Monday, July 14, 2008

Perlumbaan Arnab dan Kura-kura III


(Judul asal cerita ini adalah “Perlumbaan Arnab dan Kura-kura, Monyet Jadi Hakimnya” namun diubah atas permintaan penyampai cerita ini. Menurut pencerita, ini adalah sebuah cerita klasik yang dimodenkan namun banyak juga kelainannya dengan versi asal, kemudian ditokok tambah dengan peringatan tidak ada kena mengena dengan sesiapapun yang masih hidup atau yang masih belum mahu meninggalkan ‘dunia’nya. Sketsa ini hanya ditujukan kepada arnab, kura-kura dan monyet, sambil teringat cerita rakyat yang banyak terdapat di perpustakaan selain karya Djenar Maesa Ayu, Mereka Bilang Monyet sambil teringat juga karya George Orwell, Animal Farm)

Di pinggir hutan yang aman damai, sekumpulan haiwan hidup aman damai namun bijak berpolitik seperti biasa. Dalam kumpulan haiwan itu, ada kebijaksanaannya maka dilantiklah ketua, penolong ketua dan jawatan-jawatan penting yang miripnya seperti organisasi sebuah Negara. Jika dalam kumpulan itu ada yang tidak tahu perihal dan hal ehwal Negara, maka disuruhlah baca buku Pengajian Am tingkatan enam sebagai asas pengetahuan yang tidak banyak tahu itu. Jika ada yang pandai sedikit disuruh baca buku yang ditulis oleh penulis dalam kalangan mereka yang bernama Misahveli.

Haiwan yang popular dan hebat dalam kumpulan itu adalah arnab. Arnab bukan sahaja pantas berlari namun bijak berstrategi. Arnab mulanya adalah haiwan ‘biasa-biasa’ namun jadi hebat kerana dia pernah berlari merentasi Sungai Themes melalui jambatan yang boleh terbelah dua itu. Kerana pengalaman hebat arnab itu maka arnab amat dikagumi. Arnab pulang sebagai hero terus diberi gelaran dan jawatan tinggi. Hinggalah jawatan terkininya sebagai penolong ketua. (Macam penolong ketua kelas lebih kurang, kata pencerita)

Satu lagi haiwan yang hebat ialah kura-kura. Kura-kura ini pendiam dan perahsia namun ada kelemahan yang ketara iaitu bergerak terlalu lambat dan kadang-kadang tertidur dalam perjalanannya. Walaupun begitu, kura-kura pernah diiktiraf sebagai haiwan yang bijak mengatur stategi. Dalam peperangan mulut antara kumpulan haiwan pinggir hutan yang didudukinya dengan haiwan seberang laut baru-baru ini, kura-kura inilah perancang strategi agar mereka menang. Caranya mudah, buat tidak tahu saja apabila pihak lawan menyerang. Lama-lama pihak lawan bosan dan membatalkan hasrat untuk menyerang. Maka kura-kura mengisytiharkan menang dengan cara itu. Kumpulannya bergembira dan dengan itu kura-kura juga dilantik jawatan penolong ketua dalam kumpulan itu.

Tiba satu musim peralihan. (Iyalah padi pun ada musim, minyak naik pun ada musim, kata pencerita). Musim yang ditunggu-tunggu sebenarnya adalah pengumuman ketua akan melepaskan jawatan. Namun begitu, ketua tidak pasti mahu siapa yang jadi penggantinya kerana mempunyai dua penolong yang sama hebat iaitu arnab dan kura-kura. Mantan ketua menyerahkan keputusan kepada rakyat (dalam cerita ini bermaksud haiwan-haiwan dalam kumpulan itu) untuk memilih siapa ketua yang mereka mahu antara kedua-dua haiwan popular itu. Ada juga suara dalam kumpulan itu mahu haiwan yang lain jadi ketua. Ada yang tidak setuju arnab atau kura-kura jadi ketua maka ada cadangan mahukan burung belatuk jadi ketua sebab dia pandai cari makan dan pandai mematuk. Ada juga yang mahukan katak kerana boleh ke sana ke mari dengan melompat suka hati dialah hendak ke mana. Ada juga yang mahukan gajah tua, walaupun dah nyanyuk dan sering sakit tapi boleh juga jadi ketua kerana tidak lama selepas itu mesti akan ada pemilihan baru lagi. Ada juga yang mahu monyet jadi ketua kerana monyet juga bijak tapi monyet sendiri awal-awal menyatakan tidak mahu bertanding. Begitu jugalah dengan kambing yang tidak mahu dicalonkan tapi berjanji akan buat kacau dengan mengembek tidak berhenti-henti dalam persidangan bulanan kumpulan haiwan nanti jika ada usul yang tidak disetujui.

Kumpulan haiwan akhirnya mengikut prosedur dan rukun hidup yang mereka tetapkan berlandaskan buku yang dikarang oleh ketua haiwan yang terdahulu. Dalam buku itu menyatakan ikutlah peraturan iaitu ikut tradisi penolonglah yang akan jadi ketua. Oleh kerana ada dua penolong maka undian akan dibuat. Tanpa hari penamaan calon, memang sah dua calon ini bertanding. Namun atas permintaan penyokong-penyokong kuat arnab (yang kuat bodek tapi tak tak apa benda, kata pencerita), mereka mahu satu perlumbaan diadakan antara arnab dengan kura-kura. Undian tidak perlu kerana ada dalam kalangan haiwan ada yang malas pergi mengundi terutama cacing dan ular yang tidak boleh memegang pensel dengan betul dan tidak boleh pula mengangkat tangan (Memanglah cacing tiada tangan, kata pencerita).

Cadangan itu dibantah keras oleh penyokong kura-kura kerana apabila diajak lumba lari tidak masuk akal kura-kura boleh kalahkan arnab. Kura-kura terpaksa mencari ketenangan mengambil cuti tahunannya selama beberapa hari berehat ke luar negara (sempat juga membeli-belah menggunakan elaunnya, kata pencerita). Sebaik sahaja pulang, kura-kura membuat sidang akhbar mengatakan dia bersedia untuk berlumba dengan arnab. Antara penyokongnya yang paling kecewa dengan keputusan itu ialah si langau. Langau merasakan peluang untuk kura-kura menjadi ketua amat tipis dan secara peribadi peluangnya menjadi ketua haiwan muda akan lebur. Maka dia mengambil keputusan keluar dari kumpulan penyokong kura-kura dan berbaik-baik dengan arnab. Arnab gembira menerimanya dengan beberapa syarat (Kata pencerita, syarat itu mirip Perjanjian Pangkor ketiga).

Hari perlumbaan pun tiba. Jeng jeng jeng! (ditambah oleh pencerita agar ada unsur saspen dan untuk menyedapkan cerita)

Alamak pihak penganjur perlumbaan terlupa siapa hakim yang akan mengadili pertandingan ini. Penyokong arnab mahukan bangau jadi hakim kerana kebolehannya berkata-kata dan mencipta lirik lagunya sendiri, Bangau oh Bangau. Penyokong kura-kura mahukan sang kelembai kerana jika ada yang melanggar peraturan akan disumpah menjadi batu. Namun mantan ketua masuk campur menyelesaikan pertikaian dengan mengatakan bangau tidak boleh menjadi ketua kerana trek lumba di padang dan keliling hutan, bangau tidak boleh lama-lama di darat nanti kakinya luka dan retak. (Keh keh keh, ketika ini pencerita sendiri ketawa). Sang kelembai pula tidak layak jadi hakim kerana bukan dalam kalangan haiwan sebaliknya dari kumpulan mambang ke hantu ke entah apa entah. Maka haiwan-haiwan pun mahu tahu siapa jadi ketua. Siapa? Siapa? Mereka mahu mantan ketua buat keputusan.

Monyet. Mantan ketua mahu monyet jadi hakim. Rasionalnya monyet boleh memantau pergerakan arnab dan kura-kura ketika sedang berlumba dari atas pokok, di padang dan di pinggir kampung kerana muka monyet hampir sama dengan muka penduduk kampung berhampiran. (Sebenarnya kenyataan mantan ketua ini tidak disetujui, ada ke patut kata muka penduduk kampung macam monyet, kata pencerita). Oleh kerana hari semakin tinggi, untuk menyegerakan perlumbaan maka semua haiwan setuju dengan cadangan mantan ketua untuk melantik monyet jadi hakim. Maka monyet pun berbanggalah lalu bersiap serba serbi dengan dokumen dan pakaian, dengan wisel dan stopwatchnya. Bangau yang tidak puas hati kerana tidak dipilih jadi ketua tadi sempat menyindir monyet. Katanya… (eh, ada dialog pula cerita ini, kata pencerita). Katanya, “Amboi-amboi bukan main siap sedia engkau ya. Kalau pasal nak lagakan orang…(lagakan haiwan sebenarnya) bukan main lagi, dulu pasal tanah kita nak diberi pada Pak Singa tu kau buat tak tau saja ya. Monyet buat tak kisah lalu menjawab, “Suka hati akulah. Engkau sibuk tu pasal apa. Kau nyanyi sajalah lagu kau tu… bangau oh bangau mengapa engkau kurus…”

Bangau memendam rasa. Tidak mengapa, pujuk hatinya nanti aku ciptakan sebuah lagu bertajuk Monyet Oh Monyet. (Daripada kata-kata pencerita, lagu Monyet oh Monyet akan dirakamkan tidak lama lagi dan akan menyertai Juara Lagu-Lagu hujung tahun ini. Antara lirik lagu itu berbunyi, “monyet oh monyet kenapa engkau boroi, macam mana aku tak boroi, selalu makan free, selalu makan free”)

Pertandingan pun bermula. Gegak gempita suara penyokong masing-masing. Orang-orang kampung yang tertidur sampai pukul 11 pagi pun terjaga sambil tertanya-tanya apakah halnya bising-bising di pinggir hutan itu. Dari awal perlumbaan arnab memecut laju tapi terasa lenguh setelah berlari hampir dua kilometer kerana tidak melalukan kelonggaran dan regangan (warm up) sebelum berlari. Namun dalam kepalanya cukup yakin dia akan menang. Dalam perlumbaan itu juga, arnab terserempak dengan arnab betina yang sedang mencuri lobak merah di sebuah kebun. Arnab mengenyit dan berazam dalam hati bahawa arnab betina itu kemungkinan besar dan berpotensi jadi dayangnya apabila dia menjadi ketua nanti. Arnab pun menegur, tegurannya dibalas. Maka bermulalah episod cinta pandang pertama seperti drama swasta dalam televisyen.

Kura-kura juga yang resah. Berlambat-lambat kerana memang tidak mampu untuk memecut. Penyokongnya pun semacam putus asa. Kura-kura tetap bersabar dan yakin akan teori bahawa arnab akan tidur dalam perlumbaan itu nanti. Atau entah-entah kura-kura sendiri yang tertidur.

Arnab asyik berbual-bual dengan arnab betina yang manis itu. (Romantik juga arnab ini, kata pencerita). Mereka bercerita itu ini, usik-mengusik, bergurau-senda dan makan lobak bersama-sama. Tidak tersedar masa terus berlalu hingga kura-kura memotongnya.

Kura-kura hampir ke garisan penamat. Arnab baru tersedar. Dicampaknya lobak yang masih belum habis lalu terus meluru menuju ke garisan penamat. Tapi sayang semuanya sudah terlambat (seperti lagu 80an, kata pencerita). Kura-kura mencecah garisan penamat diikuti arnab dua saat kemudian.

Penyokong kura-kura melompat riang. Sah, kura-kura menang. Kura-kura akan jadi ketua. Arnab tidak puas hati. Apa kata hakim?

Monyet melihat rekod dan bukti yang dikumpulnya. Tiada juri dan pencatat masa kerana segala tugas itu diambil oleh monyet sendiri. Monyet mengisytiharkan kura-kura menang dalam perlumbaan itu, namun monyet mengumumkan dirinya sendiri akan jadi ketua kumpulan haiwan di situ. Semua terdiam. Semua tercengang. Semua tidak puas hati. Semua bising-bising. Kura-kura yang tidak sangka menang dalam perlumbaan tadi tidak puas hati. Walau apapun dialah yang sepatutnya jadi ketua, bukan arnab sebab arnab telah kalah dalam perlumbaan. Dan tentu sekali bukan monyet sebab monyet tidak berlumba pun. Arnab lebih-lebih lagi tidak puas hati selain menyesali diri cuai dalam perlumbaan. Monyet menaiki takhta dan mengisytihar dirinya sebagai ketua.

Itulah ceritanya. Fikirkan!

* Menurut pencerita, mungkin kisah ini ada sambungannya tapi entahlah saya sendiri sudah lama tidak bertemu pencerita Kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada Pencerita yang khabarnya akan membuka blognya sendiri tidak lama lagi.

Monday, July 07, 2008

Buka Semester

Hari ini mula semester baharu. Selamat datang yang lama dan baru.
Nasihat percuma saya:
"Jadilah pemburu, bukan pengail"
dan
"Carilah sahabat, bukan seteru"
lagi,
"Jadilah pencanai, bukan pencacai."

dan lagi satu nasihat,
"Penuhkan bilik dengan buku, bukan dengan bahan fotostat."

Selamat Belajar!

Tentang Logika

Saya pernah mendengar lagu, "Tak Ada Logika", jika tidak silap Agnes Monica yang menyanyikannya. Saya teringat cerpen saya, "Berikan Waktu pada Logika" tahun lepas. Cerpen itu sedikit sebanyak membawa kembara suasana politik tahun 1998. Dan apa yang kita lihat kembara itu masih membara, hingga ke hari ini.
Timbul berita/cerita konspirasi lagi. Ini bab orang-orang politik, kata beberapa orang teman.
Ini cerita kita sebenarnya, kata beberapa teman yang lain, dalam suasana perbualan yang lain.
Saya: seperti 10 tahun dulu juga, membaca, berdoa dan memikir tentang ini...

Monday, June 16, 2008

Tentang Bahasa dan Jati Diri

Pada 12 Jun lalu, dalam satu majlis yang amat sederhana, dinamakan Persidangan Meja Bulat 2, Prof. Emeritius Dr. Abdullah Hassan sebagai penyampai ucap utama memperkata tajuk “Bahasa Sebagai Wahana Jati Diri Malaysia dalam Dunia Global”. Ucap utama ini dibicara dan diulas oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling manakala majlis dipengerusi oleh Prof. Dr. Mohd Yusof Hassan. Tiga tokoh yang punya wibawa besar dalam bidang masing-masing (bahasa,antropologi,sastera) berada di satu meja.

Tajuk ini membiacarakan tentang jati diri Melayu yang berkait dengan penggunaan bahasa seharian ataupun dalam hal rasmi. Melayu hari ini tidak seperti Melayu 50 tahun atau 100 tahun dahulu. Kenyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal kerana zaman sentiasa bergerak. Bahasa juga turut mengalami perubahan denmgan cepat. Namun soal jati diri sepatutnya perlu diambil perhatian. Ketika ini, banyak sekali orang Melayu gemar berbahasa Inggeris dalam perbualan sehari-hari ataupun sekerat Melayu sekerat Inggeris termasuklah dalam televisyen dan bilik-bilik kuliah. Dari segi keterampilan berbahasa, individu seperti ini adalah individu yang gagal dan tiada jati diri, tidak suka pada bahasanya dan tidak berbangga dengan bangsanya.

Prof. Abdullah mengungkap persoalan:
-Kita sering mempersoalkan jati diri kita sekarang?
-Kita dapat mencuba mencari jawapan daripada pemerhatian terhadap lakuan sendiri.
-Kemudian melihat apa yang mendasari lakuan tersebut.
-Lakuan adalah berdasarkan nilai.
-Dan nilai itu adalah pegangan masyarakat kita yang diungapkan melalui bahasa.

Teori Himpunan Memori Bangsa yang diutarakan oleh Prof Abdullah relevan dari dimensi sekarang dengan bantuan kajian dan konsep yang dibawa oleh Ibnu Khaldun (Minda Terjajah), Hipotesis Sapir-Wolf, Hipotesis Malek Bennabi (Minda Tertawan), Bahasa Ekspresif dan Muatan Rohaniah digunakan bagi menjelaskan proses fenomena ini.

Dalam kajian ini turut melihat persoalan nilai dan tanggapan masyarakat dan latar budaya. Contohnya,
-Warna hijau Melayu bukan hijau dalam Inggeris
-Panggilan keluarga: uncle bukan Pak Cik
-Panggilan You, tidak sama dengan Encik atau Tuan, akibat merendahkan orang.
-Apabila berurusan: mesti pandang muka .. Padahal dalam budaya Melayu memandang muka adalah menentang

Contoh Nilai Melayu
-Apabila menegur orang – sebut namanya:
-Bukan semua boleh disebut nama dalam bahasa Melayu
-Hanya orang sama taraf dan orang di bawah
-Orang yang dihormati tidak disebut namanya

Bahasa merakamkan peristiwa, cerita, konsep-konsep, idea-idea, norma, peraturan, nilai-nilai dll. sesuatu bangsa. Bahasa Melayu adalah wahana bagi menyimpan dan memindahkan himpunan memori Melayu kepada generasi berikut

Untuk menuju ke arah globalisasi, harapnya bahasa Melayu tidak terhakis. Sebagai contoh, Jepun, Perancis, Korea, China, Denmark itu sebuah bangsa yang sudah global. Masih kekal Jepun, Korea, Cina, Perancis, Danish … kerana bahasanya.

Generasi baru tidak lagi mendapat himpunan memori asal atau mendapat nilai yang dibawa oleh bahasa Inggeris dan mengubah lakuan. Manakala Prof Zainal antara lain menyatakan, bahasa Inggeris penting sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Namun asasnya, bahasa ibunda perlu mantap dan dipelihara.

Makan Bola, Tidur Bola,...

Sudah 2 minggu Euro 08 berlangsung. Pasukan kegemaran saya, England, tidak layak menyertai. Saya menduga Jerman akan menang tapi rekodnya dalam dua perlawanan sangat mengecewakan. Perancis pun nampaknya bakal gulung tikar. Itali hampir sama. Tinggal pasukan yang underdog seperti Belanda dan Portugal. Mungkin Belanda akan menjulang Euro 08 tahun ini.

Tuesday, June 10, 2008

Minyak Naik atau Naik Minyak

(Harga) minyak naik lagi!
Satu Malaysia marah-marah tentang harga minyak. Di mana-mana pun. Kenaikan yang terbaru ini terlalu tinggi. Pak Lias di kampung yang berbasikal ke sana ke maripun marah-marah. Katanya tak patut sangat. Pada hari orang beratur mengisi bahan api sebelum naik jam 12 malam, Pak Lias marah berapi-api. Dia membaca kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan serba-serbi. Semua benda akan naik, katanya. Beras, ikan , tepung, sayur, susu, minyak masak, semua, malah kicap dan sabun mandi pun. Itulah yang Pak Lias marah sangat.
Katanya lagi, mungkin anaknya yang balik sebulan sekali dari Bandar besar tak jadi balik selalu sebab minyak dah mahal. Anaknya mungkin akan balik setahun sekali sahaja. Haji Lias kesal, sedih dan termenung lama. Macam-macam dalam kepalanya.
Haji Lias melihat poster pilihanraya di simpang jalan yang masih belum dibuang. Haji Lias tengok lama-lama poster itu hingga air matanya berlinang.
Dia ditegur seseorang, “Kenapa Pak Lias tengok lama-lama poster itu…?”
Pak Lias menjawab, “Aku menyesal.”
“Menyesal apa Pak Lias?”
Pak Lias pun tengok Astro, teringat Nabil. Pak Lias pun kata, “Lu fikirlah sendiri!”

Tuesday, May 27, 2008

Tentang Kumpulan Karya

Apabila Lutfi Ishak bercakap tentang hasratnya untuk menghasilkan kumpulan cerpen, saya rasa tertarik juga untuk mengulas. Lutfi cuma belum mempunyai kumpulan karya yang dibukukan tapi banyak juga antologi karyanya yang dibukukan seperti antologi Hadiah Sastera Utusan, Angkatan Sasterawan 2005, dll. Lutfi agak merendah diri tidak mahu menyenaraikan antologi karya yang memuatkan karya beliau. Dalam blognya, pengenalan diri, hanya mengatakan : ”lelaki ini orang kedah. kini menetap di klang. bercita-cita menjadi penulis sepenuh masa. suka baca buku, tengok filem, dengar muzik, berangan-angan, dan jalan-jalan cari mamam. pernah terbitkan antologi puisi bersama-sama jim dan anjan. “ Selain kawan-kawan rapat Lutfi, tiada orang tahupun wujudnya buku bersama-sama Jimadie Shah dan Anjan Ahzana bertajuk M…S…Amerika ini.

Saya pernah berbual-bual dengan Lutfi tentang ini. Saya katakan perlu usahakan juga untuk hasilkan buku sendiri. Kumpulan puisi saya, Bebaskan Ekspresi tidak mendapat tajaan dari sesiapa. Wang yang saya keluarkan untuk menerbitkannya adalah dari titik peluh sendiri. Mahu tahu berapa kos penerbitan, pergi lah tanya syarikat percetakan. Selepas itu jangan fikirkan untung. Siapa mahu beli buku puisi, orang lebih suka makan ayam di restoran KFC.


Keterangan gambar: Lutfi juga boleh menyanyi lagu Suriram...

Boleh dikatakan semua penulis muda mempunyai kumpulan karya yang dibukukan (cerpen atau puisi) dan ada yang mempunyai novel sendiri. Saya setuju dengan beberapa pendapat mengatakan setiap penulis harus ada ‘buku’nya sendiri (tidak kira genre apa atau terbitan mana). Namun begitu, tidak perlu tergesa-gesa. Hasilkan yang terbaik dahulu dan hantarlah ke syarikat penerbitan, bukan semata-mata DBP. Tapi bagus juga dapat diterbitkan di DBP, badan kerajaan dan bukunya dipelihara walaupun susah untuk didapati di pasaran selain kedai dan koperasi DBP dan DAWAMA. Terbitan DBP dianggap bermutu dan diterbitkan setelah melalui proses penyuntingan yang cerewet dan penilaian oleh pakar bidang tersebut (agaknya).

Tahniah kepada beberapa penulis yang telah mempunyai kumpulan karya dalam setahun dua ini (puisi atau cerpen) yang diterbitkan di DBP seperti Saifullizan Yahya, Shahrunizam, Rendra, Siti Hajar, serta beberapa lagi dan yang agak senior seperti Rahimidin, Shamsudin dan Nasurry.

Oh, saya teringat ada seorang lagi penulis yang tiada kumpulan karyanya sendiri, Zainal Rashid Ahmad. Kita sedang menunggu.

Saya?: Sudah letih menangguhkan penulisan…

Tuesday, May 20, 2008

Hubungan Tekstual

Pada Seminar Pemikiran A.Samad Said, saya sediakan kertas kerja bertajuk "Hubungan Tekstual dalam Antara Bulan dan Wira"
ABdW merupakan kumpulan esei kedua beliau.
Saya petik beberapa bahagian kertas kerja tersebut:
Membaca Antara Bulan dan Wira (ABdW) selepas 20 tahun sesekali terasa seperti membaca buku sejarah. Inilah sejarah dari sisi sastera , dimensi kreativiti, indah berseni, fakta berisi, lantas memberikan citra peribadi. Segalanya punya perkaitan sastera, seni, budaya dan simbiosisnya dengan realiti kehidupan dari kaca mata, gedung fikir dan naluri seorang A.Samad Said.
Menurut Webster (1990), apabila kita membaca sesuatu teks, sama ada secara sedar ataupun tidak, kita meletakkannya ke dalam kerangka rujukan bahasa dan pengetahuan yang lebih luas daripada melakukannya terhadap seseorang pengarang tertentu, waktu atau set kriteria sastera. Daripada suatu pengertian, kita “meliputi” teks itu dengan kepelbagaian wacana yang ditimba daripada budaya dan pengalaman kita sendiri yang mungkin berbeza mengikut waktu, tempat dan pembaca individu. Dalam hubungan tekstual, menurut Micheal Faucault, perkara yang penting yang perlu dilihat ialah apakah kesatuan yang menarik rasa ingin tahu ini yang ditulis pengarang
1. Intropeksi Diri
Intropeksi diri boleh disamaertikan sebagai penyemakan, penelitian fikiran, perasaan sendiri atau peniilikan diri. Dalam memperkatan inropeksi diri daripada esei-esei dalam ABdW didapati tema pertama iaitu Temu Seni jelas pernyataannya. Dalam tema ini, tujuh esei yang termuat banyak menyorot perjalanan kreatif A. Samad Said dan sebagai pernyataan peribadi mahupun dunia penulisan sastera sekitarnya.
Gaya penulisan A.Samad Said membawa ‘kembara’nya dekat dengan pembaca. Dalam tulisannya “Potret Diri: Baca, Alami dan Tulis” bagaikan sebuah autobiografi pendek tentang beliau. Pengalaman zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu ketika itu, kesengsaraan yang melatari kehidupan masyarakat dan luahan keinginan dan suara hati rakyat yang inginkan ketenteraman dan kemerdekaan memberikan pengalaman berharga buat beliau, walaupun perit. Tulisan ini lebih banyak berupa refleksi bagi A.Samad Said berupa catatan bagaimana penghasilan novel Salina juga kesan peristiwa-peristiwa politik tanah air juga bidang penerbitan. Di sini juga beliau menceritakan perkenalannya dengan pemimpin Mingguan Fikiran Rakyat, Ahmad Boestamam dan hubungan baik dengan individu tertentu seperti Usman Awang, Keris Mas, Kassim Ahmad, Syed Husin Ali dan Ismail Hussein. Individu-individu ini merupakan tokoh penting dalam persuratan dan sosiopolitik tanah air kemudiannya. Begitu juga persahabatan dengan M.Ghazali, Noor S.I dan A.S Amin yang bukan sahaja digulati karya-karya mereka malah secara peribadi mereka sememangnya akrab. Manusia-manusia di sekeliling A.Samad Said ketika itu, ditambahi dengan gelora zaman dan latar masyarakat yang tidak begitu teratur sudut sosioekonomi dan sosiopolitiknya telah memberi tanggapan pada diri beliau sendiri sambil menanyai dirinya, ke mana jalan pilihannya. Tidak hairanlah kesan semua itu menyebabkan beliau begitu gigih dalam bidang sastera, seperti teman-teman seangkatannya yang menuju ke arah bidang dan graduasi yang lain namun A.Samad Said memilih bidang penulisan kreatif dan juga sebagai wartawan pada peringkat awalnya. Itulah perjuangan A.Samad Said, hingga ke hari ini.
Pengalaman dan pembacaan yang luas termasuk bahan-bahan dari luar menggambarkan pemikiran A.Samad yang jauh ke hadapan. Beliau menganggotai Raffles Library untuk mendapatkan buku-buku terutama novel-novel masyhur dan hebat dari luar negara. Juga sering bersiar-siar di kedai buku murah di Brass Basah Road dan Sungai Road. Beliau menemui teks yang jauh (jauh jarak mata dan jauh jangkau fikiran) seperti karya Betrand Russells, George Santayana, Osamu Dazai, Yasunari Kawabata,Steinback, Ernest Hemingway, Arthur Miller dan banyak lagi. Kembara akliah itu bukan sahaja melepasi batas Amerika, Eropah, Jepun malah
akrab dengan teks dari Indonesia seperti karya Pramoedya, Putu Wijaya dan lainnya. (ABdW:10-12)
Melalui instropeksi diri dalam menempuh pengalaman pada zaman perang, keakraban dengan individu berjiwa besar dan penghayatan terhadap teks luaran yang bermutu, maka secara tidak sengaja (ataupun tersengaja) terhasillah karya belaiu sendiri yang dikatakan oleh beberapa sarjana sastera yang bermutu, bertaraf dunia dan melangkai view karya-karya Melayu sebelum dekad itu. Ini dibuktikan menurut Laporan Panel Penilai Anugerah Sastera Negara dipetik berikut: “…Barangkali dari segi tekniklah, maka novel-novel A.Samad Said terasing daripada novel-novel Melayu yang lain kerana bacaan-bacaannya daripada karya-karya Barat, terutama yang sezaman, telah memberikan kekuatan daripada segi pendekatan dan teknik.”
Dalam “Sastera dan Manfaatnya”, A.Samad Said menyeru pembaca supaya meyakini bidang sastera amat rapat perkaitannya dengan kehidupan. Renungan tentang kehidupan dan kata-kata pembangkit kesedaran dan semangat terdapat dalam tulisan ini. Antaranya, “… kita perlu bergerak juga, mesti bergerak, terpaksa bergerak juga. Dari sini sampai ke sepuluh tahun akan datang, ke-100 tahun, ke-1000 tahun, kitalah yang akan menentukan hidup kita sendiri, baik sebagai orang perseorangan, mahupun sebagai satu bangsa. Sejarah kita sudah muram sejak tahun 1511. Kita bertanggungjawab menggilapnya.” (AWdB: 35)
Bahan-bahan esei ini memberi refleksi kepada A.Samad Said sendiri, sebagai intropeksi diri, perkaitan tentang hasrat dan perjuangannya yang sertentak atau kemudiannya adalah bahan-bahan teks novel, cerpen, puisi dan dramanya. Begitu juga dengan langgam dan gaya bahasanya. Secara peribadi, dapat dikesani ada suara Salina di dalamnya, ada gema Hujan Pagi, ada kelucuan M.P Gudu-Gudu, ada rintih Benih Semalu dan ada cetusan Wira Bukit.
2.
Wacana Sastera

Pengertian yang asas bagi wacana ialah penghasilan fikiran melalui teks.
Wacana sebagai terjemahan bagi kata Inggeris discourse adalah perkataan dan juga konsep yang digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan (Asmah, 2006). Tiap-tiap bidang mempunyai definisinya tersendiri tentang apa yang dimaksudkan sebagai wacana. Bidang falsafah misalnya melihat wacana sebagai perdebatan atau hujah tentang sesuatu makna yang diinterpretasikan daripada kehidupan. Pengertian ini hampir sama yang dibawa dalam bidang kesusasteraan. Wacana yang dibawa oleh ahli linguistik dan antropologi membawa kesimpulan untuk pewujudan makna (the making of meaning) dalam kalangan manusia, khususnya dalam kehidupan mereka sehari-hari, melalui bahasa.
Dari segi istilah bahasa, wacana mengandungi andaian tentang dunia dan makna yang dapat dihuraikan dari segi fikiran bahasa; iaitu kita sebenarnya tidak pernah menelusuri atau mempersoalkan tentang hubungan antara bahasa, makna dan dunia kerana kita mengandaikan bahawa perkara-perkara itu sudah sedia wujud. Istilah wacana mewakili satu alternatif yang radikal dan teoritikal terhadap pandangan dan meletakkan makna dalam pengertian ilmu kita tentang dunia dalam bahasa. Oleh sebab itu bahasa adalah sumber kepada pengertian tentang realiti dan bertanggungjawab menghasilkan makna.

Daripada 14 tema dalam ABdW, diagihkan enam bahagian mewakili bahagian Wacana Sastera. Bahagian-bahagian itu ialah Sastera 50-an, Sastera Dakwah, Dunia Puisi, Riak Drama, Sastera Asing dan Sastera Saudara yang kesemuanya mengumpulkan 27 buah esei (Lihat Rajah 1). Oleh kerana kesusasteraan adalah major course A.Samad Said, maka tidak hairanlah bahagian ini cukup akrab dengan beliau. Baik secara merujuk atau menekuni secara sepintas lalu, ada jalinan yang rapat dengan peribadi dan persekitaran dunianya.
Memperkata sastera tahun 1950-an misalnya, penulisan ini bersifat ilmiah namun pengalaman peribadi lebih menjadikan penulisan ini selesa ditanggapi malah terasa dekat. Nama-nama penulis seperti Awam-il Sarkam, Hamzah, Keris Mas, juga perjuangan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50), kegiatan sastera, suara-suara menuntut hak, suara-suara mahu kemerdekaan, luahan kesedaran, lonjakan politik dan ekspresi kemanusiaan dan keislaman, semuanya tergaul, terkumpul dalam minda dan dituangkan dalam esei-esei bahagian ini. Perjalanan A.Samad Said dalam penulisan dibangkitkan faktor ini selain bakat istimewa yang ada padanya. Menurut Othman Puteh (1997), pada tahap awal kehadiran A.Samad Said dalam dunia penulisan cerpen melayu, jika diteliti secara perbandingan kemunculan Keris Mas pada tahun 1940-an dan beberapa orang pengarang muda yang sezaman dengan A.Samad Said. Kita akan temui titik persamaan, terutama dalam keupayaan mereka mencari tapak pengucapan seninya.
Dalam Wacana Sastera terdapat perkaitan dengan makna soial. Menurut Asmah Haji Omar (2006), dalam wacana terdapat makna sosial (social meaning). Ini berdasarkan pada pandangan bahawa kita dibina di dalam dan juga melalui bahasa. Apabila seseorang itu menulis, mahu tidak mahu dia membawa makna sosial yang ada dalam kehidupannya, baik sebagai individu dalam keluarga atau komunitinya, mahupun sebagai ahli akademik dalam bidangnya. Dan pengertian sosial itu jauh lebih luas daripada pengertian hubungan antara individu. Dengan itu, apabila kita mengkaji hasil penulisan seseorang itu, maka kita hendaklah melihat makna yang dibawanya itu berdasarkan milieu atau latarnya sebagai ahli akademik, wartawan, pengkritik dan sebagainya.

A.Samad Said menulis tentang zamannya sendiri, dan begitu selesa dengan bidangnya sendiri. Zaman akan berubah namun bidanag semakin mantap. Pengalaman peringkat awal melibatkan diri dalam bidang kesusasteraan, kemudiannya atau akhirnya mermbawa lonjakan yang mungkin tidak disangka-sangka. Menurut Jean Paul Sartre (Teoti Heraty, 2000), zaman adalah inter-subjektivitas, kemutlakan yang hidup, sisi dialektika dari sejarah. Zaman melahirkan dengan susah payah berbagai-bagai kejadian dan peristiwa yang kemudian diberi nama oleh para ahli sejarah.
3.
Wacana Seni dan Budaya

Tidak banyak perbedaan antara Wacana Sastera dengan Wacana Seni dan Budaya melainkan isi perbahasan atau persoalannya. Dalam Wacana Sastera difokuskan bidang dan genre kesusasteraan manakala dalam seni dan budaya memasuki dunia lain daripada kesusasteraan namun terangkum sekali sebenarnya di bawah payung kebudayaan.

Berkaitan budaya, Solehah Ishak (dalam Othman Puteh, 1997), menyatakan bahawa teks sastera ialah satu cerminan budaya, kita bertolak daripada andaian bahawa teks yang diteliti mengandungi “semangat kebudayaan” (the spirit of culture) masyarakat konteksnya. Oleh itu, sebagai lanjutan andaian tersebutkita mengiktiraf karyawan itu sebagai orang yang peka tentang teras sistem nilai kebudayaannya.

Tema Riak Filem mempunyai dua buah esei manakala satu lagi tema iaitu Alam Warna juga mempunyai dua buah esei. Tidak banyak yang diperkatakan oleh A.Samad Said tentang seni budaya. Dalam ABdW hanya empat. Keempat-empatnya ditulis dalam tahun yang sama, 1978 juga wadah yang sama, Berita Minggu.

A.Samad Said memberi tafsiran tentang filem, kritrikannya terbuka, ada kewajarannya. Beliau melihat filem-filem kemanusiaan Jins Shamsuddin yang lain dari yang lain. Menurut A.Samad Said, Jins punyai potensi yang jauh ke hadapan dalam filem. Ada bebarnya kata beliau, ketiuka orang lain memberikan ketawa, Jins memberikan air mata dalam filem-filemnya. Jins menggunakan “tiada esok bagimu’ dalam filemnya, sebaliknya dengan nada optimis, A.Samad Said menjudulkan tulisannya “Ada Esok Bagi Jins”. Hari ini Jins Shamsuddin seorang tokoh perfileman juga seorang senator yang bergelar Tan Sri. Nada optimis terhadap seni visual juga dikesani dalam tema Alam Warna apabila beliau memperkatakan dua pelukis berpotensi ketika itu iaitu Ghafar Ibrahim dan Zulkifli Mohd Dahalan.

4. Wacana Politik

Dunia politik turut memberi sentakan dan sesekali menganggui diri. Maka terluahlah pandangan sekadar view ataupun suara-suara yang masih terkawal. Dua tema yang membawa persoalan politik semasa ketika itu iaitu Ribut Politik memuatkan lapan esei tentang poolitik antarabangsa terutama di India dan Timur Tengah. Satu lagi tema ialah Angin Politik yang membicarakan politik tempatan ketika itu. Agak menarik juga pandangan terhadap orang-orang UMNO pada Perhimpunan Agung dalam tulisan, “Antara Desawan Usop, Kotawan Joe dan Sidang Agung UMNO” yang merupakan respons daripada tulisan Adam A.Kadir.

Sebagai wartawan, persoalan politik ini dilaporkan dengan jujur sambil menyelitkan pandangan dan tafsiran dari sisi masyarakat tempatan. Pada bahagian inilah dilihat pengelolaan kandungan wacana. Di sini digunakan ungkapan social organization of contents. Menurut Asmah (2006), apa yang dimaksudkan ialah teks merupakan konteks atau tempat timbulnya makna seperti yang difahami oleh masyarakat pengguna bahasa dan wacana berkenaan, dan fokusnya adalah bagaimana teks atau wacana mengkonstruksi alam masyarakat penggunanya.

5. Nuansa Peribadi
Nuansa, ‘slight of meaning’ yang terbuka. Bahagian Nuansa Peribadi ini mengambil tiga tema yang berbaki iaitu Mengisi Hidup yang mengandungi 14 tulisan, Misteri Alam mengandungi tiga tulisan dan satu lagi tema yang dijudulkan sebagai Ketemu Di Jalan yang mengandungi lima tulisan.
Esei-esei bahagian ini terbahagi dalam berbagai-bagai bidang manakala penulisannya dalam bentuk artikel akhbar dan majalah. Terdapat juga pandangan tentang kesusasteraan selain membawa persoalan peningkatan potensi diri (motivasi), keagamaan, tokoh-tokoh tertentu, sains. Sebagai Nuansa Peribadi, hasil tulisan ini bersifat semasa namun menunjukkan keterbukaan terhadap bidang-bidang lain (teks yang lain) yang kembali kepada pengisian fikiran dan mengasah ketajaman pesepsi dan aktualiti kepengarangan.

Menurut Asmah (2006), apa juga hasil penulisan tidak lain daripada hasil proses yang ada pada manusia yang mempunyai daya kognisi dan daya berbahasa, iaitu proses yang kita kenal sebagai proses kreatif. Apa yang dikatakan deskriptif itu tidak dapat dihasilkan jika tidak ada proses kreatif. Menurut Asmah lagi, penulisan itu sendiri merupakan proses kreatif yang melibatkan beberapa proses lain. Pertama ialah proses pemilihan butir-butir yang muncul dalam minda kita. Proses ini berlaku serentak dengan proses intelektualisasi, kerana sesuatu pemilihan dibuat berdasarkan pentaakulan (reasoning), yang menjawab pertanyaan mengapa dan bagaimana.
Tugas paling utama seorang penulis adalah melakukan subversi terhadap rahsia luka zamannya melalui eksplorasi sedalam-dalamnya dalam usaha secara estetik, dengan kejujuran (integriti) yang mewujud dalam kehidupan di sekitarnya. Apabila melakukan hal itu, dia yakin sudah pasti tema dan karekter penulis itu dibentukkan oleh tekanan dan penyimpangan masyarakatnya, sama halnya kehidupan nelayan ditentukan oleh kekuatan laut. Ia memberi cukup banyak contoh penulis penuh dedikasi yang sikap dan pencapaiannya patut diteladani. (Gordimer, 1995) Pengisiannya bentuk wacana dan pernyataan jurnalistik serta dijalin dengan gaya bahasa yang kreatif menjadikannya agak istimewa. Jalinan bahasa memberi kesempurnaaan sebuah wacana. Terhasillah sebuah wacana yang baik, seperti yang dimaksudkan pada permulaan kertas ini, indah berseni. Hubungan tekstual sesama teks dan kepengarangan juga dapat dikesani. A.Samad Said menjadi salah seorang penulis Malaysia yang menceburi pelbagai genre: cerpen, drama, esei, novel dan puisi. Dan apabila beliau menceburi bidang-bidang ini, kelebihannya ialah, beliau mampu mengungkapkan sesuatu yang bermutu dan bermakna.

Promosi Blog Baru

Jumpa Rahimidin di DBP (Seminar Pemikiran A.Samad Said). Orang lain makan di dewan kami bertiga (dengan Lutfi) lari ke Restoran Kancil makan ikan patin masak tempoyak. Rahimidin kata dia sudah launch blognya. Sempat cerita tentang Impak Maksima dan Cicakman mahu 'diteatermuzikalkan'. Aduhai, nampaknya skrip teater kita yang bermutu sudah tiada. Dan orang-orang kita sudah tiada idea. Teater P.Ramlee pun macam rojak dan tidak fokus siapa penulis skripnya. Tertanya-tanya juga mana skrip Syed Alwi, Noordin Hassan, Shahrom Hussain, Kala Dewata. Impak maksima itu tiada apa-apa. Hanya tunjuk kereta, tunjuk orang bertumbuk dan main-main mata. Bahasa, hancur. Nilai? pergi Nilai 3 lagi baik. Pemikiran? Lu fikirlah sendiri...
Blog Rahimidin, http://www.rahimidinzahari.blogspot.com/

Dengan SM Zakir selalu sms. Kadang-kadang marah dalam tulisannya tapi marahnya bertempat. Silalah ke blognya, http://smzakirsayapmatahari.blogspot.com/

Blog 'malas' saya ini dikunjungi seorang teman lama, Cikgu Azlan, juga seorang penulis (menggunakan nama Chulan Chin). Blog beliau, http://amal4444.blogspot.com

Saya percaya, blog sebegini tidak membuang masa.

Seronok juga tengok blog kawan-kawan. Dalam sibuk kerja, ditambah urusan itu ini, wajar juga kita beri alasan untuk memilih yang terbaik apa yang kita mahu baca atau apa yang kita mahu buat. Bukan cari alasan atau helah bela diri. Sekarang orang tidak guna istilah itu. Mungkin retorik namun retorik pun ada seni dan kias sindirnya. Orang yang berfikir tidak cepat marah-marah, tidak cepat menuduh namun selektif dan terbuka.

Maka, berblog pun mesti selektif walaupun dalam kalangan penulis sastera sendiri.

Tuesday, January 15, 2008

Apa Sudah Jadi?

"Apa dah jadi?
Novel popular jadi teks sekolah (Komsas)
Tolonglah, aku nak muntah!
Tolonglah,
jangan biarkan kebodohan merajalela
novel pop ini, maaf cakaplah, hanya kosong cerita tanpa isi. Sama macam cerita tv untuk gelak-gelak dan enjoy. Suka-suka, usik-usik, i dan u, you and they..
lepas tengok, tido... sedih sikit, nangis lepas tu ketawa balik.
Engkau nak tau tak?
novel pop ni orang baca dalam flight. turun flight campak dalam tong sampah.
Itu nak jadi teks?
Siapa yang pilih tu?
Dia (mereka) tu sekolah ke?"

- Petikan kata-kata yang sempat saya catatkan. Kata-kata itu dari seseorang yang minta namanya dirahsiakan sehingga penyiasatan kes ini selesai.

Sepetang Bersama-sama Editor Majalah DBP

Tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari dijemput ke program wacana ilmu Sepetang Bersama-sama Editor Bahagian Majalah DBP pada 17 Januari 2008, bertempat di Dewan Kuliah H, UPSI 3.30 petang.

Tajuk: Ruang dan Peluang Berkarya dalam Majalah Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Panel: Puan Padilah Ali, Puan Rozninah Abdul Azib dan Encik Armin Azhari.

p/s: Nostalgia lagi, saya mula membaca Dewan Pelajar seusia 8 tahun, Dewan Siswa seawal 13 tahun, dan remaja saya dengan Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Pelita Bahasa dan Dewan Sastera. Hingga kini, malar hijau, malar segar.

Friday, January 04, 2008

Snapshot!: Prolog

Prolog


Laptop baru dibuka. Mukanya bersinar. Cahaya datang dari celah tingkap. Menyentak dadanya. Menyentap keberadaannya. Membawanya jauh di dunia entah di mana. Bukan mimpi, bukan khayalan. Terasa wajahnya lain. Langkah dan tampangnya juga.

Desup sekilas, dia merasakan mata, kepala, akal fikirnya juga hati dan jantungnya masuk ke dalam skrin!

Tiba-tiba...Snapshot!

Tiba-tiba dapat idea ini. Novel ini dibina tanpa perancangan. Sekarang pun tiada apa-apa lagi dalam kepala. Namun tunggulah. Snapshot! akan muncul. Novel ini akan ditulis secara bersiri khusus di ariffmohamad.blogspot.com.

Novel by-entry

Snapshot!

Novel by-entry

ARIFFMOHAMAD

Mulai Januari 2008.

Tahun Baru, Azam?

Ada juga benarnya kata-kata Siti Jarum (Mingguan Malaysia), tahun baru tiada apa-apa melainkan seperti perubahan hari Isnin ke Selasa.
Tapi tahun baru menunjukkan angka yang baru dalam menulis tarikh. 2008. Lain daripada sebelumnya, 2007.
Maka, bolehlah berazam dalam tempoh 365 hari ini agar ada perubahan dalam diri (pertamanya) atau yang lebih besar, kumpulan, masyarakat, keluarga, bangsa, negara...
dan berterusanlah hendaknya.
Azam baru saya... mahu menyiapkan kerja yang sepatutnya siap sebelum waktunya.
Kepada pengunjung blog ini, Selamat tahun baru. ada azam atau tidak terpulanglah kepada anda!

Friday, December 14, 2007

Al-Kisah Leman

Dalam seminar pendidikan sastera di UM (lihat entri di bawah), saya bercakap sedikit tentang teks-teks yang sepatutnya sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Tujuan untuk mengajar Bahasa Melayu, bukan Kesusasteraan Melayu. Dalam Komsas, sastera adalah medium atau bahan atau unsur, dalam KM, bahasa pula jadi medium. Tidak sama. Ada lagi yang kurang jelas tentang Komsas, terutama mereka yang tidak pernah menjengok ke sekolah.
Komsas pula telah ada di sekolah rendah. Perkembangan yang baik dan positif. Saya pun dapatkan maklumat yang sedikit ini daripada seorang kawan. Dia pun memberikan senarai tajuk buku-buku (cerpen dan novel) yang digunakjan untuk tahun empat, lima dan enam.
Saya tertarik pada satu tajuk untuk tahun empat. Tajuknya "Leman Penjual Kuih". Saya tertarik untuk mengkritiknya habis-habisan.
Saya tidak menyentuh tentang kandungan. Saya mengajak khalayak memikirkan tentang tajuk sahaja. Leman Penjual Kuih. Leman itu Melayu tipikal, nama yang tidak popular dan nama zaman Seniman Bujang Lapok dahulu. Penjual kuih, tiada masalah, kerja halal. Pasar Ramadhan jual kuih boleh untung banyak. Tapi dalam cerita itu, Leman jual kuih guna bakul, macam filem zaman KM Baskar atau Phani Majundar dulu. Inikah yang mahu dibaca oleh anak-anak yang berumur sepuluh tahun. Mungkin di Triang atau Changloon boleh terima, tapi di Subang Jaya dan Damansara bagaimana?
Saya juga kaitkan dengan imej Melayu dahulu dengan sekarang. Jika dahulu Melayu hidup susah jual kuih, kita perlu ubah tanggapan kesusahan itu. Kalau tulis cerita orang miskin, janganlah asyik cerita pasal jual kuih, pisang ataupun nasi lemak. Banyak lagi benda boleh buat. Saya sekali lagi kaitkan dengan imej Melayu. Orang lain (bangsa lain) tidak akan tulis cerita macam ini lagi. Cukuplah, cerita sebegini sudah penuh di perpustakaan sejak tahun 60-an dahulu. Zaman dahulu, kanak-kanak main lastik dan pistol kayu, sekarang main PS2 dan SMS. Saya katakan cerita ini tidak relevan.
Melalui teks (sastera) inilah kita gunakan untuk memberikan persepsi yang positif tentang jati diri dan kematangan pelajar.
Saya bangkitkan perkara ini kerana setelah selesai pembentangan ada peserta yang bangun mempertikai, "Apa salahnya dengan Leman Penjual Kuih?"

Seminar Sastera di UM

Seminar Kebangsaan Pendidikan Kesusasteraan Melayu telah diadakan 11 - 13 Disember lalu di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Secara teramat ringkas, saya rumuskan sebagai menarik, bagus dan penting. Menarik kerana persoalan pendidikan Kesusasteraan Melayu (KM) dan Komsas dalam BM disekalikan. Menarik juga kerana kertas kerja banyak yang berbentuk kajian empirikal yang terkini dengan data dan bukan semata-mata berdasarkan kajian terdahulu. Bagus kerana tidak selalu seminar yang membincangkan pendidikan kesusasteraan diadakan di negara ini. Penting, kerana banyak idea dan cetusan yang sepatutnya diketengahkan, diangkat, disuarakan dan diketahui oleh pihak Kementerian Pelajaran dan kerajaan tentang situasi yang melanda dalam KM, juga dalam Komsas.
Dalam buku program, terdapat 32 tajuk kertas kerja namun ada juga pembentangan tanpa kertas kerja dan ada pembentang yang tidak hadir. Pembentang terdiri daripada pensyarah pendidikan IPTA, IPTS dan juga guru-guru pakar dari sekolah-sekolah, juga dari Pusat Perkembangan Kurikulum dan mahasiswa calon PhD. Kertas dasar disampaikan oleh Prof.Rahman Shaari, SN Dato' A.Samad Said dan Prof.Datin Dr.Rahmah Bujang.
Saya membentangkan kertas kerja bertajuk Kewajaran Memperkenal Teks Baharu Komsas: Pertimbangan Penentuan bagi Genre Cerpen dan Novel.
Ada beberapa sebab mengapa saya tertarik untuk mendalami tajuk ini:
1. Mengenalpasti kriteria pemilihan teks yang sepatutnya
2. Memilih dan mendapatkan karya yang memenuhi ciri-ciri atau kriteria yang wajar
3. Memberi panduan kepada penulis menghasilkan karya yang sesuai dijadikan teks Komsas
4. Mengenalpasti apa yang sepatutnya ada dalam penulisan yang baik
5. Teks sedia ada telah lapan tahun digunakan
Dalam kertas kerja itu, saya tutup dengan kata-kata: Perhatian seharusnya diberikan dengan mengambil kira banyak faktor-faktor yang perlu disesuaikan dengan situasi semasa seperti tema yang perlu universal, penggunaan bahasa yang estetik, nilai-nilai pendidikan yang ketara dan tentulah hasil penulis yang diuji kemantapannya. Bukanlah seperti yang ada sekarang, terdapat karya yang dihasilkan oleh penulis yang terlalu baru, penulis yang dulunya menulis kini entah ke mana, penulis yang dipilih teksnya kerana keluarga sebagai panel, atau sahabat baiknya semata-mata, dan beberapa lagi karya yang secara umum dirasakan amat tidak sesuai dijadikan teks untuk pendidikan bahasa Melayu.

Friday, December 07, 2007

Buku Terbaharu di Mejaku(1)


Buku Membina Kepustakaan dalam Bahasa Melayu (Enrich the Repository of Knowledge in Malay) merupakan buku yang terbaharu di meja saya. Seperti biasa setiap buku baru amat saya hargai dan kalau boleh saya ingin membacanya hingga habis dan dibawa ke tidur sebelum diletakkan di rak. Tapi kadang-kadang tidak begitu. Buku ini cukup menarik bagi saya kerana bidang terjemahan di negara kita amat perlahan kadang-kadang terasa sepi. Buku ini disusun oleh Prof. Em. Dr. Abdullah Hassan merupakan hasil kertas kerja dari Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 yang diadakan baru-baru ini. Dua kertas dasar daripada Y.B Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pengerusi ITNMB yang juga ahli Parlimen Grik yang agak panas mengkritik DBP baru-baru ini. Satu lagi kertas kerja dihasilkan oleh Prof Abdullah sendiri, tokoh akademik bahasa yang produktif.
Sebanyak 66 kertas kerja oleh ahli akademik dari jepun, Korea, Arab Saudi, Jerman, enmark, Perancis, Chile, indonesia, Brunei dan yang lain dari Malaysia dalam pelbagai tajuk merangkumi bidang teori terjemahan, terjemahan berkomputer, terjemahan kesusasteraan, terjemahan qur'an dan hadith, terjemhan pengajaran bahasa, interpretasi, terjemahan dan industri penerbitan, terjemahan sari kata, terjemahan dan budaya, perkamusan, aktiviti terjemahan, dan tajuk-tajuk umum.
Buku ini diterbitkan oleh PTS dengan kerjasama ITNMB, setebal 778 halaman, dijual dengan harga RM30.00 sahaja.

Jom bercuti!


Cuti tidak pernah ada sebenarnya.
Namun aku perlu mencari ruang walau sedikit untuk berehat, seketika.
Ke mana ya?
Jom jalan-jalan?
Jalan-jalan cari makan?
Mmmm...... kita ke pulau?
Mari!

Monday, November 12, 2007

Promosi Kongres

Kali ini kita berkongres pula. Kongres Sebudaya Serumpun anjuran bersama PENA, KEKKWA, dan DBP. Berlangsung di DBP pada 16 – 18 November 2007.

Seminar ini bertema Sebudaya Serumpun Jambatan Hubungan Serantau. Yang berkonsepkan penemuan pelbagai fikiran dan pandangan budaya dalam hubungan serumpun. mungkin banyak perkara tentang sastera, budaya, seni, atau apa saja yang berkaitan dengan bahasa dan mungkin sedikit-sedikit menyentuh politik. Inilah wadah, ruang, untuk bersuara. Namun doa dan harapan kita, agar suara kita lebih didengari dan terbuka pula untuk difikirkan, dipatuhi. Apa yang perlu diubah, kita pindah, apa yang patut ditingkat, kita naikkan, apa yang perlu digilap, kita silaukan, apa yang perlu disedar, kita bukakan mata, dan apa-apa lagi lah.

Pembentang, antaranya:

Datuk Johan Jaafar, Ariffin Ariff, Datuk Firdaus Abdullah, Abu Hassan Hasbullah, Arbaiyah Mohd Nor, Mohd Daud Mohamad, Mohamad Saleeh Rahamad dan Shamsuddin Othman.

Juga dari Indonesia, Emha Ainun Najib, Maman S.Mahayana, Eri Sarimanah, Muhamad Takari, Fazlin Jaafar, Fatin Hamamah dan Djamal Bakir juga dari Singapura antaranya Suratman Markasan dan Isa Kamari. Dari Brunei (Morshidi Hj. Mohamad dan Zefri Ariff), Thailand (Worait Baru, tengku Ariffin Tengku Chik, Abdul Razak Pandangmalam, Nik Rakib) dan Jepun (hagari Yasako) juga.

Maklumat lanjut hubungi Setiausaha PENA, S.MZakir melalui emel smzakir@hotmail.com atau Shamsuddin emel sudean66@hotmail.com.

Jumpa di sana.

Tuesday, November 06, 2007

Hati Malaya atau Mala atau Maya?

1957: Hati Malaya Atau Hati Siapa yang Terluka?
Sebuah komentar jujur ARIFF MOHAMAD

Tahun ini ulangtahun ke 50 kemerdekaan negara. Banyak juga program, pertandingan, kempen dijalankan. Dan semangat itu cuba dibawa melalui filem ini, 1957: Hati Malaya. Judulnya ada unsur sentimental.

Filem ini punya jiwa, itu yang dirasakan namun sesekali kontang dan hambar, kering dan usang. Dalam akhbar ada yang kata penonton menangis dan hiba apabila menonton beberapa adegan, saya akui memang makcik yang duduk di baris hadapan saya menangis terutama adegan Tunku perlukan wang untuk ke London bermesyuarat menuntut kemerdekaan. Satu lagi scene yang menghibakan adalah ketika Sultan (lakonan Jalaludin Hasan) terpaksa menandatangani surat di hadapan pegawai British.

Filem ini bergerak seperti sebuah dokumentari, sesekali seperti montaj dan iklan. Hubungan dua zaman, zaman sekarang dengan zaman pra-merdeka langsung tidak kena dengan perkaitan watak. Watak yang sama muncul dalam dua zaman, menggunakan nama yang sama tapi tidak berkaitan dari segi peranan. Cinta entah ke mana, perjuangan entah ke mana. Alangkah cantiknya jika filem ini sepenuhnya period movie. Seperti Ghandi ataupun yang lokal seperti Bukit Kepong.


Suhaimi Baba amat gemar mengambil pelakon yang sama dalam setiap filemnya. Rusdi boleh berlakon dengan baik, Maya Karin juga cemerlang (namun sesekali terbayang pontianak harum sundal malam muncul), Ida Nerina dan Nanu juga patut dipuji. Malah kehadiran dua pelakon baru dalam layar iaitu Kamaruzzaman Taib (watak Tunku) dan Zaefrul Nordin (watak Datuk Onn) sememangnya baik, amat baik terutama Zaefrul untuk watak Datuk Onn. Gerak badan dan fikirannya cukup bertokoh, realistik.

Namun ada watak yang seolah-olah tidak kena seperti Sardon yang dilakonkan oleh Nagsrizal Ngasri. Sardon seorang yang bertubuh besar, kelihatan serius namun Sardon dalam filem ini seperti watak anak-anak sekolah.

Sedikit teruja dengan kemunculan barisan bintang veteran dan senior, Datuk Jins Shamsuddin (Sultan Johor), Datuk Mustafa Maarof (Sultan Selangor) , Kuswadinata (Sultan Perak), Jalaludin Hassan (Sultan Kedah). Begitu juga watak Abdullah Fahim. Yang dilakonkan oleh Datuk Rahim Razali. Mereka ini sebenarnya sultan (raja) dalam sinema Melayu terutama Jins, Mustafa dan Rahim.

Filem ini bersifat pro-pemerintah dan terlalu memikirkan perpaduan. Mungkin kerana ditaja oleh syarikat telekomunikasi yang berwarna kuning maka, filem ini perlu di’warna’kan sedikit. Watak bukan Melayu juga digambarkan sebagai pejuang dalam filem ini. Inilah hati Malaya, yang bagi saya dilukakan. Ada beberapa tokoh yang tidak disebut, tidak dilintaskan dalam bentuk gambar. Lagi pula, nasionalisme terdahulu bukan semata-mata terhadap Inggeris atau Malayan union, namun nasionalisme sejak Portugis, Belanda, Jepun, komunis seakan diabaikan.


Filem ini lebih baik jika diambil dari sudut Datuk Onn atau Tunku semata-mata atau wujudkan watak lain yang menggabungkan tokoh-tokoh penting ini dalam filem. Sejarah kemerdekaan cukup penting, cuma janganlah dilukakan.

Sinematografi filem ini cemerlang. Penyuntingan juga boleh dipuji. Teknik split screen apabila dua atau tiga iorang berbual juga teknik yang baik dan tidak menjemukan. Filem ini layak menjadi Filem Terbaik malah filem sebeginilah yang ditunggu-tunggu oleh segelintir peminat, pengikut dan pengkaji filem Melayu. Alangkah baiknya jika kita lebih banyak dan kerap berpatriotik dengan filem-filem sebegini, berbanding ber’mami’, ber’otai’ tak tentu pasal, dan ber’hantu’ menjerit di siang hari.

Sekian, terima kasih.

Gambar dari astro.com.my

Friday, November 02, 2007

Shahnon Di Sini


Sepatutnya entri ini dimasukkan lama dahulu, tiga bulan dahulu. Ini cerita bulan Ogos lalu. Kerana memikirkan penting juga untuk dikongsi pengalaman ini, lewat pun saya masukkan juga.
Pada 6-10 Ogos 2007, diadakan Minggu Keterampilan Bahasa anjuran fakulti. Macam-macam program siang dan malam. Masuk majalah dan akhbar juga. Saya sendiri mengendalikan dua event penting iaitu pertandingan untuk pelajar sekolah dan mengendalikan majlis perasmian dan penutup termasuk sebagai juruacara.
Antara program yang paling terkesan, dan kadangkala dirasakan amat manis ialah kehadiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ke sini. Bukan tidak biasa dengan nama Sasterawan Negara, tetapi SN yang satu ini susah untuk ditemui kecuali berkunjung ke rumahnya terutama sejak beliau tidak aktif lagi dalam politik kepartiannya.
Wacana Sasterawan Negara pada 9 Ogos dalam slot Pemikiran Melayu Global dipengerusikan oleh Datuk Mohd Yusof Hassan. Orang yang kena dan bertepatan sekali. Tiga SN diundang, Datuk A.Samad Said, Dr. S.Othman Kelantan dan Prof. Emeritius Shahnon Ahmad. Mereka bercakap tentang pemikiran global namun menjurus kepada perjalanan kreatif dan pengabdian mereka terhadap bidang sastera(penulisan kreatif). Kadang-kadang bangga, sesekali terharu, ah, syahdu juga!
Shahnon, yang jarang sekali 'keluar rumah' dalam keadaan lutut tidak kuat dan selalu ke tandas ini gagah juga ke UPSI. Katanya dia punya nostalgia yang berisi di UPSI (dahulu SITC, MPSI, IPSI). Bercakap tentang pengalaman di SITC, dan sayangkan bidang perguruan yang diceburi, maka beliau sanggup menyerahkan koleksi bukunya untuk UPSI. Wah, bertuah sekali Suluh Budiman. Terharu juga, apabila beliau berkata, buku-buku tersebut boleh diambil sedikit demi sedikit mulai sekarang dan setelah dia tiada nanti, ambillah kesemuanya.
Terima kasih, Datuk Shahnon.
Aku: cepat sekali teringat Lahuma, Jeha, Su Usul...
Sempat bertemu Datuk Shahnon dan bercakap sedikit tentang Setitis Embun Semarak Api. Katanya, manuskrip itu dihantar ke Penerbit UKM asalnya. Kemudian ke Karangkraf.
Bagaimana khabarnya SN Datuk Abdullah Husain, dan juga Datuk Dr. Awang Had Salleh yang sangat uzur sekarang.

Thursday, November 01, 2007

Sukma dan Kalbu

Saya baru menghabiskan pembacaan Bedar Sukma Bisu dalam tempoh sehari. Kerana novel ini pemenang hadiah utama, saya dahulukan berbanding dengan Mahabbah (Shahnon Ahmad). Kemudian saya menyambung dengan Manikam Kalbu. Sedangkan Tuhan Manusia saya masih tertangguh, begitu juga dengan Bila Tuhan Berbicara. Saya juga memiliki Nama Beta Sultan Alaudin tapi masih belum dibaca namun telahpun membaca Kekasih Sam Po Bo sebaik sahaja saya beli daripada Ujana Ilmu. Dalam tempoh setahun dua ini, berderet karya Faisal diterbitkan.Satu contoh yang baik untuk penulis muda. Ada sesetengah penulis muda cakap banyak saja, sedangkan hasil tiada (kurang).

Secara peribadi, saya kagum akan kesungguhan Faisal. Komitmennya pada dunia penulisan seperti ‘jangan pandang belakang’ dan Faisal cukup bersedia menghadapi apa saja cabaran memilih sebagai penulis sepenuh masa. Faisal telah buktikan. Hasilnya tidak mengecewakan. Yang penting kesungguhan, selain bakat dan kreativiti. Juga ketabahan yang dapat saya fikirkan dan rasakan, perit dan tenangnya.

Sedikit tentang Bedar Sukma Bisu, tentang Wefada dan empayar perniagaannya, tentang sejarah dan nostalgia generasi terdahulu, juga cinta. Falsafah pertukangan layar (bedar, perahu, lancang dll) dapat diungkapkan dengan kreatif. Ada kalanya terasa seperti berdokumentari, namun beraksi secara tidak sedar. Faisal merujuk banyak buku tentang ini. Namun sesekali terasa terlalu banyak fakta ingin diberi sedangkan penghayatan novel perlu banyak kepada penceritaan, naratif dan kesan pembacaan (mungkin sedikit perasaan walupun perlu dicabar juga dengan pemikiran).

Novel ini penting dari sudut antropologi, budaya, dan seni (pertukangan melayu). Ironis dengan cabaran dan globalisasi, juga unsur perjuangan (juga tentang kegigihan wanita).

Apapun, tahniah Faisal Tehrani. Semoga DBP dan pihak yang lain mengadakan diskusi beberapa karya pemenang hadiah 50 tahun DBP termasuk Sukma dan Kalbu.

Friday, October 26, 2007

Dengar Lagu

Perjalanan merentasi lebuh raya agak jauh dan memenatkan. Hujung Ramadhan menuju awal Syawal pulang ke kampung. Ke Alor Star kemudian hari raya ketiga pulang ke Teluk Intan. Dalam minggu raya itu juga sempat ke KL atas tujuan tugas rasmi.
Sepanjang pemanduan ditemani lagu-lagu. Tapi maaf, lagu yang saya dengar tidak disiarkan di radio tempatan atau jarang sekali. Saya, secara peribadi semakin malas mendengar radio sebab banyak sangat juruhebah yang tak ketahuan ketawa tak tentu, memperleceh orang lain, kurang bermoral dan bernada pondan. Tapi bukanlah semua juruhebah begitu, ada yang baik dan ada yang terlalu sopan dan syahdu. Hanya beberapa stesen sahaja selain stesen LRT.
Mungkin nama penyanyi dan kumpulan yang saya senaraikan di bawah agak asing bagi orang kita, tapi saya suka sekali (senang, dan merasakan lagu-lagu ini sedap dan menarik) mendengarnya. Lagu-lagu itu dari kumpulan:
Letto

Kertas
Kerispatih
Dygta
Ungu
Republik
Anima

Cubalah dengar (cari di kedai CD atau kaset) dan dapatkan jawapan kenapa lagu-lagu kita semakin kurang diminati.

Ruang Rindu


Ruang Rindu

Di daun yang ikut mengalir lembut

Terbawa sungai ke ujung mata dan

Aku mulai takut terbawa cinta

Menghirup rindu yang sesakkan dada

Jalanku hampa dan kusentuh dia

Terasa hangat o di dalam hati

Ku pegang erat dan kuhalangi waktu

Tak urung jua kulihatnya pergi

Tak pernah kuragu dan selalu ku ingat

Kerlingan matamu dan sentuhan hangat

Ku saat itu takut mencari makna

Tumbuhkan rasa yang sesakkan dada

Kau datang dan pergi bagitu sahaja

Semua ku terima apa adanya

Mata terpejam dan hati menggumam

Di ruang rindu kita bertemu

p/s - ini hanya sekadar lagu.

Monday, October 08, 2007

Raya!


Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada:
seluruh keluarga
kawan-kawan sekerja
kawan-kawan seangkatan dalam bidang penulisan
pelajar-pelajar dan bekas pelajar
manusia berhati mulia yang pernah menjadi guru saya
dan semua
pembaca blog
termasuk Mak timah di Kampung Pisang
Haji Berahim di Pulau Tengah
mak long, mak ngah, mak andak
dan juga juruhebah yang bertugas
dengan ucapan;
sebelum makan jangan lupa baca bismilah dan
jangan bercakap banyak ketika sedang makan!

Di Hujung Semester

Hujung semester,

Para pelajar: selesai tugasan, mula debar peperiksaan.

Saya: selalu buka IMS, semak tugasan, semak jawapan peperiksaan.

Semester ini agak memenatkan saya. Selain meneruskan tugas penyelaras Bahasa Melayu Profesional, saya juga mengajar subjek Kaedah Bahasa Melayu.

Subjek ini berat kandungannya, meliputi teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar, kemudian memberi perhatian juga kepada Sukatan Pelajaran serta mengadakan sesi pengajaran mikro kepada para pelajar. Itu tidak termasuk pembentangan kumpulan dan dua tugasan pelajar.

Satu lagi subjek yang saya kendalikan ialah Pengantar Kesusasteraan, Kebudayaan dan Kesenian Melayu kepada pelajar kumpulan A major Bahasa Melayu. (Kumpulan B dikendalikan oleh Encik Razali Ayob). Bagi saya ini subjek 'enjoy' secara pendekatannya namun 'berat' dari segi tanggungjawabnya. Subjek ini memperkata tiga bidang yang penting dalam pengungkapan makna peradaban dan tamadun bangsa iaitu kesusasteraan, kebudayaan, dan kesenian.

Dalam kelas inilah kita (saya dan pelajar) bukan sahaja meneroka makna dan konsep tetapi penghayatan sekadar yang termampu. Rasanya subjek lain tidak dapat menyaksikan lagu-lagu P.Ramlee divideokan, tiada tayangan zapin dan ulet mayang, tiada deklamasi puisi dan lakonan tetapi dalam kelas ini kita lakukan. Dan itulah antara keistimewaan subjek ini. View untuk subjek ini terlalu luas namun dapat dikuasai dengan baik.

Saya gembira sekali. Terima kasih atas kerjasama pelajar-pelajar.

Saya tiada masalah dengan kedua-dua subjek ini. Namun saya membantu tugas untuk satu subjek yang agak besar bilangan pelajarnya. Dan entah bagaimana ada timbul masalah sedikit.

Masalah timbul ini kerana tiada rasa kefahaman dan pengertian, juga nilai luhur dalam diri itu tiada atau kurang atau hilang. Saya hanya mahu berkias sahaja, kerana terlalu jujur dan berterus terang membuatkan kita teraniaya!

Selamat hari raya. Jumpa lagi semester depan.
Gambar hiasan: Bersama-sama sifu, Prof Emeritius Dr.Abdullah Hassan.

Monday, October 01, 2007

Intermezzo!

Cerpen "Pada Ruang Intermezzo" disiarkan dalam MM semalam, 30 September. Terima kasih editor.
Selamat membaca.

Tuesday, September 25, 2007

Pilu, Awal Ramadhan Menguji

Pilu,
awal Ramadhan yang menguji
tentang kehilangan
tak terterpa akal
jauh,
di sebalik janji luh mahfuz
telah tertulis
kisahmu, nurin.
Al-fatihah.

Aku seperti kehilangan kata-kata. Takziah keluarga Nurin.

http://www.nurinjazlin.blogspot.com/

Thursday, September 20, 2007

Cerita Lain tentang Kemerdekaan



Agak terlewat untuk memperkata kemerdekaan kerana kemerdekaan bagi kebanyakan kita adalah musim Ogos sahaja. Maka saya membuat kelainan, memperkata kemerdekaan (ulangtahun) pada bulan September. Ya, mungkin terlewat bagi mereka yang tidak pernah ambil tahu tentang kemerdekaan yang sebenar-benarnya.
Saya letakkan puisi saya dalam blog ini. Sebagai kenangan sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan Malaysia yang tercinta. Bagi saya tidak perlu letak bendera banyak-banyak pada kereta, tidak perlu menyaksikan bunga api malam merdeka, tidak perlu potong kek, dan ada lagi beberapa yang tidak perlu.

Inilah puisi saya. Puisi sederhana segala-galanya.

Cerita Lain tentang Kemerdekaan

burung-burung bersarangan, damai menyemati diri
dalam-dalam diusik bayu sentosa bumi terindah
perjuangan belum tamat dikisahkan
namun kita cepat bertepuk tangan
sama-sama, bergembira

awan putih, langit biru, kasih satu
sungguh-sungguh, nikmat dikecap
perjuangan, seberat manapun jarang difikirkan
mahal keringat jerih payahnya
kita hanya (masih) bertepuk tangan
menjerit melaung tanpa makna sebati
sama-sama, bergembira

daun-daun berguguran melewati hari
aliran di sungai menghimpun kedukaan
langkah ke puncak sering tersangkut
harapan terhalang dek kewalahan memanjang
impian seumpama slogan ditertawakan
cita-cita murni disindir tanpa perdebatan
maka beginilah
mengusung cerita komedi ke sana ke mari
sedang diri tanpa genggaman berisi

suara ini bukan pancaran pesimisme
jatidiri telah dikukuhkan sejak berzaman-zaman
namun percayalah, kealpaan dan khayalan
akan menghanyutkan melainkan segera ingat
perlu berubah, perlu kembali digubah

sesekali langit mendung memberi isyarat
hujan, turunlah semahu-mahunya
biar bumi ini berbanjir nasionalisme
lupakan pedih atau cerita sedih
letakkan fantasia sepanjang hari ke tepi
jalinan kemerdekaan yang berselirat
telusuri alurnya namun perlu gagah
tiada kata lain untuk kemerdekaan ini
hanya bersedia dan berjuanglah lagi!


ARIFF MOHAMAD

Wednesday, September 19, 2007

Bermain dengan Mimpi dan Kreativiti


Ini bukanlah promosi percuma. Ini adalah kejujuran. Sesiapapun tidak menafikan kebijaksanaan. Apatah lagi pada sesebuah karya. Dan kebijaksanaan itu bergantung pula bagaimana penerimaan pembaca. Terkesan.
Membaca Laskar Pelangi membuatkan saya ketawa, saya kagum dan saya menangis. Inilah keanehan sesebuah hasil kreativiti. Laskar Pelangi sebuah kisah zaman kanak-kanak seperti sebuah pengalaman dalaman yang ada pada setiap kita. Latarnya di Belitong, di sekolah terpencil, namun pengalaman dalaman itu hanya dirasai pembaca. Sukar dimengerti dalam situasi yang perlu dengan kata-kata.
Andrea Hirata melanjutkan Laskar Pelangi lewat Sang Pemimpi. Lebih bertenaga dan berapi. Beberapa bulan kemudian lahir pula Edensor sebagai yang ketiga dalam siri tetraloginya. Saya belum habis membacanya dan khabarnya tetralogi ini sudah lengkap dan akan berada di pasaran novel yang keempat tidak lama lagi. Tahniah Andrea dan Bentang Pustaka. (Laskar Pelangi edisi Bahasa Melayu diterbitkan oleh PTS).

Novel-novel ini menyingkap tentang perjuangan dari sisi yang tersendiri, kemanusiaan yang telus, kasih yang dalam, persahabatan yang mulus. Kejujuran terpancar di mana-mana. Cuma bertanya di dalam diri kita, di mana kita berada?

Pada kulit luar Sang Pemimpi ada dipetik kata-kata Sasterawan Ahmad Tohari, "Andrea adalah jaminan bagi sebuah karya sastera bergaya saintifik dengan penyampian yang cerdas dan menyentuh". Manakala Prof Sapardi Djoko Damono, dari Universitas Indonesia menyebut karya Andrea sebagai metafora yang berani, tidak biasa, tidak terduga, kadang kala ngawur (tidak berdasar kebenaran), namun amat memikat.

Seorang bloger yang dikenali sebagai Muhammad Sulhanudin mengatakan, daya tarik yang menonjol dari karya-karya Andrea juga terletak pada kemungkinan yang amat luas dari eksplorasinya terhadap karakter dan peristiwa. Setiap paragraf yang disajikan seakan dapat berkembang menjadi sebuah cerpen, dan setiap bab mengandung letupan intelegensia, kisah, dan romantika untuk untuk dapat tumbuh menjadi buku tersendiri. Andrea tidak pernah kehilangan idea dan cerdik dalam melihat suatu fenomena dari sudut yang tidak pernah dilihat oleh orang lain. Setiap kalimatnya potensial. Ironi diolahnya menjadi jenaka, cinta pertama yang absurd menjadi mempesona, tragedi diparodikan, ilmu fizika, kimia, biologi dan astronomi diolah menjadi sastera.Telah banyak pujian dilontarkan atas kematangan karya maupun teknik menulis alumnis Fakultas Ekonomi Universitas Indonesia yang mendapat biasiswa sarjana di Paris de University, Sorbonne, Perancis itu.

Begitulah. Kebijaksanaan dan kreativiti.

Saya boleh katakan, hanya mimpi, namun adakalanya boleh dicapai dengan kreativiti.

Tuesday, September 18, 2007

Lama Tak Jumpa


Saya mulakan dengan Assalamualaikum.
Lama, terlalu lama blog ini tidak dikemaskini dan tiada post baru. Mulanya ingin menyepi seketika memberi tumpuan urusan rasmi dan karya penulisan. Rupa-rupanya semakin diberi tumpuan semakin banyak dan semakin tidak pernah selesai. Ada sahaja hari demi hari, berkurang yang ini, bertambah yang lain pula.
Kesihatan sedikit terganggu. Aktiviti pun macam-macam. Selain menguruskan seminar, berminat pula hadiri seminar lain, jadi pembentang mesti siapkan kertas kerja, jadi peserta pun kena beri perhatian.
Buku, semakin bertambah di rak. Hingga kadang-kadang masalah hendak baca yang mana satu dahulu. Sedang baca yang ini teringat mahu baca yang lain.
Fikiran kadang-kadang letih, perasaan juga terusik. (Tak perlulah cerita di sini)
Apapun, saya ingin kembali berblog dengan kadar yang mampu. Insya Allah.
Kawan-kawan, dan pelajar saya, sila beri sokongan.
Terima kasih.
Selamat berpuasa.
Dan saya baru menyambut ulangtahun ke -- tiga hari lalu. bukan dengan piza atau spageti tetapi martabak Maidin Sungai Sekamat Kajang.