ABdW merupakan kumpulan esei kedua beliau.
Saya petik beberapa bahagian kertas kerja tersebut:
Menurut Webster (1990), apabila kita membaca sesuatu teks, sama ada secara sedar ataupun tidak, kita meletakkannya ke dalam kerangka rujukan bahasa dan pengetahuan yang lebih luas daripada melakukannya terhadap seseorang pengarang tertentu, waktu atau set kriteria sastera. Daripada suatu pengertian, kita “meliputi” teks itu dengan kepelbagaian wacana yang ditimba daripada budaya dan pengalaman kita sendiri yang mungkin berbeza mengikut waktu, tempat dan pembaca individu. Dalam hubungan tekstual, menurut Micheal Faucault, perkara yang penting yang perlu dilihat ialah apakah kesatuan yang menarik rasa ingin tahu ini yang ditulis pengarang
1. Intropeksi Diri
Intropeksi diri boleh disamaertikan sebagai penyemakan, penelitian fikiran, perasaan sendiri atau peniilikan diri. Dalam memperkatan inropeksi diri daripada esei-esei dalam ABdW didapati tema pertama iaitu Temu Seni jelas pernyataannya. Dalam tema ini, tujuh esei yang termuat banyak menyorot perjalanan kreatif A. Samad Said dan sebagai pernyataan peribadi mahupun dunia penulisan sastera sekitarnya.
Gaya penulisan A.Samad Said membawa ‘kembara’nya dekat dengan pembaca. Dalam tulisannya “Potret Diri: Baca, Alami dan Tulis” bagaikan sebuah autobiografi pendek tentang beliau. Pengalaman zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu ketika itu, kesengsaraan yang melatari kehidupan masyarakat dan luahan keinginan dan suara hati rakyat yang inginkan ketenteraman dan kemerdekaan memberikan pengalaman berharga buat beliau, walaupun perit. Tulisan ini lebih banyak berupa refleksi bagi A.Samad Said berupa catatan bagaimana penghasilan novel Salina juga kesan peristiwa-peristiwa politik tanah air juga bidang penerbitan. Di sini juga beliau menceritakan perkenalannya dengan pemimpin Mingguan Fikiran Rakyat, Ahmad Boestamam dan hubungan baik dengan individu tertentu seperti Usman Awang, Keris Mas, Kassim Ahmad, Syed Husin Ali dan Ismail Hussein. Individu-individu ini merupakan tokoh penting dalam persuratan dan sosiopolitik tanah air kemudiannya. Begitu juga persahabatan dengan M.Ghazali, Noor S.I dan A.S Amin yang bukan sahaja digulati karya-karya mereka malah secara peribadi mereka sememangnya akrab. Manusia-manusia di sekeliling A.Samad Said ketika itu, ditambahi dengan gelora zaman dan latar masyarakat yang tidak begitu teratur sudut sosioekonomi dan sosiopolitiknya telah memberi tanggapan pada diri beliau sendiri sambil menanyai dirinya, ke mana jalan pilihannya. Tidak hairanlah kesan semua itu menyebabkan beliau begitu gigih dalam bidang sastera, seperti teman-teman seangkatannya yang menuju ke arah bidang dan graduasi yang lain namun A.Samad Said memilih bidang penulisan kreatif dan juga sebagai wartawan pada peringkat awalnya. Itulah perjuangan A.Samad Said, hingga ke hari ini.
Pengalaman dan pembacaan yang luas termasuk bahan-bahan dari luar menggambarkan pemikiran A.Samad yang jauh ke hadapan. Beliau menganggotai Raffles Library untuk mendapatkan buku-buku terutama novel-novel masyhur dan hebat dari luar negara. Juga sering bersiar-siar di kedai buku murah di Brass Basah Road dan Sungai Road. Beliau menemui teks yang jauh (jauh jarak mata dan jauh jangkau fikiran) seperti karya Betrand Russells, George Santayana, Osamu Dazai, Yasunari Kawabata,Steinback, Ernest Hemingway, Arthur Miller dan banyak lagi. Kembara akliah itu bukan sahaja melepasi batas Amerika, Eropah, Jepun malah akrab dengan teks dari Indonesia seperti karya Pramoedya, Putu Wijaya dan lainnya. (ABdW:10-12)
Melalui instropeksi diri dalam menempuh pengalaman pada zaman perang, keakraban dengan individu berjiwa besar dan penghayatan terhadap teks luaran yang bermutu, maka secara tidak sengaja (ataupun tersengaja) terhasillah karya belaiu sendiri yang dikatakan oleh beberapa sarjana sastera yang bermutu, bertaraf dunia dan melangkai view karya-karya Melayu sebelum dekad itu. Ini dibuktikan menurut Laporan Panel Penilai Anugerah Sastera Negara dipetik berikut: “…Barangkali dari segi tekniklah, maka novel-novel A.Samad Said terasing daripada novel-novel Melayu yang lain kerana bacaan-bacaannya daripada karya-karya Barat, terutama yang sezaman, telah memberikan kekuatan daripada segi pendekatan dan teknik.”
Dalam “Sastera dan Manfaatnya”, A.Samad Said menyeru pembaca supaya meyakini bidang sastera amat rapat perkaitannya dengan kehidupan. Renungan tentang kehidupan dan kata-kata pembangkit kesedaran dan semangat terdapat dalam tulisan ini. Antaranya, “… kita perlu bergerak juga, mesti bergerak, terpaksa bergerak juga. Dari sini sampai ke sepuluh tahun akan datang, ke-100 tahun, ke-1000 tahun, kitalah yang akan menentukan hidup kita sendiri, baik sebagai orang perseorangan, mahupun sebagai satu bangsa. Sejarah kita sudah muram sejak tahun 1511. Kita bertanggungjawab menggilapnya.” (AWdB: 35)
Bahan-bahan esei ini memberi refleksi kepada A.Samad Said sendiri, sebagai intropeksi diri, perkaitan tentang hasrat dan perjuangannya yang sertentak atau kemudiannya adalah bahan-bahan teks novel, cerpen, puisi dan dramanya. Begitu juga dengan langgam dan gaya bahasanya. Secara peribadi, dapat dikesani ada suara Salina di dalamnya, ada gema Hujan Pagi, ada kelucuan M.P Gudu-Gudu, ada rintih Benih Semalu dan ada cetusan Wira Bukit.
2. Wacana Sastera
Pengertian yang asas bagi wacana ialah penghasilan fikiran melalui teks. Wacana sebagai terjemahan bagi kata Inggeris discourse adalah perkataan dan juga konsep yang digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan (Asmah, 2006). Tiap-tiap bidang mempunyai definisinya tersendiri tentang apa yang dimaksudkan sebagai wacana. Bidang falsafah misalnya melihat wacana sebagai perdebatan atau hujah tentang sesuatu makna yang diinterpretasikan daripada kehidupan. Pengertian ini hampir sama yang dibawa dalam bidang kesusasteraan. Wacana yang dibawa oleh ahli linguistik dan antropologi membawa kesimpulan untuk pewujudan makna (the making of meaning) dalam kalangan manusia, khususnya dalam kehidupan mereka sehari-hari, melalui bahasa.
Dalam Wacana Sastera terdapat perkaitan dengan makna soial. Menurut Asmah Haji Omar (2006), dalam wacana terdapat makna sosial (social meaning). Ini berdasarkan pada pandangan bahawa kita dibina di dalam dan juga melalui bahasa. Apabila seseorang itu menulis, mahu tidak mahu dia membawa makna sosial yang ada dalam kehidupannya, baik sebagai individu dalam keluarga atau komunitinya, mahupun sebagai ahli akademik dalam bidangnya. Dan pengertian sosial itu jauh lebih luas daripada pengertian hubungan antara individu. Dengan itu, apabila kita mengkaji hasil penulisan seseorang itu, maka kita hendaklah melihat makna yang dibawanya itu berdasarkan milieu atau latarnya sebagai ahli akademik, wartawan, pengkritik dan sebagainya.
3. Wacana Seni dan Budaya
Tema Riak Filem mempunyai dua buah esei manakala satu lagi tema iaitu Alam Warna juga mempunyai dua buah esei. Tidak banyak yang diperkatakan oleh A.Samad Said tentang seni budaya. Dalam ABdW hanya empat. Keempat-empatnya ditulis dalam tahun yang sama, 1978 juga wadah yang sama, Berita Minggu.
Sebagai wartawan, persoalan politik ini dilaporkan dengan jujur sambil menyelitkan pandangan dan tafsiran dari sisi masyarakat tempatan. Pada bahagian inilah dilihat pengelolaan kandungan wacana. Di sini digunakan ungkapan social organization of contents. Menurut Asmah (2006), apa yang dimaksudkan ialah teks merupakan konteks atau tempat timbulnya makna seperti yang difahami oleh masyarakat pengguna bahasa dan wacana berkenaan, dan fokusnya adalah bagaimana teks atau wacana mengkonstruksi alam masyarakat penggunanya.
Esei-esei bahagian ini terbahagi dalam berbagai-bagai bidang manakala penulisannya dalam bentuk artikel akhbar dan majalah. Terdapat juga pandangan tentang kesusasteraan selain membawa persoalan peningkatan potensi diri (motivasi), keagamaan, tokoh-tokoh tertentu, sains. Sebagai Nuansa Peribadi, hasil tulisan ini bersifat semasa namun menunjukkan keterbukaan terhadap bidang-bidang lain (teks yang lain) yang kembali kepada pengisian fikiran dan mengasah ketajaman pesepsi dan aktualiti kepengarangan.













