalu bersiap serba serbi dengan dokumen dan pakaian, dengan wisel dan stopwatchnya. Bangau yang tidak puas hati kerana tidak dipilih jadi ketua tadi sempat menyindir monyet. Katanya… (eh, ada dialog pula cerita ini, kata pencerita). Katanya, “Amboi-amboi bukan main siap sedia engkau ya. Kalau pasal nak lagakan orang…(lagakan haiwan sebenarnya) bukan main lagi, dulu pasal tanah kita nak diberi pada Pak Singa tu kau buat tak tau saja ya. Monyet buat tak kisah lalu menjawab, “Suka hati akulah. Engkau sibuk tu pasal apa. Kau nyanyi sajalah lagu kau tu… bangau oh bangau mengapa engkau kurus…”

Bangau memendam rasa. Tidak mengapa, pujuk hatinya nanti aku ciptakan sebuah lagu bertajuk Monyet Oh Monyet. (Daripada kata-kata pencerita, lagu Monyet oh Monyet akan dirakamkan tidak lama lagi dan akan menyertai Juara Lagu-Lagu hujung tahun ini. Antara lirik lagu itu berbunyi, “monyet oh monyet kenapa engkau boroi, macam mana aku tak boroi, selalu makan free, selalu makan free”)

Pertandingan pun bermula. Gegak gempita suara penyokong masing-masing. Orang-orang kampung yang tertidur sampai pukul 11 pagi pun terjaga sambil tertanya-tanya apakah halnya bising-bising di pinggir hutan itu. Dari awal perlumbaan arnab memecut laju tapi terasa lenguh setelah berlari hampir dua kilometer kerana tidak melalukan kelonggaran dan regangan (warm up) sebelum berlari. Namun dalam kepalanya cukup yakin dia akan menang. Dalam perlumbaan itu juga, arnab terserempak dengan arnab betina yang sedang mencuri lobak merah di sebuah kebun. Arnab mengenyit dan berazam dalam hati bahawa arnab betina itu kemungkinan besar dan berpotensi jadi dayangnya apabila dia menjadi ketua nanti. Arnab pun menegur, tegurannya dibalas. Maka bermulalah episod cinta pandang pertama seperti drama swasta dalam televisyen.

Kura-kura juga yang resah. Berlambat-lambat kerana memang tidak mampu untuk memecut. Penyokongnya pun semacam putus asa. Kura-kura tetap bersabar dan yakin akan teori bahawa arnab akan tidur dalam perlumbaan itu nanti. Atau entah-entah kura-kura sendiri yang tertidur.

Arnab asyik berbual-bual dengan arnab betina yang manis itu. (Romantik juga arnab ini, kata pencerita). Mereka bercerita itu ini, usik-mengusik, bergurau-senda dan makan lobak bersama-sama. Tidak tersedar masa terus berlalu hingga kura-kura memotongnya.

Kura-kura hampir ke garisan penamat. Arnab baru tersedar. Dicampaknya lobak yang masih belum habis lalu terus meluru menuju ke garisan penamat. Tapi sayang semuanya sudah terlambat (seperti lagu 80an, kata pencerita). Kura-kura mencecah garisan penamat diikuti arnab dua saat kemudian.

Penyokong kura-kura melompat riang. Sah, kura-kura menang. Kura-kura akan jadi ketua. Arnab tidak puas hati. Apa kata hakim?

Monyet melihat rekod dan bukti yang dikumpulnya. Tiada juri dan pencatat masa kerana segala tugas itu diambil oleh monyet sendiri. Monyet mengisytiharkan kura-kura menang dalam perlumbaan itu, namun monyet mengumumkan dirinya sendiri akan jadi ketua kumpulan haiwan di situ. Semua terdiam. Semua tercengang. Semua tidak puas hati. Semua bising-bising. Kura-kura yang tidak sangka menang dalam perlumbaan tadi tidak puas hati. Walau apapun dialah yang sepatutnya jadi ketua, bukan arnab sebab arnab telah kalah dalam perlumbaan. Dan tentu sekali bukan monyet sebab monyet tidak berlumba pun. Arnab lebih-lebih lagi tidak puas hati selain menyesali diri cuai dalam perlumbaan. Monyet menaiki takhta dan mengisytihar dirinya sebagai ketua.

Itulah ceritanya. Fikirkan!

* Menurut pencerita, mungkin kisah ini ada sambungannya tapi entahlah saya sendiri sudah lama tidak bertemu pencerita Kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada Pencerita yang khabarnya akan membuka blognya sendiri tidak lama lagi.

Monday, July 07, 2008

Buka Semester

Hari ini mula semester baharu. Selamat datang yang lama dan baru.
Nasihat percuma saya:
"Jadilah pemburu, bukan pengail"
dan
"Carilah sahabat, bukan seteru"
lagi,
"Jadilah pencanai, bukan pencacai."

dan lagi satu nasihat,
"Penuhkan bilik dengan buku, bukan dengan bahan fotostat."

Selamat Belajar!

Tentang Logika

Saya pernah mendengar lagu, "Tak Ada Logika", jika tidak silap Agnes Monica yang menyanyikannya. Saya teringat cerpen saya, "Berikan Waktu pada Logika" tahun lepas. Cerpen itu sedikit sebanyak membawa kembara suasana politik tahun 1998. Dan apa yang kita lihat kembara itu masih membara, hingga ke hari ini.
Timbul berita/cerita konspirasi lagi. Ini bab orang-orang politik, kata beberapa orang teman.
Ini cerita kita sebenarnya, kata beberapa teman yang lain, dalam suasana perbualan yang lain.
Saya: seperti 10 tahun dulu juga, membaca, berdoa dan memikir tentang ini...

Monday, June 16, 2008

Tentang Bahasa dan Jati Diri

Pada 12 Jun lalu, dalam satu majlis yang amat sederhana, dinamakan Persidangan Meja Bulat 2, Prof. Emeritius Dr. Abdullah Hassan sebagai penyampai ucap utama memperkata tajuk “Bahasa Sebagai Wahana Jati Diri Malaysia dalam Dunia Global”. Ucap utama ini dibicara dan diulas oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling manakala majlis dipengerusi oleh Prof. Dr. Mohd Yusof Hassan. Tiga tokoh yang punya wibawa besar dalam bidang masing-masing (bahasa,antropologi,sastera) berada di satu meja.

Tajuk ini membiacarakan tentang jati diri Melayu yang berkait dengan penggunaan bahasa seharian ataupun dalam hal rasmi. Melayu hari ini tidak seperti Melayu 50 tahun atau 100 tahun dahulu. Kenyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal kerana zaman sentiasa bergerak. Bahasa juga turut mengalami perubahan denmgan cepat. Namun soal jati diri sepatutnya perlu diambil perhatian. Ketika ini, banyak sekali orang Melayu gemar berbahasa Inggeris dalam perbualan sehari-hari ataupun sekerat Melayu sekerat Inggeris termasuklah dalam televisyen dan bilik-bilik kuliah. Dari segi keterampilan berbahasa, individu seperti ini adalah individu yang gagal dan tiada jati diri, tidak suka pada bahasanya dan tidak berbangga dengan bangsanya.

Prof. Abdullah mengungkap persoalan:
-Kita sering mempersoalkan jati diri kita sekarang?
-Kita dapat mencuba mencari jawapan daripada pemerhatian terhadap lakuan sendiri.
-Kemudian melihat apa yang mendasari lakuan tersebut.
-Lakuan adalah berdasarkan nilai.
-Dan nilai itu adalah pegangan masyarakat kita yang diungapkan melalui bahasa.

Teori Himpunan Memori Bangsa yang diutarakan oleh Prof Abdullah relevan dari dimensi sekarang dengan bantuan kajian dan konsep yang dibawa oleh Ibnu Khaldun (Minda Terjajah), Hipotesis Sapir-Wolf, Hipotesis Malek Bennabi (Minda Tertawan), Bahasa Ekspresif dan Muatan Rohaniah digunakan bagi menjelaskan proses fenomena ini.

Dalam kajian ini turut melihat persoalan nilai dan tanggapan masyarakat dan latar budaya. Contohnya,
-Warna hijau Melayu bukan hijau dalam Inggeris
-Panggilan keluarga: uncle bukan Pak Cik
-Panggilan You, tidak sama dengan Encik atau Tuan, akibat merendahkan orang.
-Apabila berurusan: mesti pandang muka .. Padahal dalam budaya Melayu memandang muka adalah menentang

Contoh Nilai Melayu
-Apabila menegur orang – sebut namanya:
-Bukan semua boleh disebut nama dalam bahasa Melayu
-Hanya orang sama taraf dan orang di bawah
-Orang yang dihormati tidak disebut namanya

Bahasa merakamkan peristiwa, cerita, konsep-konsep, idea-idea, norma, peraturan, nilai-nilai dll. sesuatu bangsa. Bahasa Melayu adalah wahana bagi menyimpan dan memindahkan himpunan memori Melayu kepada generasi berikut

Untuk menuju ke arah globalisasi, harapnya bahasa Melayu tidak terhakis. Sebagai contoh, Jepun, Perancis, Korea, China, Denmark itu sebuah bangsa yang sudah global. Masih kekal Jepun, Korea, Cina, Perancis, Danish … kerana bahasanya.

Generasi baru tidak lagi mendapat himpunan memori asal atau mendapat nilai yang dibawa oleh bahasa Inggeris dan mengubah lakuan. Manakala Prof Zainal antara lain menyatakan, bahasa Inggeris penting sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Namun asasnya, bahasa ibunda perlu mantap dan dipelihara.

Makan Bola, Tidur Bola,...

Sudah 2 minggu Euro 08 berlangsung. Pasukan kegemaran saya, England, tidak layak menyertai. Saya menduga Jerman akan menang tapi rekodnya dalam dua perlawanan sangat mengecewakan. Perancis pun nampaknya bakal gulung tikar. Itali hampir sama. Tinggal pasukan yang underdog seperti Belanda dan Portugal. Mungkin Belanda akan menjulang Euro 08 tahun ini.

Tuesday, June 10, 2008

Minyak Naik atau Naik Minyak

(Harga) minyak naik lagi!
Satu Malaysia marah-marah tentang harga minyak. Di mana-mana pun. Kenaikan yang terbaru ini terlalu tinggi. Pak Lias di kampung yang berbasikal ke sana ke maripun marah-marah. Katanya tak patut sangat. Pada hari orang beratur mengisi bahan api sebelum naik jam 12 malam, Pak Lias marah berapi-api. Dia membaca kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan serba-serbi. Semua benda akan naik, katanya. Beras, ikan , tepung, sayur, susu, minyak masak, semua, malah kicap dan sabun mandi pun. Itulah yang Pak Lias marah sangat.
Katanya lagi, mungkin anaknya yang balik sebulan sekali dari Bandar besar tak jadi balik selalu sebab minyak dah mahal. Anaknya mungkin akan balik setahun sekali sahaja. Haji Lias kesal, sedih dan termenung lama. Macam-macam dalam kepalanya.
Haji Lias melihat poster pilihanraya di simpang jalan yang masih belum dibuang. Haji Lias tengok lama-lama poster itu hingga air matanya berlinang.
Dia ditegur seseorang, “Kenapa Pak Lias tengok lama-lama poster itu…?”
Pak Lias menjawab, “Aku menyesal.”
“Menyesal apa Pak Lias?”
Pak Lias pun tengok Astro, teringat Nabil. Pak Lias pun kata, “Lu fikirlah sendiri!”

Tuesday, May 27, 2008

Tentang Kumpulan Karya

Apabila Lutfi Ishak bercakap tentang hasratnya untuk menghasilkan kumpulan cerpen, saya rasa tertarik juga untuk mengulas. Lutfi cuma belum mempunyai kumpulan karya yang dibukukan tapi banyak juga antologi karyanya yang dibukukan seperti antologi Hadiah Sastera Utusan, Angkatan Sasterawan 2005, dll. Lutfi agak merendah diri tidak mahu menyenaraikan antologi karya yang memuatkan karya beliau. Dalam blognya, pengenalan diri, hanya mengatakan : ”lelaki ini orang kedah. kini menetap di klang. bercita-cita menjadi penulis sepenuh masa. suka baca buku, tengok filem, dengar muzik, berangan-angan, dan jalan-jalan cari mamam. pernah terbitkan antologi puisi bersama-sama jim dan anjan. “ Selain kawan-kawan rapat Lutfi, tiada orang tahupun wujudnya buku bersama-sama Jimadie Shah dan Anjan Ahzana bertajuk M…S…Amerika ini.

Saya pernah berbual-bual dengan Lutfi tentang ini. Saya katakan perlu usahakan juga untuk hasilkan buku sendiri. Kumpulan puisi saya, Bebaskan Ekspresi tidak mendapat tajaan dari sesiapa. Wang yang saya keluarkan untuk menerbitkannya adalah dari titik peluh sendiri. Mahu tahu berapa kos penerbitan, pergi lah tanya syarikat percetakan. Selepas itu jangan fikirkan untung. Siapa mahu beli buku puisi, orang lebih suka makan ayam di restoran KFC.


Keterangan gambar: Lutfi juga boleh menyanyi lagu Suriram...

Boleh dikatakan semua penulis muda mempunyai kumpulan karya yang dibukukan (cerpen atau puisi) dan ada yang mempunyai novel sendiri. Saya setuju dengan beberapa pendapat mengatakan setiap penulis harus ada ‘buku’nya sendiri (tidak kira genre apa atau terbitan mana). Namun begitu, tidak perlu tergesa-gesa. Hasilkan yang terbaik dahulu dan hantarlah ke syarikat penerbitan, bukan semata-mata DBP. Tapi bagus juga dapat diterbitkan di DBP, badan kerajaan dan bukunya dipelihara walaupun susah untuk didapati di pasaran selain kedai dan koperasi DBP dan DAWAMA. Terbitan DBP dianggap bermutu dan diterbitkan setelah melalui proses penyuntingan yang cerewet dan penilaian oleh pakar bidang tersebut (agaknya).

Tahniah kepada beberapa penulis yang telah mempunyai kumpulan karya dalam setahun dua ini (puisi atau cerpen) yang diterbitkan di DBP seperti Saifullizan Yahya, Shahrunizam, Rendra, Siti Hajar, serta beberapa lagi dan yang agak senior seperti Rahimidin, Shamsudin dan Nasurry.

Oh, saya teringat ada seorang lagi penulis yang tiada kumpulan karyanya sendiri, Zainal Rashid Ahmad. Kita sedang menunggu.

Saya?: Sudah letih menangguhkan penulisan…