Sunday, February 06, 2011

Siapa yang Sepatutnya Menggunakan Bahasa Melayu dengan Baik?

Bahasa ialah bunyi-bunyi vokal yang digunakan dalam ujaran atau lambang-lambang tertulis dari bunyi-bunyi vokal itu. Bahasa juga adalah alat komunikasi yang digunakan dalam lingkungan kelompok manusia tertentu. Bahasa, dalam pengertian lain juga adalah sopan santun atau tingkah laku yang baik. Malahan, dalam budaya Melayu, orang yang tidak berkelakuan baik atau bertingkah laku tidak sopan dianggap ‘tidak reti bahasa’.

Sememangnya bahasa itu bersifat arbitrari atau wewenang, bebas dan terbuka serta dapat diubahsuai dengan situasi dan keadaan. Bahasa, dari sisi untuk tujuan komunikasi lisan bersifat informatif, perlu jelas dan tepat. Ini penting untuk memudahkan maksud ujaran dapat difahami, apatah lagi dalam situasi pengamal tidak mahir bahasa tertentu. Contohnya, apabila ada pelancong dari luar negara yang ingin berbahasa Melayu, kesalahan, kesilapan, dan kesalahgunaan istilah tertentu tidak menjadi masalah. Yang penting maksud yang ingin disampaikan dapat difahami.

Daripada contoh di atas, seorang pelancong dari negara luar menggunakan bahasa Melayu yang salah dan lemah boleh dimaafkan malahan patut dibanggakan kerana daya usaha pelancong itu untuk menggunakan bahasa Melayu, bahasa yang asing sekali penggunaan baginya. Dalam suasana yang sama seperti demikian jika dilakukan oleh rakyat tempatan yang mahir malah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Bahasa Melayu di sekolah, apakah kesalahan penggunaan bahasa itu boleh dimaafkan?

Kesalahan bahasa sebagai komunikasi berbentuk tulisan turut berlaku. Komunikasi tulisan dalam media seharusnya bersifat betul daripada segi peraturan bahasa (tatabahasa) dan nahunya di samping memenuhi tugas komunikasi itu iaitu tepat, jelas dan difahami. Mari kita lihat beberapa penggunaan bahasa Melayu oleh orang Melayu melalui blog terutama blog peribadi.

Agak menyedihkan, ada dalam kalangan orang Melayu yang bangga sekali menggunakan bahasa Melayu yang salah dalam blog mereka. Kesalahan itu bukan kerana mereka tidak tahu tetapi mereka sengaja demi kebanggaan akan perbuatan merosakkan bahasa itu. Mungkin dalam sistem pesanan ringkas (SMS) boleh dimaafkan selain sifatnya peribadi dan tujuan untuk berhubung dan cepat untuk menaip pada kekunci telefon. Tetapi, sampai bilakah kita asyik memaafkan sahaja kesilapan yang kita lakukan sendiri?

Kesalahan bahasa juga amat ketara di radio dan televisyen. Juruhebah atau penyampai radio terutama radio swasta pada hari ini sangat bebas berbahasa secara langsung terus kepada penonton. Kebebasan berbahasa ini bukan sahaja menunjukkan banyak kesalahan tetapi memperakukan bahasa yang kurang ajar, diselangi hilai tawa yang sangat memualkan. Keadaan ini juga berlaku dalam dialog-dialog beberapa siri lawak jenaka di televisyen serta beberapa siri drama, sitcom, telefilem dan filem cereka.

Bahasa berkembang seiring dengan kebudayaan sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang berkembang dengan ketamadunan yang bijaksana amat dipengaruhi oleh bahasanya. Pemikiran yang baik juga dipengaruhi oleh tanggapan dan penguasaannya terhadap sesuatu bahasa. Jika orang Melayu ingin menjadikan tamadunnya unggul, setiap orang Melayu itu seharusnya menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Akhir sekali, saya ingin tanyakan , jujurkah kita bahawa sebenarnya kita menyayangi dan menghargai bahasa Melayu?

Monday, January 31, 2011

Kemenangan Pilihanraya dan Kepercayaan Rakyat

Dalam tempoh setahun, boleh dikatakan dua atau tiga kali pilihan raya kecil diadakan, malah lebih kerap pun pernah. Pilihanraya diperlukan untuk memilih wakil dalam peringkat majlis perundangan negeri dan persekutuan.

Selalunya, apabila kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN) mengalahkan Pakatan Rakyat, ungkapan yang selalu dikeluarkan ialah: Kemenangan sebagai tanda kepercayaan rakyat. Inilah retorik pemimpin atasan Melayu yang ketinggalan. Cara berfikir dan mengeluarkan kenyataan adalah bersikap segera, mudah dan senang hati.

Dalam waktu yang sama, tidakkah terfikir apakah jawapan jika calon BN itu kalah? Adakah jawapannya ini tanda ketidakpercayaan rakyat?

Mari kita fikirkan dalam konteks kemenangan ini, sambil tidak tahu menahu tentang strategi, tindakan malah pelaksanaan kempen-kempen pilihan raya kecil. Inilah kemenangan yang wajar disyukuri BN, dan sepatutnya pada malam kemenangan, BN dan seluruh yang berkempen melakukan solat sunat atau sujud syukur bersama-sama penyokong setia.

Dalam tempoh kemenangan inilah, BN seharusnya meyakinkan pengundi di kawasan-kawasan lain bahawa calon yang terbaik dijanjikan pada pilihan raya akan datang. Calon tidak semestinya anak bekas ahli politik juga, atau ahli-ahli korporat yang kaya raya. Calon yang serasi dengan rakyat ialah calon yang dilihat bijaksana, mempunyai ilmu, memahami masalah rakyat dan berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini untuk mengelakkan pemimpin yang memusnahkan harapan dan cita-cita rakyat, impian rakyat dan kesusahan rakyat.

Buktikanlah keperibadian yang ditunjukkan dalam akhbar, dalam televisyen dan web tertentu yang inilah calon yang terbaik yang ada di situ. Manakala yang ditandingi pula adalah yang bertentangan, negatif dan tidak sebagus calon BN.

Untuk pada masa akan datang, jangan sesekali beranggapan pengundi adalah orang kampung yang tiada pendirian, mudah diperbodoh dan seperti ‘tidak pernah bersekolah’. Jangan sesekali memperkecil keupayaan calon Pakatan Rakyat. Mungkin calon ini tiada kelulusan luar negeri, namun peribadi, cita-cita dan hasrat perjuangannya mungkin jauh lebih murni untuk agama, bangsa dan negara.

Apa guna pemimpin yang menang jika monumen bersejarah tertua diroboh, novel SN dibakar, penduduk di kawasan sesebuah penempatan dihalau, sisa buangan melimpah dekat taman perumahan, jalan biasa ditutup sebaliknya dibina lebuh raya, dan macam-macam masalah rakyat yang tidak didalami dan diusahakan untuk diselesaikan.

Mari kita berfikir secara kritikal dan bijaksana.

Isu Interlok dan Korupsi Minda

Saya, secara peribadi amat tersentuh dengan kontroversi yang melanda novel Interlok. Saya membaca Interlok pada tahun 1995, ketika masih bujangan. Interlok ketika itu tidak dipedulikan oleh sesiapapun. Malah sejak diterbitkan pada tahun 1971, dan dicetak semula 1973, tiada sesiapapun yang marah perkataan ‘paria’ dan gambaran-gambaran yang lain dalam novel itu. Sedangkan ketika itu berbagai-bagai persatuan dan NGO telah wujud, termasuk juga parti politik tertentu.

Ketika ini, ada suara yang mahukan novel itu dihentikan daripada dijadikan teks malah ada yang mahu diharamkan. Pihak pencetus isu ini juga mahu novel itu dimurnikan (dalam pengertian lain bermaksud dicincang dan diubah-ubah sana sini). Itulah nasib sebuah novel yang membawa simbol perpaduan yang cantik, apatah lagi dengan slogan 1 Malaysia yang sering disebut, dalam waktu yang sama bermakna pihak ini menafikan semangat 1 Malaysia itu, hinggakan novel itu mahu dibakar. Ingat, pepatah Melayu ada mengatakan ‘api yang kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan!’

Interlok ialah sebuah novel. Apabila dinamakan novel, tentulah secara sistem dan prosesnya bersifat novel. Interlok bukanlah kisah benar malah watak utama seperti Seman, Chin Huat dan Maniam itu adalah watak-watak fiksyen yang tidak menyentuh mana-mana pihak sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada. Jika adapun secara kebetulan yang sangat sedikit. Jika ada yang terkena pun masih boleh dibuktikan. Sangat kejam tindakan membakar novel dan gambar seorang sasterawan yang dihormati, apatah lagi pada peringkat hujung usia malah keuzuran pula. Lebih mendukacitakan perbuatan ini direstui oleh pertubuhan politik yang diharapkan memperjuang kepentingan rakyat. Golongan ini sepatutnya tidak perlu memikirkan cara untuk memadamkan sejarah tetapi membina satu paradigma baru atau sejarah baru untuk generasi mereka pada masa akan datang. Jika tiada kasta di Malaysia, mantapkanlah tanggapan itu dengan pelbagai usaha. Bela dan binalah generasi yang tiada kasta serta banyak menabur jasa. Padamkanlah tanggapan-tanggapan negatif selama ini. Jujurlah dalam berbicara, fikirkan juga kepentingan kaum lain yang bersama-sama di negara yang bernama MALAYsia ini. Sedarlah, nama asal bagi negara ini ialah Tanah Melayu. Jika itu diakui itu sudah cukup untuk menjadi hidup lebih toleransi.

Gambaran tentang watak Melayu terlalu banyak yang negatif dalam novel-novel Melayu. Malah dalam filem pun watak Melayu sangat daif dan negatif. Perempuan pelacur dalam Salina ialah Melayu, perempuan yang dirogol bergilir-gilir dalam filem Embun juga Melayu. Lelaki miskin dan berpenyakit dalam Ranjau Sepanjang Jalan ialah Melayu. Malah Melayu juga pernah dikatakan malas, lemah, suka bersantai dan macam-macam lagi. Tetapi Melayu –Melayu ini marah pun marah cakap-cakap saja. Semua ini kerana Melayu ini bijaksana, berfikir waras dan rasional dan tahu makna sejarah, suasana kehidupan mengikut konteks budaya dan kehendak zaman. Perkembangan agama juga memainkan faktor. Persepsi, amalan dan penghayatan serta kedalaman ilmu tentang agama Islam berbeda dalam situasi tahun 1950-an, 60-an hingga sekarang. Sebagai contoh mudah, tahun 1970-an tidak ramai perempuan Melayu yang bertudung berbanding pada hari ini.

Apabila novel seperti Interlok dijadikan teks, unsur-unsur yang dibincangkan bukanlah perkataan ‘paria’ atau sejarah kasta dan sebagainya. Dalam sukatan pelajaran, ada kemahiran bernilai tambah, ada pengisian kurikulum, ada unsur tatabahasa. Pengajaran Komsas bukan semata-mata tentang istilah tetapi jauh daripada itu tentang nilai murni, nilai estetika, ungkapan, gaya bahasa, pengajaran, perwatakan, teknik penceritaan dan sebagainya. Guru-guru yang mengajar Komsas ini pula telah mengetahui berbagai-bagai teori dan pendekatan pegadogi yang kaya degan kaedah, berpuluh-puluh teknik dan berbagai-bagai-bagai model pengajaran termasuk kebebasan mencipta kreativiti dalam pengajaran. Guru-guru ini adalah dalam kalangan yang telah lulus sarjana muda pendidikan malah ada yang telah memperoleh sarjana dan doktor falsafah. Beri kepercayaan dan penghormatan kepada guru-guru ini dan jangan terlalu bimbang terhadap mereka.

Antara tujuan Komsas adalah untuk menggalakkan pelajar mengenali karya kesusasteraan yang baik, menghargai kreativiti sambil menjana pemikiran dan kreativiti sendiri. Pelajar-pelajar ini kelak diharap dapat sedar tentang situasi budaya, memahami unsur-unsur dalam sastera dan dapat membezakan mana karya yang baik, mana karya yang berselera rendah dan picisan, mana yang mengarut. Di samping itu juga pelajar-pelajar ini diharap dapat mengenali mana penulis yang baik, berkualiti, kreatif, berpandangan jauh, luas pengalaman sambil dapat juga mengenali penulis yang perasan bagus, yang menumpang-tumpang menulis dalam bahasa Melayu dalam sastera Melayu, dan penulis yang meminta-minta untuk diiktiraf.

Dalam isu Interlok, apa yang dapat saya simpulkan, dapat dikesan cara berfikir dan bertindak yang kurang matang beberapa individu. Individu ini bergerak atas nama persatuan yang hanya dianggotai oleh beberapa orang ahli malah masuk parti politik untuk kepentingan peribadinya. Individu ini kononnya bertindak bijak tetapi dalam waktu yang sama menunjukkan kegelojohannya.

Satu lagi yang dapat disimpulkan apabila ahli politik Melayu sangat berdiam diri dalam soal ini. Hanya ada beberapa sahaja yang mampu bersuara seperti Datuk Ibrahim Ali melalui PERKASA tetapi di mana suara UMNO, sebuah parti yang kononnya mahu memperjuangkan nasib orang Melayu. Apa reaksi UMNO (Pemuda, Puteri, Puteri) atau ahli-ahli UMNO yang tua-tua dalam soal ini. Sesungguhnya kita tidak memahami sekarang UMNO memperjuangkan apa? Apa yang UMNO buat dalam isu bahasa seperti PPSMI dahulu? Sekarang isu sastera pula.

Dan pada ketika ini, saya memikirkan satu istilah iaitu korupsi minda. Istilah ini saya tiupkan ke laut, sambil tidak mahu terlalu menuduh sesiapa.

2010, Tahun Kontroversi Sastera?

2010 menamatkan dekad pertama milenium baru yang digemparkan dengan fenomena Y2K sepuluh tahun dahulu. Dekad ini, seperti dekad-dekad yang terdahulu, mencatat pelbagai peristiwa di mana-mana pun di dunia ini. Manusia, sebagai perakam peristiwa dan turut terlibat dalam peristiwa tertentu.

2010, telah berakhir. Begitulah masa terasa cepat berganjak hari demi hari, minggu, bulan dan tahun. Dalam bidang penulisan, khususnya kesusasteraan Melayu, tahun 2010 mencatat sejarah tersendiri. Paling hangat ialah isu novel Interlok yang tercetus awal Disember 2010 yang dimulakan oleh kenyataan seorang timbalan menteri mahu novel itu dihentikan sebagai teks komponen sastera (komsas) bagi tingkatan lima di sekolah zon tengah. Isu ini bukan semata-mata isu sastera malah tentang menjadi isu budaya dan politik. Dalam konteks kesusasteraan, isu ini melibatkan maruah dan jatidiri seorang sasterawan negara dan persoalan kebebasan dalam kreativiti. Manakala dari sisi politik ini mempunyai kepentingan daripada sisi yang tidak dilihat dengan mata kasar. Namun keseluruhannya isu ini menyangkut persoalan peradaban, ketamadunan dan perjuangan bahasa dan budaya.

Pada masa akan datang, pihak Kementerian Pelajaran seharusnya berhati-hati dalam pemilihan teks terutama apabila terdapat teks (novel, cerpen, sajak dan drama) yang sangat lemah daripada segi isi, nilai termasuk judulnya.

Dalam situasi yang lain,
pemilihan Zaen Kasturi (Zainal Palit) sebagai penerima Sea Write Award 2010 dari Kerajaan Thailand, bukanlah mengejutkan kerana nama beliau telah dicalonkan beberapa kali sebelum ini. Tetapi yang mengejutkan adalah penulis-penulis yang dipilih meninggalkan nama Zaen pada tahun sebelum-sebelum ini. Tanpa berniat untuk mempertikai pemilihan penerima anugerah sebelum ini, apa yang difikirkan seharusnya ialah nama penulis muda selalunya berada di bawah atau hanya pelengkap senarai sedangkan nama yang terdahulu masih terlalu banyak. Kaedah pemilihan dan penjurian seharusnya diubah. Lihatlah kualiti karya, bukan senioriti seperti memberi pingat untuk diberi. Pemilihan, syarat dan kriteria adalah milik penganjur dan jawatankuasa pemilih, tapi khalayak juga wajar tahu, dan berhak untuk menyatakan pendapat layak atau tidaknya seseorang. Zaen Kasturi sepatutnya telah mendapat anugerah tertinggi Asia Tenggara untuk bidang penulisan itu sejak lima ataupun sepuluh tahun dahulu. Karya-karya beliau banyak sekali memenangi Hadiah Sastera Perdana dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.

Pemilihan S.M Zakir (Syed Mohd Zakir Syed Othman) sebagai penerima anugerah penulis muda MASTERA, ringkasan daripada Majlis Sastera Asia Tenggara juga merupakan satu penghormatan kepada penulis muda. Tahun 2010 juga dalam gerakan berpersatuan dan berorganisasi, Persatuan Penulis Nasional (PENA) telah memberi peluang tampuk kepimpinan muda.

Selain komuniti siber lewat facebook dan blog, program diskusi juga rancak dijalankan. Antaranya Dialog Orang Muda (DOM) yang berkesinambungan daripada Dialog Pinggir yang diadakan di Rumah PENA bermula awal tahun 2000 (anggaran).

Kerjasama dalam pelbagai bidang seni, tidak semestinya penulisan tetapi grafik, seni visual, filem, muzik dan teater juga perlu untuk mewujudkan perkembangan yang sihat. Cuma sastera bahasa Inggeris agak terasing dan mewujudkan komuniti sendiri. Khalayak atau audien seharusnya memahami karya seni itu bagaimana yang dapat membezakan karya seni estetika tinggi dan karya yang bertaraf biasa-biasa sahaja.

Kembali Mengaktifkan Blog

Terasa terpanggil-panggil untuk mengaktifkan blog. Setelah berehat hampir sebelas bulan, blog Bebaskan Ekspresi tampil kembali. Dalam waktu yang sama saya membina sebuah blog lain, tanjung berkias yang ringkas dan menampilkan gambar foto, satu kerja seni yang juga saya minati. Saya tidak merasakan saya mempunyai momentum baru yang hebat tetapi saya digerakkan oleh rasa untuk kembali melontar idea, memberi komen dan ulasan, buah fikir dan dalam waktu yang sama akan mengkritik pada lapis-lapis yang akan direlevankan.

Kenapa saya ‘rehatkan’ blog ini? Ini soalan yang ditanyakan oleh beberapa orang kawan yang prihatin. Saya tidak boleh menyatakannya kerana sebab yang spesifik tidak ada. Tetapi adalah beberapa perkara yang menyebabkan saya terusik hingga bertindak demikian. Saya secara merendah diri, ingin tampil secara sederhana dalam melontarkan pandangan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya. Sambil tidak menafikan turut tertarik dengan pelbagai hal yang berlaku di sekeliling masyarakat dalam dan luar negara dan juga cetusan-cetusan daripada pembacaan.

Sebagai manusia, dalam beberapa keadaan dan situasi mungkin kita bertentangan pendapat. Bukan sesama dalam komuniti, malah dengan isteri dan anak-anak pun berbeda pendapat. Saya mahu berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi saya tidak boleh memaksa orang lain menjadi kawan saya. Saya tahu saya tidak hebat dan kuat, tetapi orang yang merasakan kuat dan hebat hormatilah walaupun sedikit orang yang tidak hebat dan tidak kuat ini.

Dengan harapan yang baik-baik, saya mahu bersederhana serba-serbi.

Monday, March 01, 2010

Thursday, January 21, 2010

Tutup Sementara


Blog ini ditutup sementara.

Wednesday, January 13, 2010

Seketika tentang Muzik dan Lagu


Seketika.
Lenguh dengan subjek matter. Lenguh dengan sastera. Lenguh dengan politik hingga kadang-kadang menyampah. Muak dengan slogan itu-ini. Bosan dengan isu yang punya agenda tertentu, isu bahasa, isu perpaduan, blab la bla.
Saya mahu bercakap tentang muzik. Tentang Juara lagu yang juga orang menyampah. Tapi kali ini saya tidak mahu melihat sudut sampah dan menyampah itu, saya mahu melihatnya dari sisi positif.
Juara Lagu adalah pertandingan akhir daripada siri Muzik-Muzik setiap minggu. Sebelum ini, bertahun-tahun lagu-lagu dipertandingkan mengikut kategori, pop rock , balada, irama Malaysia, yang setiap kategori ada pemenangnya. Tahun ini lain sikit. Jura lagu tahun ini tiada kategori itu. Ini baru pertandingan sebenar. Lagu-lagu yang dipertandingkan baik, Cuma ada juga lagu yang tidak layak langsung ke pertandingan akhir. Persembahan, hebat dan penuh kreativiti.
Sehari sebelum pertandingan Juara Lagu, saya berada di Shah Alam bersama-sama keluarga. Singgah di Giant berdekatan stadium. Di sebuah kedai CD, saya mencari-cari filem terbaharu ataupun lagu terbaharu. Tidak banyak. Kemudian saya terpandang CD Aizat, judul Percubaan Pertama dalam versi Karaoke. Saya teringat VCD karaoke yang saya beli sebelum ini adalah album M.Nasir (Sumpah Semerah Padi) dan VCD itu pun entah di mana letaknya. Kali membeli VCD Aizat, dan saya menonton video klip lagu-lagu Aizat. Saya mengesani Aizat ini punya bakat mencipta dan vokal yang baik.
Dalam facebook entah macam mana terlintas saya untuk meletakkan pada ‘wall’ bahawa saya meneka lagu “Pergi” ciptaan Pete Teo lirik Amran Omar (Daripada soundtrack filem Talentime) mejadi Juara Lagu. Entah, saya rasa lagu itu ada ‘soul’ dan kekuatan tersendiri.
Dan, tekaan itu tepat.
Muzik, dalam beberapa keadaan menghilang mengantuk, menjadi teman pemanduan, dan teman untuk menaip tugasan ketika belajar dahulu dan sekarang pun kadang-kadang saya bekerja dengan laptop ditemani muzik. Muzik juga punyai nostalgia, punya sentuhan. Dan keindahan lirik kadangkala membuatkan kita bermotivasi, bersemangat dan tersentuh. Sesekali, muzik juga sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.

Main Kamera: Rebut

Cerpensah (Cerpen belasah)

Beruang Menangis Siapa Yang Tahu

Oleh ARIFF MOHAMAD

Mereka, sekelompok yang dilahirkan sebagai beruang. Hidup ditandai cabaran. Terlalu banyak cabarannya. Menghuni di kawasan khatulistiwa, dengan hutan yang gondol di sana sini, manakah tempat untuknya lagi. Kebimbangan turut di rasai oleh bapa beruang, ibu beruang, malah putera dan puteri yang lain.

“Kita perlu berpindah,” getus bapa beruang pada satu petang yang hening. Dihadiahi angin lembut menyentuhi bulu-bulu beruang.

“Ke mana?” Soalan ibu beruang yang telah dilantun sama setiap kali bapa beruang mengujarkan penyataan di atas.

“Ke mana-mana sahaja, asal selamat.”

Dia, beruang 50 bulan hanya diam mendengar bualan kedua-dua yang tua.

“Kumpulkan semua beruang yang ada. Kita bermesyuarah seketika, untuk keputusan penting ini,” Kata bapa beruang yang ditujukan kepada anak beruang 50 bulan.

Maka, beruang 50 bulan melaksanakan tugasnya menghebahkan makluman mesyuarah tergesa-gesa yang akan diadakan dalam satu jam lagi.

Hidangan barang sekupang dua, pucuk segar lima enam layang, dan buah-buahan beberapa pasang dihamparkan. Semua beruang menunggu di tempat mesyuarat tepat pada masanya. Hanya menunggu bapa beruang memulakan bicara. Tanpa sebarang minit yang perlu disahkan, tanpa agenda yang tersusun, mesyuarah pun bermula.

Kehadiran, sangat baik. Semua tujuh beruang hadir kecuali seekor beruang betina yang baru melahirkan anak kedua.

“Begini,” kata bapa beruang memulakan. “Kita perlu berpindah segera kerana tempat ini sudah tidak selamat lagi untuk kita.”

“Tempat ini sudah sebati dengan kita. Mengapa kita perlu berpindah?” soal seekor beruang tua yang pernah menjadi ketua beruang satu ketika dahulu. “Tidak perlu ke mana-mana, kita terus tinggal di sini,” tegasnya.

Seekor beruang mewakili angkatan muda, yang putih sedikit kepalanya memberi usul, “Saya menyetujui kata-kata beruang tua. Tempat ini sudah cukup baik untuk kita. Makanan masih ada, kita boleh bertahan beberapa tahun lagi. Habis binatang, daun-daun pun boleh kita makan. Kemudahan jeram untuk kita minum, bermandi-manda dan bergurau-senda begitu cantik dan sayang sekali untuk ditinggalkan. Apatah jadahnya kita berpindah ke tempat lain yang tidak pasti suasananya, bukankah itu bakal mengancam sentosa hidup kita? Jangan berpindah. Di sinilah kita.”

Bapa beruang berdiam seketika mengitari pandang beruang yang lain. Ibu beruang menyuakan pucuk tempinis kepada beruang di sebelahnya. Angin petang menghembus agak kuat. Ranting-ranting pokok terusik bergoyangan. Ada tanda-tanda hujan akan turun. Ah, itulah kelakuan manusia, pantang ada kawasan yang cantik, habis dilapah untuk dibangunkan.

Seekor beruang pertengahan usia bersuara. “Saya fikir dan rasa, elok juga kita berpindah. Atau kita berserah diri kepada pihak berkuasa lalu kita ditempatkan di zoo. Makanan dapat percuma, kita akan dilayan dengan baik di sana. Kita ini spesies yang hampir pupus. Bukankah lebih selamat di sana daripada tidak tentu hala di sini?”

Beruang pemuda meninggikan suara, “Jika kamu mahu menyerahkan diri pada manusia lalu bersedia untuk merengkok di dalam zoo, pergilah kamu. Aku? Kirim salam banyak-banyak pada manusia. Aku tidak akan memaafkan kesalahan manusia yang terlalu banyak salahnya pada suku-sakat kita dan terlalu banyak angkaranya pada alam ini, pada dunia seluruhnya.

“Uh, itu tuduhan yang berat. Kamu memang layak untuk ke zoo wahai beruang muda!” balas beruang pertengahan usia.

“Sudah! Sudah!” Bentak bapa beruang. Kita mahu bermesyuarah, selesaikan dengan baik. Buat keputusan yang dipersetujui bersama. Apa saja usul kita terima, kita bincangkan dengan baik dan buruknya, kemudian kita buat keputusan secara saksama. Jangan bergaduh sesama kita.”

Beruang-beruang mengomel dan berbisik sesama sendiri.

“Bukankah kita sedia maklum, bahawa tiada ada lagi kesentosaan dalam hidup kita sekarang. Terlalu banyak ancaman untuk kita terus berada di sini. Jika kita mahu kekal di sini, apakah langkah dab persediaan kita untuk bertahan. Ini yang perlu kita putuskan.” Ibu beruang bersuara.

Dia, beruang 50 bulan ingin bersuara namun dipendamkan rasa.

“Maaf, aku ini kurang ambil tahu hal-hal luar. Aku beruang betina merangka suri rumah. Tugas aku menyusui anak dan menyediakan makanan yang seelok-eloknya untuk pasanganku. Maka aku tidak tahu, apakah maksud ancaman yang terlalu banyak itu selain malapetaka alam yang sedia kita tempuhi, agaknya petaka musibah yang menjadi puncanya?”

“Benar itu, beruang suri. Petaka manusia. Mereka sudah lupa tentang alam. Mereka sudah lupa tentang tanggungjawab untuk membela kita!” terang bapa beruang secara ringkas sebelum ujarannya dipintas beruang muda di bawah.

“Ah, celaka manusia! Bukankah kita beruang, dan bukannya selayaknya manusia itu menjadi makanan kita. Bukan payah untuk membaham manusia. Tubuh kita, taring kita, kudrat kita berganda hebatnya daripada manusia. Mengapa membodohkan diri takutkan manusia?”

“Ya, itu jakan yang sepatutnya kita putuskan. Kita baham saja mereka!” sambut beruang tua.

Bapa beruang merenung legat beruang muda dan beruang tua. “Nampaknya ada yang kurang jelas antara kita. Baiklah, saya jelaskan perkara ini. Ketahuilah wahai beruang sekalian, kita memang kuat, berkudrat dan hebat, tapi manusia itu lebih kuat dan bijaksana dengan teknologinya. Mereka boleh musnahkan kita dengan sekelip mata. Mereka boleh membakar, menghapuskan tempat ini dengan seketika tampa sempat kita menggulung tikar untuk berangkat. Mereka mempunyai kuasa untuk mengatakan apa saja. Undang-undnag dan kuasa di tanga mereka. Jika kita melawan, kita akan jadi mangsa.”

Bapa beruang merenung langit. “Bersediakah kita:”

“Nampak tiada kata putus kita dapat dalam mesyuarah ini kalau dalam kepala otak bapa beruang untuk mengajak kita berpindah. Baiklah, aku mahu tahu lagi sekali, ke mana kita mahu pergi?” Beruang tua masih bersuara tinggi dalam getar dan diselangi batuknya.

“Kita ke hutan lain yang lebih luas. Kita bergerak pada waktu malam. Setuju? Atau ada cadangan lain?”

Ketika ini beruang 50 bulan bersuara. “Mudah saja, kita melompat parti”

“Ha?” Semua beruang ternganga serentak.

“Mengarut!” Beruang tua meninggal mesyuarah. Diikuti beruang muda yang meninggalkan ludahnya. Beruang suri kemudian beredar juga bersama-sama pasangan. Tinggal beruang pertengahan usia, kemudian kencing di situ. Kemudian meninggalkan tempat itu.

“Apa yang kamu cakapkan ini?” Tanya bapa beruang kepada beruang 50 bulan. Tak masuk akal. Tak logik. Apa kena-mengena rukun hidup kita dengan melompat parti. Kamu anakku, jangan sampai aku katakan aku menyesal menjagamu selama ini.”

“Aku bergurau. Aku punyai maksud yang lebih jauh daripada itu.”

“Apa maksudmu?”

“Kita kembali ke asal kita. Ketahuilah bahawa selama ini kita telah disumpah menjadi beruang. Asalnya kita bukan beruang.”

“Apa?” Semua beruang yang ada di situ terkejut.

“Asalnya kita ini apa?”

“”Asalnya kita ini manusia!”

Friday, January 01, 2010

Main Kamera : Jual Buku

Akhir dan Awal Tahun di Rumah PENA

Malam 31 Disember 2009, saya berada di Rumah Pena, sambil belajar-belajar ambil gambar orang baca puisi, sempat juga baca puisi sendiri. Terima kasih penganjur yang beri peluang dan mengundang juga para siswa dari UPSI ke sana.
Puisi ini, ditulis pada petang itu di sebuah kafe berdekatan PWTC dan dideklamasi pada malam itu oleh Nor Asmani.

Menutup Musim Kini, Membuka Azam Esok

Perjalanan usia mengikut rentak dunia
Cabaran zaman menggertak peribadi
Sambil kita membaca dalam firasat
Memengertikan makna tersimpan hakikat.

Benar,
Kita menempuh perjalanan yang jauh
Detik jam menyindir jadual dan kerja
Menggema tanggungjawab tertanya-tanya
Kelmarin, hari ini, esok
Hari, minggu, bulan, tahun
Tahun berganti tahun
Dalam kalendar yang cantik
Dan langkah pun menyeret kesungguhan.

Kita buang kepiluan meruntun
Sambil menggenggam tekad
Menjulang kejayaan setinggi puncak
Bersama-sama
Bersama-sama

Detik ini,
Ada doa dalam hati
Agar tahun yang hampir ini
Semakin cantik dalam kalendar peribadi
Semakin indah dalam catatan
Semakin bermakna dalam mengisi perjalanan
Sebagai warga, sebagai manusia.

Selamat tahun baru semua!

Saya Suka Ayat Ini

...penulis pelobi ni mengingatkan satu quote dari benjamin disraeli: "An author who speaks about his own books is almost as bad as a mother who talks about her own children."
(daripada Shahril Hasrin dalam komen blog Mohd Lutfi Ishak)

Thursday, December 24, 2009

2009 daripada Beberapa Dimensi

Tahun 2009 akan berakhir dua minggu lagi. Tahun baru Hijrah 1431 baru muncul seminggu. Suatu peralihan yang cantik.
Saya melihat 2009, sebagai pandangan peribadi daripada beberapa dimensi secara umum.
Politik. Peralihan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pada tahun ini. YAB Dato’ Seri Najib mengambil alih tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Dalam waktu yang sama, pakatan pembangkang yang bercakap tentang peralihan kuasa telah gagal, sambil tetap menyimpan hasrat. Keunikan politik Malaysia menarik untuk diperhati dan diperkatakan.
Sosial. Hal ehwal masyarakat tidak banyak berubah tetapi kebimbangan keadaan zaman yang semakin mencabar dan kata kunci 'globalisasi'. Gagasan Satu Malaysia dalam konteks masyarakat, ada pro dan kontra.
Ekonomi. Tahun ini suasana agak cemas. Dasarnya dilihat selesa namun hakikatnya situasi agak menggugat. Kadar inflasi tinggi. Harga barang naik. Cukai dikuatkuasakan dalam itu ini. Kakitangan kerajaan tiada bonus (Cuma insentif RM500).
Agama. Masih berlingkung dalam persoalan sensitif jika diperkata berlebihan. Ada perdebatan tentang mazhab dan fahaman yang kadangkala mengelirukan masyarakat. Ada kecenderungan untuk mempertikai tokoh dan ilmuan agama.
Sukan. Tiada peningkatan secara keseluruhan. Pingat emas bola sepak dalam Sukan Sea bukan ukuran. Sukan Sea hanyalah sukan peringkat Asia Tenggara yang tarafnya tinggi sedikit daripada Piala Malaysia sahaja. Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini, tindakan penonton pasukan yang kalah tidak menunjukkan kemajuan.
Hiburan. Masih tetap sama. Lagu yang sedap didengar lagu dari Indonesia juga. Kehilangan beberapa karyawan seperti Ustaz Asri Rabbani dan pengarah filem Yasmin Ahmad turut memberi kesan. Namun kehadiran pengarah luar seperti Khabir Bhatia, dengan hasil karya yang kreatif, sepatutnya dialu-alukan. Akademi Fantasia semakin pudar. Sehati Berdansa kering idea. Masyarakat masih mengangkat hiburan ringan.
Bahasa Melayu. Tetap malang. Walaupun PPSMI telah dimansuhkan tetapi terpaksa menunggu dua tahun lagi. Itu pun setelah diasak dengan memorandum dan pelbagai forum. Kini, ada kecenderungan meletakkan bahasa asing sebagai bahasa yang sama penting dengan bahasa Melayu di negara ini.
Kesusasteraan. Sederhana. Tiada program yang besar, mungkin kerana sokongan kewangan yang kurang. GAPENA, sebagai badan penulis yang terbesar telah berpindah rumah, dan semakin sunyi. Tahun ini negara mengiktiraf seorang lagi Sasterawan Negara. DBP mempunyai Ketua Pengarah yang baru yang sebelum ini menguasai pentadbiran sebuah badan yang mengendali peperiksaan. Teks baru untuk komponen sastera (Komsas) akan mula digunakan 2010 bagi tingkatan satu. Kemunculan penulis baru banyak di blog. Golongan tertentu semakin menjadi-jadi mempromosi kelompok mereka.
Teknologi. Pesat berkembang dalam bentuk perisian dan peralatan. Namun kadar bayaran dan bil tetap sama. Penggunaan jalur lebar dan tanpa wayar sangat memuncak.
Pembangunan. Banyak bangunan baru. Pembangunan desa diberi perhatian walaupun geraknya perlahan. Dalam waktu yang sama, semakin bertambah bangunan runtuh dan diruntuhkan.
Penerbitan. Agak rancak walaupun banyak atas dorongan komersial dan keuntungan. Satu kemajuan yang sihat. Kejayaan beberapa syarikat bumiputera seharusnya dipuji. Namun begitu, budaya membaca masih sederhana, malahan jika dilihat kajian tentang budaya membaca amat menyedihkan.
Pendidikan. Sudah masuk fasa terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hasilnya masih kabur. Manakala pengajian tinggi pula semakin bertambah universiti awam, swasta, kolej universiti dan kolej swasta. Cuma, budaya pendidikan tinggi belum meresapi sepenuhnya dalam jiwa siswa-siswi.
Seni dan kebudayaan. Gagasan Satu Malaysia sedikit sebanyak mengganggu identiti dan menjadi cacamerba hinggakan pudar keaslian dan jatidiri. Program seni di media terlalu sedikit. Hasil seni seperti lukisan dan fotografi yang baik ada tetapi kurang disebarluaskan.
Kesihatan. Kemunculan selesema babi atau influenza H1N1 membimbangkan masyarakat hingga ada yang dikuarantin. Iklan basuh tangan di televisyen dan di mana-mana seolah-olah sebelum ini orang ramai tidak pandai membasuh tangan. Namun begitu, tiada pula iklan tentang pemakanan yang sihat dan latihan pakar perubatan serta usaha merapatkan nisbah pegawai perubatan dengan pesakit digiatkan.
Kemelut Antarabangsa. Kemunculan Obama di Amerika melebihi populariti daripada sumbangan. Bumi Palestin diasak lagi dan semakin menghibakan. Afghanistan tetap serupa.
Demikian, sebagai renungan.

Selamat Pengantin Baru


Selamat pengantin baru buat adik ipar, Saiful & Aisyah. Majlis pernikahan di Kota Bharu 11 Disember 2009 dan kenduri pada keesokannya kemudian majlis di Alor Setar pada 19 Disember 2009. Semoga bahagia berkekalan sepanjang hayat.

Main Kamera

Wednesday, December 16, 2009

Tentang Teater Natrah


Teater Natrah: Antara Garapan Kreatif Imaginatif dan Karya Biografi
Oleh ARIFF MOHAMAD
Mengangkat peristiwa sejarah dalam karya merupakan komitmen yang berat. Namun begitu, ada kelonggaran diberi pada penghasilan teks pengkaryaan jika sesuatu peristiwa sejarah itu dihasilkan dalam bentuk kreatif imaginatif. Usaha ini telah banyak dilakukan sambil menyerahkan pentafsiran makna dan pengajaran kepada khalayak sama ada pembaca ataupun penonton. Sebagai sebuah karya yang berjaya, pancaran kebijaksanaan pemikiran yang dibawa dan sentuhan seni daripada berbagai-bagai sudut seharusnya dapat dikesani.
Teater Natrah diarahkan oleh Erma Fatima dipentaskan dengan gemilangnya di Istana Budaya dari 30 November hingga 9 Disember kemudian disambung hingga 13 Disember 2009 membuktikan teater merupakan medium hiburan yang popular dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi kisah Natrah merupakan kisah yang sangat menyentuh serta punya sejarah yang besar dan penting bagi negara ini, Singapura dan Indonesia juga di samping tentunya melibatkan negara Belanda dan Britain yang mentadbir Tanah Melayu ketika itu. Natrah adalah sebuah ikon yang punya keistimewaan sendiri dalam konteks sejarah masyarakat Malaysia, Indonesia dan Singapura dan sebagai kenangan hidup bagi masyarakat yang pernah mengenali Natrah dan manusia-manusia yang rapat dengannya di Chukai, Terengganu dan Singapura.
Maria Hertogh atau Natrah (dalam panggilan bahasa Melayu) atau Nadra (panggilan bahasa Inggeris) ialah anak angkat Che Aminah Mohamad, seorang wanita Melayu peniaga emas yang pernah tinggal di Tjimahi, Pulau Jawa. Keadaan perang dan ancaman tentera Jepun telah menyebabkan keluarga Natrah (ayahnya seorang tentera Belanda) terancam. Apabila ayahnya ditahan oleh tentera Jepun, kesukaran hidup telah menyebabkan nenek Natrah (sahabat dan jiran Che Aminah) menyerahkan Natrah untuk dijaga. Kemudian, Natrah dibawa pulang ke Chukai, Terengganu hingga seorang pegawai Inggeris menyuruh Natrah dibawa ke Singapura. Dari situ, bermulalah konflik yang menghiris ini.
Seseorang pengkarya wajar memilih dua kategori pengkaryaan peristiwa sejarah sama ada dalam bentuk kreatif imaginatif atau bentuk karya biografi. Kisah Natrah boleh dilihat daripada berbagai-bagai-bagai sudut dan keupayaan garapan bergantung pada pengkarya. Isa Kamari pernah menghasilkan novel Atas Nama Cinta yang merupakan karya kreatif imaginatif yang sederhana namun berjaya dan mempunyai sentuhan sendiri. Fatini Yaacob, pengkaji kisah hidup Natrah telah menulis kisah hidup Natrah dalam bentuk biografi bermula dalam majalah Dewan Masyarakat Februari 1989 hingga Mei 1989. Kini, tulisan lengkap tentang Natrah telah dibukukan dan diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia.
Peristiwa yang berlaku hampir 60 tahun dahulu seharusnya dilihat daripada perspektif yang tersendiri dan penuh sedar. Masyarakat Islam tentunya amat tersentuh apabila mengetahui Natrah menghabiskan hidupnya dalam agama Kristian seperti yang digambar dalam teater ini. Perubahan agama ini tidak pula dipastikan secara kerelaan Natrah sendiri (yang ketika itu bersia 13 tahun) ataupun dipaksa sebaik sahaja dibawa ke Girls Home di Singapura dan dijaga oleh Mother St. Columbia.
Sisi kemanusiaan dalam peristiwa benar mahupun sebagai teks kreatif, selalunya diberi perhatian sebagai unsur didaktif. Terlalu banyak manusia yang memberikan nilai kemanusiaan yang cukup tinggi dalam kisah Natrah ini. Tentunya Che Aminah dan Mansor Adabi dan manusia-manusia lain seperti kawan-kawan baik Che Aminah, peguam Ahmad Ibrahim, M.A Majid dan juga nasionalis Sardon Jubir dan Burhanuddin Helmi. Dalam teater ini watak-watak dipaparkan hanya sebagai watak sampingan (kecuali Che Aminah) dan paparan tentang perjuangan dan semangat nasionalisme mereka hanya pada aras yang dasar semata-mata. Masyarakat di Chukai pada awal kehadiran Natrah di Kampung Air Putih juga digambar secara bersuka-suka dan tari-menari. Malahan, watak Kamariah, seorang lagi anak angkat Che Aminah yang merupakan seorang anak Jepun langsung tidak dipaparkan.
Pemilihan karya dalam bentuk biografi mempunyai risiko tentang fakta dan kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang sebenar pada watak. Dalam teater ini, dikesani unsur biografi ditekankan namun begitu kreatif imaginatif yang diharapkan di dalamnya menjadikan karya ini berterabur dan dipersoalkan. Persoalan di sini bukanlah tentang hidup Natrah itu sendiri kerana peristiwa sebenar telah lama berlaku. Masyarakat hari ini hanya melihat dan menjadikannya pengajaran dalam keadaan tidak boleh berbuat apa-apa tindakan daripada segi undang-undang syariat mahupun undang-undang sivil. Semuanya telah terjadi dan tidak perlu menyalahkan sesiapa lagi. Semua peristiwa itu hanyalah pengajaran agar masyarakat sedar bahawa Natrah pernah wujud bukan sahaja di pentas sandiwara tapi dalam realiti.
Monolog Natrah ketika usia tua pada awal dan akhir teater ini terasa mengganggu keseluruhan kisah Natrah. Sesiapapun tidak mengetahui ajal maut dan agama apa akhirnya seseorang manusia. Ini soal akidah dan rahmat yang Maha Kuasa. Dalam teater ini dipaparkan kebersalahan rasa dalam diri Natrah. Wajarkah begitu sedangkan Natrah terhantar dalam kemelut ini bukan atas kehendaknya. Tangan-tangan penjajah yang begitu membenci agama Islam dan membodohkan masyarakat yang dijajahnya yang menyebabnya terjadi demikian. Meletakkan patung di pentas, imej gereja dan salib yang besar membuatkan penonton yang beragama Islam berasa tidak selesa sambil menanyakan apa perlunya itu digambarkan. Sebagai persepsi dirasakan penting dan besarnya agama Kristian itu bagi Natrah daripada agama Islam yang diletakkan sebagai set pada monolog akhirnya.
Kesudahan yang malang dan gagal bagi pejuang Melayu, bagi agama Islam cukup ketara dalam teater yang dihasilkan oleh karyawan Melayu dan beragama Islam ini. Realiti adalah realiti namun subjek yang dipaparkan tidak kreatif dan tidak mengambil kira sensitiviti. Gambaran pejuang-pejuang yang bersorak di luar mahkamah sambil melaungkan ‘Natrah Islam’ dilihat terlalu bersahaja bagi sebuah perjuangan agama yang sebenar. Selain itu, tragedi rusuhan di Singapura 1950 menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 orang tercedera seharusnya diberi perhatian lebih khusus tentang perjuangan orang-orang Melayu ketika itu. Kesungguhan M.A Majid mengutip derma mengelilingi kota dan kampung juga tidak dipaparkan.
Keberkesanan teater ini adalah watak Che Aminah (Umie Aida) dan watak Adeline (Samantha Schubert). Kedua-dua berperanan dengan berkesan. Walaupun dalam keadaan sebenar Che Aminah tidak bercakap seperti Umie Aida, dapat dirasakan jiwa watak yang luruh dengan kekecewaan tindakan undang-undang yang dikuasai penjajah. Kasih sayang yang tinggi telah dikorbankan. Begitu juga dengan nilai agama yang hanya dapat diserahkan pada Allah Maha Pencipta. Dari sisi Adeline pula, kesilapannya dapat ditebus kerana kuasa kolonial. Dia dapat membawa pulang Natrah namun dalam realiti, dia gagal menjadikan Natrah sebagai anak yang patuh dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadanya.
Watak Natrah (Maya Karin) digambarkan periang dan gemar bermain. Tidak pula digambarkan tentang minatnya terhadap Islam. Dalam keadaan tertentu, watak ini berjaya diperanankan dengan baik terutama pada babak-babak klimaks. Dalam suasana romantik pula, watak Natrah dilihat berlebih-lebih sedangkan ketika perkahwinan itu dia berusia 13 tahun. Watak Mansor Adabi (Remy Ishak) pula, lebih banyak dipaparkan gelora cinta dan kecewanya kehilangan Natrah tetapi tidak pada agama dan tanah airnya.
Alunan muzik dalam teater ini sama seperti teater muzikal yang lain. Unsur tari-menari masyarakat kampung dan suasana Natrah berangkat ke Singapura seperti sebuah filem yang penuh dengan kelunakan lagu mendayu dan visual imaginasi. Sesekali lagu-lagu mirip irama Bollywood yang menggunakan instrumen moden yang menenggelamkan suasana tahun 1950-an. Kelincahan para penari, termasuk para penari di gereja dengan memakai salib membuatkan sesetengah penonton mengerutkan kening.
Demikianlah teater Natrah daripada sisi biografi dan kreatif imaginatif yang bercampur-campur. Ada kekuatan daripada sisi-sisi tertentu dan ada garapan yang berterabur dan tidak sesuai. Natrah adalah kisah penting dalam masyarakat kita. Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada Natrah, bukan kisah cinta semata-mata.

Tuesday, December 15, 2009

Sedang Bercuti

Blog ini berehat seketika. Dalam kata lain sedang bercuti. Dalam tempoh dua minggu yang berlalu, saya terlibat dengan Debat Piala DiRaja di Universiti Malaya. Dapat demam dua hari kemudian terlibat dengan Majlis Peperiksaan Malaysia pula. Sambung dengan majlis pernikahan adik ipar di Kota Bharu dan Ahad depan majlis di Alor Setar pula.
"Saya Sudah Menonton Natrah", sebagai jawapan kepada post blog sebelum ini, "Teringin Menonton Natrah". Saya sedang menulis ulasannya.

Tuesday, December 01, 2009

Teringin Menonton Natrah


Kalau sempat, ingin menonton teater Natrah arahan Erma Fatima. Bukan kerana Umie Aida, atau Maya Karin atau Remy Ishak. Tapi mengingatkan peguam Allahyarham Ahmad Ibrahim, Allahyarham Mansor Adabi dan tentunya Allahyarhamah Che Aminah. Mereka telah meninggalkan kisah, catatan dan dokumentasi sejarah bangsa dan negara daripada dimensi yang menghiris. Persoalan kemanusiaan satu hal yang perlu ditafsir dan jadikan pengajaran sambil nilai patriotisme dan lebih daripada itu tentang kesucian agama Islam dan kekuatan untuk mempertahankannya.
Teater Natrah telah bermula 30 November lalu dan berakhir pada 9 Disember ini. Teater ini memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belanda Bertha Heartogh. Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah Mohamad. Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik percintaan antara Natrah dan Mansoor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Pada 9 Julai 2009, beliau meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia.

Menggeledah Puisi


Menggeledah puisi, satu kerja sendiri. Asing dan sunyi. Banyak puisi yang tidak disiapkan, tertangguh. Banyak yang belum sempurna dan memuaskan hati, dan banyak yang hanya ada sebaris kata sahaja.
Saya mula menulis puisi ketika Tingkatan 3. Dalam tahun yang sama juga, pertama kali ke pentas untuk mendeklamasikan puisi. Puisi pertama saya bertajuk “…”, maaf terlupa. Dan tidak tahu di mana puisi itu sekarang. Puisi yang pertama saya deklamasikan bertajuk “Intelektual” karya Muhammad Hj Salleh. Saya menyertai pertandingan selepas tamat SRP (PMR sekarang). Dan saya menjadi johan, mendapat hadiah kotak pensel.
Sejak itu saya menulis puisi dan kadang-kadang meninggalkannya berhari-hari, kadang-kadang berminggu-minggu dan berbulan-bulan. Sedar tidak sedar, sudah jauh juga perjalanan saya dalam genre ini. Saya pernah menceritakan serba sedikit tentang proses kreatif dan pengalaman puisi ini dalam slot Pengakuan Penyair anjuran PENA dan Dewan Sastera di Rumah PENA pada Januari 2006.
Kumpulan puisi saya Bebaskan Ekspresi sampai sekarang masih belum habis terjual. Dan sesungguhnya saya tidak mahu menghabiskannya kerana mungkin satu masa nanti, saya akan menghadiahkannya kepada pihak tertentu sebagai khazanah ataupun sebagai kenang-kenangan sahaja.
Alhamdulillah, saya berupaya menggulati genre lain. Novel, cerpen juga drama. Namun puisi tetap muncul dalam fikiran dan sanubari, dan sesekali mengganggu untuk ditulis.
Kadangkala rasa malas untuk berpuisi dan yang sering berlaku adalah malasnya saya untuk menghantar ke penerbitan. Ini sebenarnya seperti penyakit.
Baru-baru ini, saya mengumpul kembali puisi-puisi yang saya hasilkan selepas Bebaskan Ekspresi (tahun 2003). Selain itu ada dua buah buku (yang tidak diterbitkan) puisi-puisi awal saya yang jumlahnya hampir 100 buah yang dijilid kemas. Puisi-puisi itu berlegar tentang diri, persahabatan, keluarga, kasih sayang, alam, dan masyarakat sekeleliling daripada perspektif yang sangat remaja. Semuanya dalam folder di komputer, helaian-helaian kertas nota (note pad), kertas peperiksaan, kertas buku sekolah dan ada juga pada kertas tisu yang ditulis kembali. Saya juga mempunyai sebuah buku yang hanya digunakan untuk menulis puisi satu ketika dahulu. Ada juga yang bertaip menggunakan mesin taip manual yang cukup bernostalgia.
Dan tentunya, apabila membaca puisi sendiri, ada rasa lucu, ada rasa malu, ada rasa yakin dengan tidak, dan ada sedikit rasa bangga.